, ,

Semoga Kami Berdua Disatukan Dalam Kebaikan (bahagian 2-akhir)

Bermulanya Detik Itu

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Ahh kenapa aku gementar? walhal bukankah ini yang aku cita-citakan dulu?

Aku tenangkan diri dengan mengatakan yang semuanya pasti akan tamat.

Akhirnya dengan lafaz “aku terima nikah….”  maka aku secara sah menjadi suami kepada seorang wanita yang bakal menempuh hidup bersama-sama.

Maka bermulalah apa yang disebut oleh para hukama sebagai hari bakti.

Wahai diriku, sesungguhnya mengungkapkan lafaz nikah itu mudah diucapkan berbanding apa yang bakal dirimu tempuh. Maka tetapkanlah niatmu kerana Allah SWT semoga rumahtangga yang dibina di dalam terwujudnya ketenangan, kasih sayang dan rahmat.

Ingat, pada tubuh badan isterimu itu ada dua hak yang perlu ditunaikan. Batinnya itu janganlah engkau bebankan dengan rasa susah hati dan berusahalah sebaik mungkin untuk menggembirakannya.

Manakala pada jasadnya itu hendaklah engkau sentiasa berusaha untuk dia berasa aman tenteram di bawah penjagaanmu.

Sesungguhnya pada keduanya itu susah untuk dilaksanakan, maka hendaklah dirimu bersabar.

Wahai diriku, jangan sesekali engkau lupa akan ayat ini dan jadikan ia sebagai wasiat teragung dalam menempuh kehidupan rumahtanggamu. Iaitu firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari azab api neraka..”.(Surah At-Tahrim, ayat 6)

Itulah amanah terbesar yang dipukul oleh dirimu dan itulah yang telah ditetapkan Tuhan kepadamu. Maka mintalah kepada Allah SWT semoga engkau sentiasa dalam pertolonganNya.

Wahai Isteriku

Wahai isteriku yang ku sayangi, pada tubuh ini banyak kekurangan diri. Maka hendaklah awak sabar dengan kelemahan diri saya ini, moga-moga kelak dengan sifat sabarmu itu akan terzahirlah kemanisan dalam kehidupan berumah tangga.

Mulai hari ini, harta yang paling berharga dalam kehidupan saya adalah awak. Orang yang akan melihat diri ini naik dan turun, gembira dan sedih.

Tidaklah saya berhajat lebih daripada kemampuan awak. Tetapi bantulah saya dalam kehidupan dan kehidupan itu adalah agama.

Sesungguhnya sahabat nabi yang agung, Umar Bin Khatab pernah bertanya kepada Rasulullah SAW,” Ya Rasulullah, harta apakah yang seharusnya kita miliki? Rasulullah saw menjawab,

“Hendaklah diantara kalian memiliki hati yang bersyukur, mulut yang sentiasa berzikir dan isteri solehah yang akan menolongmu dalam perkara akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Bersederhanalah dalam melayari kehidupan ini kerana dengannya menunjukkan kekayaan jiwa. Kata hukama:

“Laki-laki atau perempuan yang sederhana dalam rumah tangganya, tidaklah akan ditumbuhi hasad dengki melihat kelebihan orang lain. Sebab kekayaan dan kecukupan itu pada hakikatnya sekali-kali bukanlah pada harta, tetapi pada hati.”

Wahai isteriku, taatlah kepada suamimu. Ingat, taat kepada suami dalam perkara yang tidak melanggar syarak adalah taat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya harapan terbesar saya adalah kelak kita bersama-sama dapat menjejakkan kaki tempat yang paling mulia, iaitu syurga.

Kehadiran awak dalam kehidupan saya adalah rahmat yang besar. Tiada perkara yang paling diri ini hajati apabila ditimpa kesusahan, cukup melihat awak tersenyum maka hilanglah kesusahan itu bahkan diganti dengan rasa tenang tenteram.

Sesungguhnya itu sudah membuatkan saya sangat bahagia. Bernarlah firman Allah SWT:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.”(Surah Al-Rum ayat 21)

Ketika itu, kemulian yang diterima akan dikembalikan kepada Allah swt jua. InsyaAllah!.

Disatukan Dalam Kebaikan

Wahai isteriku, sesungguhnya diri ini masih ingat dengan jelas. Takkala awak menerima saya untuk dijadikan suami, orang yang bakal awak bergantung harap.

Pada ketika itu saya tidak memiliki apa-apa. Tetapi awak percaya bahawa insan yang tiada apa-apa itu bakal menjadi orang akan membawa awak kepada kebaikan. Untuk itu saya ingin ucapkan terima kasih.

Sesungguhnya tinta ini tidaklah saya layak menulisnya kerana tahu akan hakikat diri ini.

Tetapi hati ini selalu berperang dengan mengatakan “tulis!” supaya ada catatan serta peringatan jika saya terlupa kelak. Maka saya menulisnya.

Moga-moga ia menjadi antara wasiat yang berharga.

Ala kulli hal, semoga rumah tangga yang kita bina ini bersamanya ada keberkatan yang besar kerana keberkatan itu bertambah kebaikan. Sepertimana doa Rasulullah SAW kepada pasangan baru dengan ucapan:

“Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan ke atas kamu (dalam masa senang dan susah), serta semoga kamu berdua disatukan dalam kebaikan. (Hadith riwayat Ahmad, Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Semoga cita-cita kekasihNya itu dapat dihimpun dalam keluarga kita. Sesungguhnya untuk semua yang berlaku pada diri ini, saya ingin mengungkapkan ALHAMDULILLAH!!.

 

*Tulisan ini daripada Muhamad Syafiq Bin Salim kepada isterinya tercinta Siti Noraim Binti Abdul Ghani*

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Berasal dari Johor Bahru. Merupakan pelajar tahun akhir Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam bidang Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Syafiq Alfatih (Muhamad Syafiq bin Salim).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

-1 points
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 100.000000%