,

Antara Tawakal, Redha dan Sabar (bahagian 2-akhir)

Anak bongsu pesakit yang saban hari menjadi peneman setia terduduk sambil matanya merenung jauh ke hadapan. Mungkin masih terkejut kerana dia merupakan orang pertama yang menerima berita itu.

Tergopoh-gopoh tangannya menekan nombor di telefon bimbit. Esaknya perlahan, tidak selaju air matanya. Arisha sebak. Namun rasa itu harus ditelan.

Sekelip mata sahaja segalanya berubah. Itulah takdir. Bila Dia berkata ‘kun’, maka jadilah ia. Siapa kita untuk menidakkan sesuatu yang sudah rapi di bawah perancanganNya?

“Dialah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya berkata kepadanya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia” (Surah Al Mu’min:68)

Tiba-tiba seorang lelaki dan wanita melangkah masuk ke ruangan ward. Meluru mereka mendapatkan anak pesakit tadi.

Mereka memeluk gadis itu yang ternyata si adik. Kakaknya terus meraung terduduk di lantai ward. Si abang hanya diam dengan mata berkaca.

“Doktor! Buatlah sesuatu lagi. Takkan macam ni je mak tinggalkan kami. Takkan tak ada cara lain. Mak bangunlah mak,” teresak-esak si kakak menangis sambil memeluk kaki doktor pakar di situ.

Anak lelakinya tiba-tiba bersuara, “Dasar doktor tak guna! Ni semua mesti sebab doktor lembab ni! Dasar makan gaji buta! Bod*h semuanya! Kalau doktor buat kerja betul-betul semua ni tak berlaku!”

“Sabar encik. Kami dah cuba semua yang terbaik dan terdaya kami lakukan. Tapi, Dia lebih menyayangi ibu encik,” Doktor pakar cuba menenangkan.

“Ahh! Sabar, sabar! Kau apa tahu! Kau senang-senang je suruh orang sabar! Kau tak rasa, kau tak alami!” Jari telunjuknya dituding ke muka doktor itu. Si kakak masih lagi teresak.

Adik mereka melangkah perlahan memeluk kakaknya.

“Sudahlah kak. Redhakanlah,” sambil kolam matanya kembali pecah.

Arisha yang berdiri di ruangan itu bertukar pandangan dengan rakan lain. Mereka sama-sama terdiam.

Sesungguhnya doktor bukan Tuhan. Doktor hanyalah perantara yang bersandarkan kun fayakun Dia Yang Esa. Mereka juga manusia.

Sudah tentu mereka masih mempunyai rasa sedih, kecewa, sesal yang mendalam; hanya tidak diluahkan.

“Keimanan ialah bersifat sabar dan berlapang dada,” (Hadith riwayat Thabrani)

Siapa pun kita, dalam segala apa jua yang kita lakukan, kita hanya mampu berusaha dan bertawakal.

Selebihnya hanya Dia Yang Maha Berkuasa menentukan segala-galanya. Dia Pencipta, pemilik dunia dan isinya. Sudah tentu Dia berhak atas segala-galanya.

Tawakal itu penting, agar kita sentiasa muhasabah diri dan sentiasa mengingati Allah selari dengan usaha yang berterusan.

Sebagai hamba, kita hanya mampu berharap kepadaNya dalam apa jua keadaan yang bakal membawa pelbagai kemungkinan.

Meredhakan itu sukar. Namun, Islam mengajar umatnya untuk meredhakan sesuatu – percaya bahawa Allah ada.

Segala yang berlaku adalah di bawah ketentuanNya. Allah tidak akan menguji seseorang di luar kemampuan mereka.

“Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata: jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan: ‘Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka, ia perbuat’; kerana sesungguhnya perkataan ‘andaikata’ itu memberi peluang kepada syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Allah takdirkan hidup ini memerlukan kombinasi usaha, ikhtiar, doa dan tawakal kerana kehidupan ini merupakan satu medan ujian yang tidak pernah berakhir; dan fitrahnya selagi mana kita berusaha, selagi itu Allah akan membantu urusan kita.

Namun kadangkala aturan hidup tidak seiring dengan apa yang kita harapkan. Kita kadangkala teruji dengan rasa kecewa; dan dalam setiap ujian yang diberikan, Allah juga titiskan secebis kekuatan saat kita dalam kekecewaan.

Dia selitkan didikan agar kita belajar bersabar untuk meredhakan ketentuanNya.

“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl:96)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%