, ,

Aku Pernah Terlupakan-Nya Pada Suatu Ketika

– Kisah dua orang pemuda lepasan ijazah tinggal di ibu kota dan tenggelam bersama kesibukan dunia –

Muslim terkial-kial membuka pintu rumah. Segugus kunci berada dalam genggamannya. Badannya terasa penat seharian bekerja demi mencari sesuap nasi. Hutang belum dihitung lagi.

Walaupun duit itu bukan matlamat tapi duit adalah alat untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia yang fana ini.

“Manalah Mustaqim ni. Aku bagi salam tak berjawab. Tak sampai lagi ke?” Rungut Muslim sendiri.

Dia menolak perlahan pintu bilik Mustaqim yang tidak tertutup rapat.

“Assalamu’alaikum sedara.”

“Wa’alaikumussalam. Kau baru balik ke? Lambat balik hari ni,” kata Mustaqim sambil ekor matanya menjeling jam di dinding.

“Biasalah. Kita ni orang bawahan je. Aku dari tadi bagi salam. Tapi tak ada orang jawab. Aku ingat kau tak balik lagi.”

Mustaqim hanya tersenyum. Handphone masih setia di tangannya.

“Kau ni semacam je bahagia. Macam baru dapat mesej cinta.”

Mustaqim seakan malu untuk menjawab. Akhirnya dia mengangguk jua membenarkan persoalan daripada Muslim.

“Maaf, tadi aku tak dengar. Khusyuk baca mesej cinta ni,” Mustaqim menjawab perlahan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Untunglah kau. Dah makan ke?”

“Belum lagi. Aku tunggu kau lah.”

“Hmm. Aku nak mandi ngan solat Isyak jap. Nanti kita makan sekali. Kau bacalah mesej cinta kau tu dulu.” Muslim meninggalkan Mustaqim dengan sengihan yang nakal.

******

Seusai solat, Muslim terus meluru ke dapur. Aroma masakan itu tidak dapat ditahan lagi. Perutnya semakin rancak berkeroncong bersama irama yang tidak berlanggam.

“Masak apa hari ni bro?” Tanya Muslim memecahkan suasana sambil menyediakan pinggan makan.

“Aku panaskan lauk beli tadi je.”

“Banyaknya lauk. Kita dua je pun yang nak makan. Habis ke?”

“Tak habis esok boleh panaskan. Sekali-sekala baru dapat gaji. Makanlah yang elok sikit.”

“Selama ni kita makan yang tak elok ke?”

“Bukan macam tu. Cuma tak berapa nak berkhasiat. Kalau kita tak jaga diri sendiri siapa nak jaga?”

“Pandai kau sekarang ye. Makanan berkhasiat lah. Jaga diri lah. Buah hati pakar pemakanan ke?”

“Mengarutlah kau ni. Kita kena jaga kesihatan. Baru boleh kerja kuat.”

“Kerja kuat nak simpan duit nikah lah tu,” usik Muslim.

Mustaqim hanya tersenyum.

“Kau lunch ke tak tadi? tanya Mustaqim apabila melihat sahabatnya yang seorang itu seperti orang kebuluran. Dia tahu Muslim seorang yang gila bekerja.

“Makan je lah. Mustaqim bila kau nak nikah?” Muslim cuba lari daripada topik utama. Kalau tidak habislah selera makannya. Dia tidak bersedia mendengar pula ceramah kerja daripada Mustaqim.

“Bila masa pulak aku kata nak kahwin?”

“Kau ni dah kenapa. Dulu kau jugak cakap dekat aku. Couple ni tak boleh. Lagi-lagi tak ada niat nak kahwin,” Muslim megutarakan semula fakta yang pernah dihujahkan Mustaqim.

Rilek lah. Bagi aku betulkan dulu salah faham ni.”

Muslim hanya meneruskan makannya. Mustaqim mencapai handphone yang berada di sisi kanannya. Jari jemari kirinya pantas mencari sesuatu. Kemudian, handphone nya disuakan ke muka sahabatnya.

“Nah, bacalah sendiri.”

“Ni mesej cinta tu?” Kata Muslim gelojoh. Mulutnya masih penuh dengan makanan.

“Habiskan dulu makanan kau tu. Bersemburlah.” Mustaqim mengusap mukanya yang terlekat saki baki makanan Muslim.

“Kau ni lain kali cakap terang-terang. Aku tak faham bahasa tersirat ni,” kata Muslim malu-malu.

“Tak pe lah. Bukan salah kau pun. Aku saja je nak bergurau dengan kau,” Mustaqim menutup aplikasi Quran yang baru dibukanya.

“Canggihlah. Dulu orang panggil tu surat cinta. Sekarang panggil mesej cinta,” kata Muslim lalu ketawa.

“Apa guna kemajuan, kecanggihan ni kalau tak guna untuk kebaikan.”

“Hmm. Betul jugak. Berubahlah seiring kemajuan. Tapi jangan pernah merubah keimanan.”

“Moto terbaru ke bang?”

“Ni je moto yang mampu tukar. Motor yang dekat luar tu tahun bila pun tak tahu nak tukar.”

“Sedih betul bunyinya.”

“Mana tak sedihnya. Nak pinang anak orang pun kena pikir banyak kali.”

“Dah ada calon ke?”

“Lupakan je lah.”

“Tak boleh macam tu. Kena cuba dulu.”

“Terima kasih lah nasihat kau tu. Tapi aku rasa baik kau settle kan masalah kau sendiri dulu.”

“Masalah aku dah settle lama dah. Nampak tak aku gembira je sekarang ni.”

“Kau pun tahu aku ni baru je berubah. Iman aku pun tak cukup kuat lagi. Nanti je lah aku pikir pasal hal yang menyulitkan pemikiran ni.”

“Aku rasa tak lah susah mana nak pikir pun.”

“Kau tu lain. Tapi kau sendiri pun putus tunang. Aku lagi lah. Tak tahu nanti macam mana jadi.”

Mustaqim tersenyum melihat sahabatnya yang sedang mengalami masalah perasaan sesama insan yang berlainan jantina.

“Kau tahu tak bila kita dah cuba. Kemudian kita gagal. Sakit kecewa tu tak sama macam sakit menyesal tak cuba.”

“Boleh tak kalau aku istikharah je?”

Mustaqim menggelengkan kepalanya. “Istikharah dan istisyarah itu harus seiring.”

“Hmm sebenarnya aku takut lah nak jumpa parents dia.”

“Dia tahu ke kau suka dia?”

“Tak. Aku malulah. Aku ni bukan bagus mana.”

“Tu lah. Baik kau merisik dia dengan parents kau. Mana tahu dia boleh suka kau. Bila korang dah sama-sama suka. Maka itu dah dikira bertunang.”

“Macam mana nanti kalau dia tolak aku. Aku takut aku lagi sakit.”

“Tak ada sakit yang tak ada penawar kecuali mati.”

“Kau ni aku pelik betul. Sekejap je kau boleh lupakan. Dah lah dah tunang.”

“Tunang tu hanya lah proses perkenalan.”

“Tapi orang sekarang kalau tunang tu semestinya dah nak kahwin. Kalau macam tu pelik lah.”

Mustaqim ketawa.

“Apa yang kelakarnya?”

“Islam itu dulu datangnya asing. Aku bahagia menjadi asing. Inilah zaman di mana Islam itu kelihatan asing semula.”

Muslim terdiam.

“Kau tahu tak aku bukanlah bagus sangat nak nasihat orang ni. Tapi aku tak nak kau jadi macam aku dulu. Istiqamahlah. Istikharah dalam proses pertunangan dan apa jua perkara. Sandarkan harapan penuh hanya kepada pemilik cinta. In shaa Allah, kau akan bahagia walaupun kecewa.”

“Kenapa?”

“Aku pernah terlupakan-Nya pada suatu ketika. Keyakinan dan pengharapan aku tiba-tiba berubah hanya kepada manusia,” kata Mustaqim mengakhiri bicaranya. Senyuman tetap terukir manis di bibirnya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Anis Wafda binti Ahmad Asri. Berasal dari Gombak, Selangor.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%