,

Warkah Cinta Berbau Syurga

Masih ingatkah lagi kita, sewaktu kita kecil dahulu?

Dipaksa untuk mengaji, dipaksa untuk mengenal kalam Allah. Ibu dan ayah sangat bertegas dengan hal yang satu ini.

Seawal usia 2,3 tahun sudah diajar mengenal alif, ba, ta. Tapi kenapa terhenti seusai khatam pertama kali sahaja?

Dahulu, selepas Maghrib masing-masing akan mula membuka lembaran naskhah cinta daripada Dia. Membaca satu persatu ungkapan sayangNya. Meneliti setiap bait pesan kasihNya.

Namun kini? Mengapa begitu liat untuk kita menyelak walau sehelai lembaran naskhah itu?

Biarpun warkah itu semakin hari semakin indah, semakin cantik, semakin penuh dengan warna, namun, berat sekali untuk dijengah seminggu sekali.

Apakah kerana kita semakin sarat dengan dosa? Semakin jauh daripada redhaNya? Semakin tersesat di dunia fana?

Al Hasan al Basri berkata,”Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian menganggap al-Qur`an adalah surat-surat daripada Rabb mereka. Pada malam hari, mereka selalu merenunginya, dan akan berusaha mencarinya pada siang hari.”

Contohilah kisah Usaid bin Hudhair, yang terlalu mencintai Al-Quran, sehingga malaikat turun untuk mendengar bacaannya.

Cinta Usaid kepada Islam bermula daripada keindahan Al-Quran yang dibacakan oleh Mus’ab sewaktu pertemuan mereka di kebun bani ‘Abd al-Asyhal. Beliau seterusnya tanpa lengah bersungguh-sungguh membacanya.

Ditambah pula dengan suaranya yang merdu, jelas sebutan dan membuatkan penyampaiannya sangatlah baik sehingga penghuni langit terus dahaga untuk mendengar bacaan beliau.

Suatu malam, Usaid duduk di beranda belakang rumahnya. Anaknya, Yahya, tidur berhampirannya. Usaid mempunyai seekor kuda yang sentiasa bersedia untuk dibawa berperang (fi sabilillah). Kuda itu diikat tidak jauh dari tempat duduk Usaid.

Dalam keheningan suasana malam itu, dada langit terhampar jernih tanpa mendung membuatkan Usaid tergerak hati untuk membaca Al-Quran.

 “Alif lam miim, Inilah Kitab (Al-Quran) yang tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan yang menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yang yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.” (Surah Al-Baqarah: 1-4)

Mendengarkan bacaan Usaid, kudanya yang ditambat lari berputar-putar sehingga talinya hampir putus. Saat Usaid diam dan berhenti membaca, kuda itu turut diam dan tenang. Usaid meneruskan lagi bacaannya.

“Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Rabb-nya, dan merekalah orang yang beruntung.” (Surah Al-Baqarah: 5)

Kuda Usaid kembali berputar-putar tidak tenang, bahkan lebih kuat daripada yang sebelumnya. Saat itu juga Usaid mendongak ke langit dan mendapati awan terlihat seperti payung yang sangat mengagumkan.

Sinar-sinar terang menerangi ufuknya. Usaid tidak pernah menyaksikan kejadian seperti itu. Awan itu bergerak perlahan-lahan dan mula hilang dalam kepekatan malam.

Keesokan harinya Usaid pergi menemui Rasulullah S.A.W dan menceritakan peristiwa yang dialaminya malam tadi. Rasulullah lantas berkata,

“Wahai Usaid, itu adalah malaikat yang ingin mendengar engkau membaca al-quran. Seandainya engkau meneruskan bacaanmu, pasti lebih ramai orang mampu untuk melihatnya. Pemandangan itu tidak akan tertutup dari mereka,” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Usaid bin Hudhair hidup sebagai ahli ibadah. Segala harta benda dan jiwa raga yang dimilikinya diserahkan sepenuhnya untuk perjuangan Islam.

Bagi Usaid, tidak ada puncak keindahan dan kemenangan dalam perjalanan hidupnya melainkan apabila cahaya Islam terus bersinar.

Usaid digelar sebagai ‘sebaik-baik lelaki’ oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

Usaid ditakdirkan sempat melihat kepimpinan khalifah Umar al-Faruq yang tegas, adil dan bijaksana.

Pada bulan sya’ban tahun 20 Hijriah, sampai masanya beliau untuk pulang kepada Allah S.W.T – menyusul para syuhada yang terdahulu.

Amirul Mukminin Umar Al-Khattab tidak mahu ketinggalan memikul sendiri jenazah tokoh Anshar di atas bahunya menuju ke taman makam syuhada di Baqi’.

Dalam satu kisah yang lain pula diceritakan bahawa Shalahuddin Al-Ayubi merupakan seorang penguasa yang amat gemar membaca Al-Quran. Bahkan setiap kali beliau membaca Al-Quran maka menitislah air matanya

Sungguh, kecintaan mereka terhadap Al-Quran sangat hebat. Biarpun kecintaan kita tidaklah sehebat mereka, namun, berusahalah untuk mencapai tahap kecintaan yang paling tinggi terhadap al-Quran. Al-Quran itu merupakan teman terbaik kita ketika menuju alam akhirat.

“Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al-Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al-Qur’an dan kenabian Muhammad saw).” (Surah Al-Maidah: 83)

Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada seluruh umatnya agar sentiasa berpegang pada Al-Quran dan hadith. Dengan pegangan sedemikian umat Islam tidak akan tersesat baik di dunia mahupun di akhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W, “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara. Kamu tidak akan tersesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah nabiNya (Hadis).” (Hadith riwayat Malik)

Sesungguhnya dengan mencintai Al-Quran kita akan menjadi lebih dekat kepadaNya. Dalam mengharungi liku-liku kehidupan di dunia, manusia tidak akan mampu lari dari pelbagai persoalan dan ujian.

Ada kalanya persoalan yang timbul berserta jawapan. Ada kalanya persoalan itu hanya tinggal persoalan tanpa jawapan yang pasti. Kecintaan terhadap Al-Quran itulah yang akan memberikan ketenangan jiwa kepada pencintaNya.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Mencintai Al-Qur’an adalah salah satu nikmat yang tak mampu dirasai oleh semua orang. Berusahalah. Carilah kenikmatan yang jarang diperoleh oleh setiap manusia. Berusahalah untuk merasai rasa gembira saat terlihat Al-Quran.

Carilah rasa bahagia saat membaca Al-Quran tanpa rasa jemu meskipun untuk tempoh yang lama. Wujudkan rasa rindu saat diri jauh daripada bait-bait Al-Quran. Rujuklah Al-Quran saat diri buntu dengan dunia.

Sesungguhnya Al-Quran itu kalam Allah – pendekat jarak kita dan Dia.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya hati semua anak cucu Adam itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah S.W.T akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya.” (Hadith riwayat Muslim)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih lagi belajar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%