,

Apa Itu Maqasid Syariah?

Hampir selalu kita terdengar perkataan “maqasid syariah” namun mungkin ada yang tidak pasti lagi apakah sebenar yang dimaksudkan dengannya.

Menurut salah satu kolum di majalah al-Ustaz yang saya baca baru-baru ini, di sini saya simpulkan sedikit yang saya faham.

Maksud dan kepentingan

Maksud maqasid adalah tujuan yang dikehendaki, sama ada pada perbuatan atau percakapan.

Jadi maksud maqasid syariah adalah tujuan atau makna yang dikehendaki syarak yang mesti diusahakan untuk dicapai. Maqasid syariah wujud dan diaplikasikan sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat lagi.

Namun menurut para ulama’, maqasid syariah tidaklah dianggap dalil perundangan Islam, namun merupakan pendekatan untuk lebih memahami dalil yang kuat dan fakta yang sahih.

Antara kepentingan maqasid syariah ini adalah untuk memaknakan dan menghidupkan amalan.

Contohnya orang yang wajib berzakat, jika dia tidak faham tujuan dan faedah amalan tersebut, besar kemungkinan dia akan mengelak.

Kepentingan lain adalah untuk mendapat kefahaman yang benar. Adalah penting untuk memahami maksud, intipati serta tujuan hukum-hakam fiqah.

Pembahagian Maqasid

Pemilik Maqasid:

  • Maqasid al-Syari’ (pemilik syariat iaitu Allah).

Tujuan yang dikehendaki Allah pada setiap hukum-hakam, perintah dan larangan, sunnah ciptaannya dan sebagainya.

  • Maqasid al-Mukallaf.

Tujuan yang dikehendaki oleh seseorang hamba.

Ruang lingkup:

  • Maqasid ‘Ammah (tujuan menyeluruh atau sebahagian besar syariah seperti menjaga agama, nyawa dan sebagainya)
  • Maqasid Khassah (skopnya lebih kecil, fokus kepada bahagian tertentu dalam syariah. Misalnya, tujuan syariah pada keseluruhan hukum-hakam berkaitan perkahwinan, kekeluargaan, ekonomi dan sebagainya).
  • Maqasid Juz’iyyah (tujuan pada setiap satu hukum, wajib, harus, haram dan sebagainya. Misalnya tujuan syariah pada pengharaman riba).

Penyusunan keutamaan

  • Dharuriyyat (kemestian) seperti agama, nyawa, akal, harta, keturunan.
  • Hajiyyat (keperluan) seperti perkahwinan, pengangkutan.
  • Tahsiniyyat (pelengkap) seperti rumah dan pakaian yang cantik.

Kaedah Maqasid

Dalam kitab Maqasid Syar’iyyah ‘Inda Ibn Taimiah oleh Dr. Yusul al-Badawi, beliau menyebutkan beberapa kaedah maqasid syarak (ini adalah sebahagian kaedah untuk pengetahuan umum kita):

– Agama diturunkan untuk mendapatkan kebaikan serta menolak keburukan dan kejahatan.

-Perkara yang batil dalam ibadat adalah sesuatu amalan yang tidak tercapai maksudnya, tidak wujud implikasi dan tidak mempunyai manfaat yang dituntut.

– Akidah dan maqasid yang rosak pada hak Allah, wajib dibuang sama ada dari aspek usul atau furuk.

– Syariat tidak akan menyuruh sesuatu melainkan arahan itu mendatangkan kebaikan kepada manusia di dunia dan akhirat.

– Maslahah pada furuk adalah penyempurna kepada maslahah asli.

– Jenis melakukan arahan lebih baik daripada jenis meninggalkan larangan.

3 Imam Maqasid Syariah

Imam al-Ghazali (antara karyanya Al-Mustashfa), Iman al-Syatibi (antara karya adalah Al-Muwafaqat fi Ushul al-Syari’ah) dan Syeikh Ibn ‘Asyur (antara karyanya Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah).

Di Malaysia

Indeks Syariah Malaysia telah diwujudkan sebagai satu kaedah pengukuran saintifik Maqasid Syariah dan lebih menyeluruh.

Ia mencakupi bagi fasa permulaan ini, lapan (8) bidang utama, iaitu perundangan Islam, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial. (Rujukan: Laman web JAKIM).

Untuk setiap satu bidang ini, tahap penyempurnaan lima (5) aspek dalam Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu dilihat secara menyeluruh.

Ukuran dan penilaian akan dibuat bagi memastikan sama ada dasar dan program yang ditetapkan oleh sesuatu agensi selari atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah.

Antara situasi dalam Maqasid Syariah

  • Maqasid dalam ibadah zakat (maqasid menjaga harta, kurangkan monopoli dan kes jenayah. Maqasid menjaga akal jika didirikan pusat dakwah, berjihad menentang kejahilan).
  • Maqasid syariah dalam hubungan sesama kaum.

Keamanan adalah elemen penting berteraskan maqasid syariah. Dalam sesuatu isu, kita perlu tabayyun (semak dan pastikan terlebih dahulu), memaafkan serta berhikmah bagi mengekalkan keharmonian.

Kesimpulannya, kita perlu kembali kepada al-Quran. Jika tidak mampu berbahasa Arab, rujuklah terjemahannya.

Tuntutlah ilmu dan sentiasalah beradab dengan adab-adab ikhtilaf.

Janganlah disebabkan perbezaan pendapat, kita bermusuhan sedangkan hakikatnya matlamat kita semua adalah sama, untuk mencari keredhaan-Nya.

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 25

Upvotes: 15

Upvotes percentage: 60.000000%

Downvotes: 10

Downvotes percentage: 40.000000%