,

Zalimkah Kita Kepada Diri Sendiri?

ZALIM. Perkataan ini jika didengar sekali lalu mungkin agak berat untuk diterima.

Apa itu zalim?

Zalim bermaksud meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Atau dalam makna yang mudah difahami zalim itu bilamana kita melakukan sesuatu yang menganiaya diri sendiri dan juga orang lain.

Dalam satu kelas pengajian tafsir Al-Quran yang sempat saya hadiri, ustazah menceritakan tentang keadaan Nabi Adam. Apa yang menyebabkan Baginda diturunkan ke bumi sedangkan pada awalnya Baginda dan Hawa menikmati indahnya suasana hidup di dalam syurga.

Menyingkap firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 35 dan 36 yang bermaksud:

“Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah Engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

“Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: ‘Turunlah kamu! sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)’.”

Dalam ayat ke 35, Allah telah berpesan supaya Nabi Adam tinggal di dalam syurga serta mengambil nikmat yang Allah kurniakan darinya hanyasanya jangan mendekati pokok khuldi.

Tetapi atas godaan daripada iblis yang dengki maka Nabi Adam terpedaya lalu jadilah dia daripada orang yang menzalimi diri sendiri, yakni orang yang melakukan sesuatu perbuatan yang menganiaya diri sendiri serta orang lain.

Begitu juga keadaannya dengan apa yang berlaku ke atas Nabi Allah Yunus ‘alaihissalam, ketikamana Baginda lari dari umatnya akibat rasa putus asa atas keengganan mereka beriman kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 87 yang bermaksud:

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) Dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: ‘Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri’.”

Setelah Baginda membawa diri, ditakdirkan Allah bahawa Baginda ditelan ikan paus sebagai pengajaran di atas tindakannya yang meninggalkan kaumnya. Baginda terperangkap di dalam perut si ikan paus dan akibat peristiwa itu sedarlah Baginda bahawa Baginda sedang mendapat peringatan daripada Allah.

Saat itu, Baginda tidak henti mengungkapkan tasbih dan berdoa kepada Allah sebagaimana yang dirakamkan dalam surah Al-Anbiya’ ayat 87 yang bermaksud:

“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Sehinggalah tiba waktu yang ditetapkan Allah, Baginda kembali ke daratan sebagaimana yang dirakamkan dalam surah as-Shaffat ayat 145 sehingga 148 yang bermaksud:

“Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit.”

“Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.”

“Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.”

“(setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).”

Dua kisah teladan ini amat jelas, manusia itu lemah dan seringkali terpedaya dengan perasaan. Tetapi tetap saja tidak layak rasanya untuk kita membandingkan diri kita dengan para anbiya’ kerana hakikatnya amatlah jauh perbezaan keadaan kita dengan mereka dalam menjalankan kewajipan sebagai orang yang bergelar Muslim.

Dalam kedua-dua kisah ini, perkataan ‘zalim’ merujuk kepada perbuatan menganiaya diri sendiri. Kata guru saya, orang yang melanggar perintah Allah, meninggalkan suruhannya adalah golongan yang menzalimi diri sendiri. Kerana apa?

Kerana hakikatnya disebabkan perbuatannya itu menunjukkan bahawa sang hamba itu sendiri sedang menjauhkan diri daripada kasih sayang Allah.

Sedangkan Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya dalam keadaan apa sekalipun, hanya kita yang kadangkala lupa Allah itu sentiasa ada.

Perkembangan arus modenisasi dalam segenap sudut kehidupan mencabar keteguhan iman individu untuk terus menjadi muslim sepenuh masa. Kadang tanpa kita sedar kita lebih cenderung untuk menuruti sahaja kehendak nafsu dengan anggapan ianya biasa-biasa sahaja.

Dalam pengajian daurah di Baitul Qurro’, teringat kata-kata murobbi Ustaz Zulkifli Ismail yang berkata, “Apa yang berulang itu akan diakui.”

Maksudnya jika sesuatu perkara itu terjadi atau dilakukan berulang-ulang kali walaupun pada awalnya ianya dinafikan oleh diri kita, lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan bahkan tabiat dan sekaligus tiada lagi rasa teragak-agak untuk melakukannya.

Berapa ramai antara kita yang awalnya bertudung labuh, bila meningkat dewasa semakin tinggi ukuran tudung menutupi kepala dan dada.

Berapa ramai antara kita solat sunatnya berterusan di waktu muda, namun bila usia semakin bertambah tikar sejadah semakin lusuh disimpan rapi di sudut kamar oleh kerana komitmen kerja dan tanggungjawab berkeluarga.

Berapa ramai antara kita yang asalnya menggeletar bila melihat atau terpaksa berbicara dengan lelaki atau perempuan, lama-kelamaan menjadi tidak keruan bila tidak berjumpa atau berhubung dengan lelaki atau perempuan.

Hal seperti ini biasanya bermula dari janggal namun lama-kelamaan menjadi rutin kerana pada awalnya mahu melakukan sesuatu yang tidak biasa menjadi kebiasaan dirinya.

Ini kes kejutan budaya, belum lagi kes yang melibatkan anak-anak yang sejak dari kecil tidak mendapat didikan Islam daripada penjaga.

Kita manusia biasa, yang mudah lupa dan alpa. Kadang menuruti sahaja perasaan sendiri sehingga lupa panduan sebenar dalam apa jua tindakan.

Sehingga sampai masa asbab perbuatan itu kita jatuh tersungkur, kita kecewa sehingga terasa lemah sekali untuk bangkit kembali.

Saat itu baru nurani mahu untuk kembali kepada Pencipta, merintih dan menangis memohon jalan keluar.

Allah tidak pernah berlaku zalim, bahkan kitalah yang seringkali menzalimi diri sendiri akibat terlalu mahu memuaskan keinginan yang ada di dalam diri. Allah sentiasa membuka jalan pulang, cuma kita yang tidak mahu memandang ke situ kerana kelamnya jalan cahaya ditutupi dosa-dosa.

Semoga kita terus kuat untuk kembali, sentiasa upgrade dan gotong-royong membersihkan dosa yang bersarang di dalam diri, agar jalan pulang itu jelas, agar kita tidak lagi mahu menyakiti diri dengan memutuskan diri daripada rahmat Allah.

Siiru ‘ala barakatillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan dan merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%