,

Bersyukur Dalam Menghadapi Ujian Hidup

Kehidupan ini ibarat satu bentuk permusafiran ibadah bagi seorang hamba menuju Penciptanya.

Dalam perjalanan, kita terpaksa mendaki gunung-ganang yang sukar untuk ditempuhi, merentas lautan yang bergelora, taufan yang mengganas, dan melalui belantara yang tebal serta berduri.

Kadang-kadang, kita ditemukan juga dengan taman menghijau yang mengasyikkan pandangan.

Bagi hamba yang diberikan hidayah oleh Allah, mereka merasakan semua itu adalah pahit manis dalam perjalanan kehidupan.

Tetapi bagi mereka yang ‘hilang arah’, semua ini hanyalah satu perjalanan yang melelahkan, memenatkan, membosankan serta menyakitkan hingga mereka tenggelam dan berhenti meneruskan perjalanan.

Mereka lupa akan matlamat asal permulaan perjalanannya itu; kembali menuju Tuhan.

Walau apa yang terjadi dalam hidup ini, lihatlah ia sesuatu yang mendamaikan jiwa meskipun perit yang kita rasakan.

Bersyukur bukan sahaja apabila diberi rezeki dan kurniaan daripada Allah, malah, setiap ujian yang mendatang, lazimi diri untuk terus bersyukur dan melafazkan Alhamdulillah.

Tanda Allah itu sayang pada kita, dan mahu kita sentiasa dekat dan mengadu pada-Nya.

Orang biasa hanya bersabar tatkala diuji. Mukmin luar biasa bukan sahaja bersabar tetapi sentiasa bersyukur dengan setiap ketentuan sama ada baik atau buruk yang menimpa dirinya.

Ketika kita sering mengeluh dan mempersoalkan ujian yang hadir bertubi-tubi pada kita, sedarkah kita bahawa para salafussoleh merintih dan mengadu pada Allah; mereka cemburu dan sedih membicarakan ujian yang tidak diberikan kepada diri mereka.

Sahabat, percayalah, setiap apa yang ditentukan oleh Allah bukanlah perkara yang sia-sia. Hidup di dunia yang sementara ini perlu disertakan dengan rasa syukur terhadap Pencipta.

Ayuh, marilah kita sentiasa bersyukur dalam setiap apa yang Allah berikan pada kita, baik rezeki mahupun ujian.

Teruslah berkomunikasi dengan Allah tanpa dibatasi waktu, tempat, dan situasi. Ingatlah kita akan-Nya, pautkanlah hati kita pada-Nya, serta besarkanlah jiwa kita dalam menerima setiap suratan takdir.

Jadilah kita mukmin yang luar biasa dengan sentiasa bersyukur dalam menghadapi peritnya ujian hidup, dan, marilah kita teruskan perjalanan musafir kita ini menuju Pencipta kita.

“Aku kagum terhadap urusan orang yang beriman, kerana seluruh urusannya merupakan kebaikan baginya. Jika mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka syukur itu adalah kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan, dia bersabar, maka sabar itu merupakan kebaikan baginya. Hal seperti ini tidak akan didapati pada seseorang kecuali orang yang beriman.” (Hadith riwayat Muslim)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%