,

Hijrah Menjadi Insan Bertuhan (bahagian 1)

Assalamualaikum WBT..

Alhamdulillah hari ini, setelah sekian lama, hati ini dihadirkan rasa untuk mengarang lagi. Tajuk yang aku pilih hari ini adalah ‘Hijrah’.

Sebenarnya perkataan ‘hijrah’ ini telah lama bermain dalam fikiran. Setiap kali tahun baru aku berazam untuk hijrah menjadi insan yang lebih baik.

Dan setiap kali itu jugalah aku melihat hijrah aku tahun ini masih lagi tidak mencapai tahap seperti yang aku inginkan.

Aku rasakan aku sudah sepenuh hati berazam untuk hijrah sepenuhnya, di manakah silapnya?

Adakah dalam pelaksanaan aku kurang disiplin atau adakah aku salah dalam memahami konsep hijrah itu sendiri, lantas langkah pelaksanaan yang aku ambil menyimpang dan menyukarkan hijrah itu.

Aku melihat bagaimana artis boleh hijrah dengan baik sekali dan sangat istiqamah. Aku mula follow satu-satu artis ini, contohnya yang paling suka tengok, Irma Hasmie, Heliza Helmi, Diana Amir, Yat Hamzah, dan ramai lagi.

Mereka boleh hijrah dan istiqamah kenapa tidak aku?

Tahun ini aku mula semula episod hijrahku. Aku mula dengan bertanya pada diri.

Sejauh mana aku faham konsep hijrah?

Kenapa hendak hijrah?

Mahu hijrah apa?

Bagaimana mahu hijrah?

Aku ingin mulakan tulisan kali ini dengan lirik sebuah lagu yang telah menyentuh hati, merawat semula hati ini dan menyuntikkan kembali semangat hijrah:

Ya Maulana ~ Sabyan

Dengan kasih mu Ya Rabbi
Berkahi hidup ini
Dengan cinta mu Ya rabbi
Damaikan mati ini

Saat salah ku melangkah
Gelap hati penuh dosa
Beriku jalan ku berarah
TemuiMu di Syurga

Terima sembah sujudku
Terimalah doaku
Terima sembah sujudku
Izinkan ku bertaubat

Alhamdulillah… alhamdulillah… alhamdulillah… saat aku terasa sempitnya dunia, acap kali tersilap langkah, Allah SWT tiupkan petunjuk dalam hati dan hadirkan insan-insan yang menarik tangan ini ke jalan yang baik, dan tahun ini sekali lagi kaki melangkah ke tanah haram: Makkah dan Madinah, menyucikan hati luka dan menjahit semula sejadah iman.

Di bumi yang bercahaya: Kota Madinah, di dalam masjid Nabi: Masjid Nabawi, hati ini tersentuh betapa sayangnya Allah SWT pada hamba-hambaNya.

Saat kita tidak lagi berdaya, saat kita dihimpit dengan masalah dunia, saat kita merintih merayu padaNya, Dia menyahut dengan jalan yang tidak kita sangka-sangka, penuh berhikmah.

Tidak pernah aku sangka aku akan menjejak kaki lagi ke bumi tanah haram ni sendiri, tanpa kehadiran keluarga, walhal ketika ini aku tengah sangat sibuk untuk meet deadline upgrade PhD.

Namun, jika Dia berkehendak sesuatu itu terjadi, nescaya akan terlaksana.

Di sana aku merasai kemanisan iman dan indahnya tawakal pada Allah SWT, dan nikmatnya hidup bertuhan.

Saat diri kita sendiri tidak mengerti apa yang kita inginkan, saat diri kita sendiri tidak lagi tahu hendak ke mana, Allah SWT Yang Maha Tahu menunjukkan kita jalanNya, membawa kita ke jalanNya, memperbaiki seluruh kehidupan kita.

Hebatnya Allah SWT dan indahNya hidup bertuhan. Ya, sebab inilah aku ingin hijrah, aku ingin sentiasa dekat denganNya. Hijrah ini seharusnya hijrah keranaNya, untuk medekatkan diri padaNya, bukan kerana kelebihan-kelebihan dunia.

Aku takut nanti saat aku lalai lagi, aku kembali melanggar perintahNya dan kembali kufur pada nikmatNya. Aku harus istiqamah dalam hijrah ini.

Kita ini hambaNya, Hari Akhirat itu benar, Syurga itu mahal dan AzabNya tidak tertanggung. Diri ini hanya akan selamat bila menjalani hidup bertuhankan Allah SWT dan mempaksikan seluruh hidup ini pada Al Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Kita sedia maklum dengan hakikat ini, tapi adakah kita faham dengan sebenarnya apa yang dimaksudkan hidup bertuhan?

Kita lafaz kalimah syahadah, tapi adakah kita faham dan hidup dengan kalimah itu? Aku mahu hijrahkan hati ini agar lebih memahami Islam yang sebenarnya, menjalani hidup berlandaskan Quran dan sunnah.

Ada satu persoalan yang sering bermain di fikiran yang akhirnya terjawab juga setelah aku terbaca post by Yasmin Mogahed.

Kita sering berdepan dengan dilemma ini, di mana kita ingin mempertahankan agama kita tetapi tidak tahu bagaimana hendak mencorakkan kehidupan dunia agar berputar dalam paksi ini dan bagaimana kita menterjemah ajaran Islam itu dalam kehidupan seharian.

Kita telah lihat extremist agama (terlalu taksub pada agama hingga meninggalkan tugas-tugas hakiki dan tidak berusaha memperbaiki kehidupan dunia kerana katanya ini semua dunia, tapi bukankah Islam mengajar, bertebaranlah dimuka bumi mencari rezeki).

Kita juga lihat insan-insan bertopengkan agama (penunggang agama yang mengambil keuntungan menggunakan agama tetapi tidak bertindak mengikut landasan agama), dan kita lihat insan-insan melupakan agama (terlalu mementingkan dunia).

 

< bersambung Hijrah Menjadi Insan Bertuhan (Bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur (nama pena).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%