,

Wanita Ini Menceritakan Saat Cemas Mati Hidup Semula

Bismillahirrahmanirrahim…

Moga Allah sentiasa merahmati semua yang membaca mahupun di luar sana.

Aku terpanggil untuk bercerita kisah yang pernah aku lalui. Masih baru, masih segar dalam ingatan. Kesannya akan terus membuatkan aku mengingati kembali kisah ini.

Sungguh Allah Maha Besar juga Maha Penyayang.

14 Februari 2017, tanggal keramat dalam hidup aku. Allah hadiahkan aku sebuah ujian.

Bagi aku berat, tapi hanya Allah lebih tahu. Pada tarikh itu, aku dimasukkan ke hospital kerana keradangan appendix.

Appendix aku pecah, doktor mengarahkan aku berpuasa kerana mereka ingin melakukan pembedahan pada malam itu. Sakitnya hanya Allah yang tahu.

Aku dimasukkan ke wad ditemani kakak ipar dan ibu mertuaku yang setia menunggu dan tidak putus memberi semangat pada aku. Hanya Allah mampu membalas jasa mereka.

Malam tiba, aku diarahkan untuk menukar baju dan terus ke dewan bedah. Sampai sahaja di sana, aku kelu dan takut.

Jantung aku berdegup laju memikirkan nasib aku dibedah. Difikiranku mula terbayang suamiku, ibu bapaku serta saudara mara yang lain.

Setelah doktor memberi penerangan tentang pembedahan, maka pembedahan dimulakan. Doktor bertungkus lumus memasang segala jenis jarum di tanganku. Selepas dibius, aku sudah tidak sedarkan diri.

Setelah selesai pembedahan, aku masih tidak sedarkan diri, jantung aku berhenti berdegup selama sembilan minit. Bukan sekali tapi 3 kali! Allahurabbi.

Aku dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selama 5 hari bersama segala jenis mesin untuk memanjangkan jangka hayatku serta membantu aku pada saat itu.

Hari ke-3 aku mulai sedar, ramai yang datang menziarahi aku tapi aku tidak dapat mengingatinya, mungkin kerana aku separuh sedar.

Keesokan harinya, barulah aku sedar sepenuhnya dan mampu mengingat semula. Melihat wajah suamiku, ibuku, ibu serta bapa mertua dan adikku, semangat aku mula kuat untuk sembuh.

Semakin hari, keadaan aku semakin baik dan aku dipindahkan ke wad biasa ditemani suamiku yang sanggup meninggalkan segala kesibukan assigment dan presentation hanya kerana aku.

Sabar serta setia menemani aku dan memenuhi keperluan aku pada waktu itu sehinggalah aku dibenarkan pulang ke rumah apabila benar-benar sembuh.

Sungguh, Allah menyayangi aku kerana mengurniakan seorang suami mithali untuk aku dan masih diberi peluang untuk merasai nikmat hidup dan sihat.

Terima kasih Allah, terima kasih kesayanganku.

Juga sekalung terima kasih kepada yang sentiasa menyokong aku serta memberi bantuan ketika aku sakit.

Mati hidup kembali. Itulah kata yang sering aku ungkapkan apabila melihat bekas parut pembedahan.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, dengan izinNya aku dihidupkan kembali. Semoga peluang ini aku mampu memperbanyakkan amalanku untuk bekalan akhir nanti.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis Nuuru Syahmatun binti Mohd Noor Hashim. Berasal dari Kemaman, Terengganu. Merupakan graduan di International Islamic College bahagian Pendidikan Awal Islam Kanak Kanak.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%