, ,

Wanita Kerana Dirimu Begitu Berharga

“Apa yang kau menungkan?” Dia tiba-tiba sahaja datang menyapaku. Menyoalku lembut.

“Tiada apa-apa. Cuma aku terfikir seketika tatkala melihat status mengenai wanita. Wanita sering sahaja digambarkan dengan pelbagai objek, atau apa sahaja di muka bumi ini. Contohnya, wanita ibarat mawar berduri, cantik dilihat tak mudah untuk memiliki, kerana ada durinya yang menghalangi. Ada juga yang mengatakan wanita itu umpama pelangi, cantik tapi tak dapat disentuh. Banyak sangatlah,” bicaraku panjang lebar.

Dia tertawa mendengar omelanku. Aku tersengih saja melihat dia. Kelakarkah apa yang aku katakan.

“Betul tu. Wanita ini unik, dan bermacam perwatakannya. Sebab tu wanita banyak digandingkan dengan pelbagai objek di muka bumi ini. Semuanya bergantung pada kau untuk memilih menjadi yang mana. Tapi pilihlah menjadi wanita yang solehah. Itu yang paling indah dan cantik. Wanita itu perhiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah.”

Aku mengangguk tanda bersetuju dengan pendapatnya.

“Kau mahu jadi seperti apa? Jika aku, aku memilih menjadi seperti pokok semalu, aku pernah dengar kisah Rasulullah SAW dengan puterinya Saidatina Fatimah RA, di mana ketika Rasulullah SAW berjalan-jalan bersama puteri Baginda, setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan dan sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita.”

Kata Rasulullah, wanita itu patut mencontohi pokok semalu dari empat aspek:

(1) Pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

(2) Semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

(3) Semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

(4) Semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Dia tersenyum mendengar bicaraku.

“Benar, kau benar sekali. Tapi jika aku, aku memilih menjadi mutiara di dasar lautan. Yang tersimpan rapi dari pandangan sesiapa pun. Tersimpan dalam cengkerang keras yang dapat melindungi dirinya dari bahaya. Bila sampai waktunya, hanya dia yang dipilih Allah akan datang mengambilku. Meletakkan aku disampingnya sebagai peneman hidupnya. Menjadikan aku perhiasan cantik lagi indah yang hanya ditatap oleh pandangan mata dia. Kau tau, tidak semua berani mencari mutiara. Kerana kau perlu menghadapi segala risiko bahaya menyelam ke dasar lautan mencarinya. Aku berharap atas kesusahan yang dialaminya, dia akan lebih menghargai aku sebagai anugerah terindah dari Allah buatnya.”

Aku tersenyum senang mendengar bicaranya.

Aku tersedar sesuatu, tidak kiralah kau memilih untuk diumpamakan sebagai apapun, asal kau masih ingin menjadi wanita solehah.

Itu sudah cukup membuatkan kau begitu indah dan tidak ternilai harganya. Yang pastinya kau bukan sahaja cantik pada pandangan manusia… tapi kau mulia pada pandanganNya.

Jika kamu, kamu memilih untuk menjadi apa?

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%