, ,

Wahai Suami, Bila Kali Terakhir Anda Menghargai Isteri Anda?

Berita yang menyiarkan seorang suami mendera isterinya seperti haiwan seperti yang diviral di dalam laman Facebook pada Oktober 2016 adalah amat mengejutkan.

Kenyataan mangsa bahawa beliau dipukul dan diperlakukan suaminya seperti binatang adalah amat menyedihkan.

Berikut merupakan kenyataan mangsa menceritakan detik-detik beliau diperlakukan seperti haiwan oleh suaminya:

“Bismillahirrahmanirrahim. Selama ni aku diam membisu seribu bahasa kau hina, fitnah, herdik, cerca keluarga aku. Hina aku. Pukul aku separuh nyawa. Kau ambil parang letak kat leher aku. Nak sembelih aku.

Tapi hari ini Allah S.W.T beri aku kekuatan untuk bongkarkan kebenaran. Bertahun perkahwinan kita. Dalam tempoh itu aku dipukul bagaikan binatang berkali-kali tanpa belas kasihan langsung sehingga anak sekecil Adam yang baru 2 tahun merayu melutut kat kaki kau untuk berhenti pukul aku.

Sampai pecah gusi anak aku kau tendang wahai suami dayus. Kau pukul aku guna besi buai. Kau campak aku dari ruang tamu ke dapur. Kau hempas kepala aku dengan laptop. Kau pijak perut aku masa aku dalam pantang anak kedua.

Kau paksa aku layan nafsu binatang kau. Sampai aku terpaksa buat pembedahan sebab luka pada faraj aku. Masa mengandung kau duduk atas perut aku yang dah 7 bulan lepas tu cekik aku…”

(Sumber: Petikan Kenyataan Mangsa Penderaan Suami di laman Facebook)

Penderaan terhadap mangsa ini jelas bercanggah dengan prinsip Islam iaitu bernafaskan perkataan Rahmah. Rahmah daripada kata rahima adalah bermaksud kasih atau belas kasihan.

Dalam ayat pertama di dalam al-Quran sendiri mengajarkan manusia bahawa Allah S.W.T memperkenalkan dirinya sebagai ar-Rahman dan ar-Rahim. 

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”. (Surah Al-Fatihah 1:1).

Penulis tertarik dengan kupasan Prof Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar dalam mengupas situasi Rahmah daripada Allah S.W.T diterapkan di dalam rumah tangga.

“Apatah lagi dapat kita lihat pada seorang ibu ketika melahirkan anak. Sembilan bulan badan payah. Datang rayuan anak akan lahir, diapun tidur, Selompat hidup, selompat mati.

Si suami berjalan-jalan sekitar rumah dengan dada berdebar-debar, dipengaruhi dengan rasa cemas dan harap, cemas kalau-kalau isteri yang dicintai diserang bahaya hingga maut kerana melahirkan, dan harap moga-moga si anak lahir dengan selamat, dan ibunya selamat pula.

Demikianlah beratnya penderitaan mengandung; bidan telah sedia menolong, dan setelah ditunggu dengan harap dan cemas, lahirlah anak itu, kedengaran tangisnya, si buyung atau si upik. Dengan kedengaran tangis itu, kelihatanlah wajah si ibu lega, hilang kepayahannya, kadang-kadang matanya tertidur sejenak, diliputi oleh Rahmat Ilahi.

Dia sudah lupa sama sekali akan kepayahannya, diubati oleh tangis anaknya yang baru Iahir itu. Dan si suami yang telah mundar-mandir sejak tadi di luar kamar bersalin, setelah diberitahu bahawa anaknya sudah lahir, anak dan ibu selamat,

kadang-kadang menangislah dia kerana sangat terharu. Rahmat Tuhan telah dimasukkan ke dalam jiwa mereka semuanya.”

(Sumber: Tafsir Surah Al Fatihah di dalam Kitab Tafsir Al-Azhar Prof Hamka)

Penceritaan Buya Hamka di atas menunjukkan rahmat Allah S.W.T telah dimasukkan ke dalam jiwa rumahtangga.

Pengorbanan isteri melahirkan cahaya mata adalah sangat besar berbanding dengan sumbangan kecil oleh sang suami yang hanya mampu merintih seperti diceritakan oleh Buya Hamka.

“… Dan si suami yang telah mondar-mandir sejak tadi di luar kamar bersalin, setelah diberitahu bahwa anaknya sudah lahir, anak dan ibu selamat, kadang-kadang menangislah dia karena sangat terharu. Rahmat Tuhan telah dimasukkan ke dalam jiwa mereka semuanya.”

Alangkah hinanya seorang suami sanggup memaki hamun serta mencederakan isterinya yang merupakan nikmat dan Rahmah Allah S.W.T kepadanya. Isteri merupakan sebaik-baik perhiasan dunia yang dikurniakan oleh Allah S.W.T sepertimana dinyatakan di dalam hadis di bawah :-

“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim).

Antara hikmah penciptaan isteri adalah agar suami dapat bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dengan syarat suami mempunyai perasaan kasih sayang dan belas kasihan terhadap isterinya seperti dinyatakan di dalam surah Ar-Ruum di bawah ini:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum 30:21)

Adalah amat menyedihkan sang suami yang hanya tahu memukul jiwa dan fizikal isterinya, namun di kala waktu yang lain meratah rakus tubuh isteri yang dipukulnya tadi. Nabi Muhammad S.A.W mengherdik suami seperti dinyatakan hadis di bawah:

“Sengaja seseorang kamu memukul isterinya bagaikan hamba sahaya kemudian menyetubuhinya di waktu lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Wahai suami, janganlah meletakkan kesalahan sama ada besar atau kecil di bahu seorang isteri sahaja.

Ianya bertentangan dengan konsep al-Quran yang tidak pernah meletakkan kesalahan Adam (suami) di bahu Hawa (isteri) sepertimana diceritakan di dalam ayat al-Quran di bawah ini:

“dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan menderita.

Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa kamu tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan merasa panas matahari”.

Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”.

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).”

(Surah Taha: 116-121).

Justeru, suami perlu memainkan peranan utama bagi memastikan keharmonian rumah tangga. Perasaan kasih dan belas kasihan seharusnya wujud di dalam jantung setiap suami terhadap isterinya.

Daripada perasaan kasih dan belas kasihan daripada jantung suami, barulah terbinanya hubungan suami isteri bernafaskan kasih dan kasihan belas sepertimana diikrarkan dalam lafaz sakinah:

“Dengan ini saya (nama pengantin lelaki), suami yang sah kepada (nama pengantin perempuan) bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat Iman, Islam, kesihatan dan isteri serta berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis akad nikah ini.

Oleh itu, mulai saat ini saya menerima tanggungjawab sebagai suami kepada isteri saya (nama pengantin perempuan) dan akan berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan tugas sebagai suami seperti berikut:

  1. Memberi nafkah zahir dan batin.
  2. Penjagaan dan perlindungan yang sempurna.
  3. Keselamatan yang terjamin.
  4. Memberi bimbingan dan panduan ke jalan yang diredhai Allah.

Saya mengharapkan doa restu daripada semua pihak terutama ibu bapa tersayang dan ibu bapa mentua saya. Semoga perkahwinan ini mendapat restu dan redha Allah…”

(Lafaz Ikrar Sakinah Negeri Johor)

Semoga artikel ini dapat memberi iktibar dan pengajaran kepada para suami di luar sana agar mempunyai perasaan kasih dan kasihan belas terhadap isterinya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Bekerja sebagai jurutera awam di ibu pejabat JKR Malaysia.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

6 points
Upvote Downvote

Total votes: 10

Upvotes: 8

Upvotes percentage: 80.000000%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 20.000000%