,

Umat Islam Akhirnya Ikut Telunjuk Barat (bahagian 2-akhir)

Pendidikan terbaik tidak sekadar menjadikan ilmu hanya sebagai teori untuk dijawab semasa peperiksaan dan lulus dengan cemerlang, malah pendidikan hanya dianggap berkesan apabila individu tersebut mengamalkan segala hukum yang diperintahkan dan meninggalkan larangan-Nya.

Untuk melahirkan generasi muslim yang bukan sahaja berilmu, guru adalah orang yang paling berperanan dalam mencetak mereka.

Oleh itu, para pendidik dalam pendidikan terbaik ini terlebih dahulu perlu mendapat pendidikan terbaik di peringkat tinggi dengan silibus terbaik dan akidah Islam yang mantap sehingga lahirlah para guru yang memiliki ketakwaan yang tinggi dan layak menjadi “role model” terbaik kepada para pelajar mereka.

Oleh itu, silibus  pendidikan di universiti haruslah berteraskan akidah Islam, bukan lagi akidah sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan.

Pendidikan Terbaik Melahirkan Pemimpin Terbaik

Sirah telah membuktikan bahawa Islam telah menaungi dunia dengan dipimpin susuk pemimpin yang bertakwa, hasil daripada pendidikan Islam yang berteraskan akidah.

Kita sering diinspirasi dengan nama Muhammad Al-Fatih yang berjaya menakluk Konstatinople.

Dalam usia yang masih muda, Muhammad Al-Fatih sudah menghafal Al-Quran, menguasai Ilmu Hadits, memahami Ilmu fikih, matematik, ilmu falak, strategi perang, dan menguasai enam bahasa.

Beliau adalah sosok yang pemberani namun tetap tawadhu’.

Hal ini membuktikan bahawa dalam design dan konsep kurikulum haruslah dibangun atas landasan Al-Quran.

Sultan Muhammad al-Fateh ialah salah seorang daripada tokoh pemimpin kerajaan Islam yang masyhur tercatat dalam sejarah dunia.

Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah nama beliau sebagai panglima perang, dikenali di benua Eropah.

Mendengar namanya sahaja sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah 10 tahun meninggal dunia.

Beliaulah pemerintah Islam pertama mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat sebagai Grand Seigneur yang bermaksud pemimpin agung.

Kekuatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak terletak pada ketinggian peribadinya.

Beliau mendapat pendidikan secara intensif oleh para ulama terulung antaranya ialah al-Syeikh Muhammad bin Ismail al-Kurani.

Beliau mengajar Sultan Muhammad al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu al-Quran, al-Hadith, fiqh, linguistik (bahasa Arab, Parsi, dan Turki), dan juga ilmu kemahiran yang lain.

Melalui proses pendidikan yang teliti berteraskan akidah Islam, maka tidak hairanlah lahir peribadi yang unggul seperti Sultan Muhammad al-Fateh.

Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan.

Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalangnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman.

Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran.

Oleh sebab itu, hidangan makanan dan cara berpakaiannya tidak terikat dengan peraturan-peraturan istana.

Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Sultan Muhammad al-Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah.

Melalui keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota Constantinople.

Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam kalangan paderi menyatakan keislaman mereka.

Khatimah

Hari ini, umat Islam dalam keadaan kritikal untuk dilindungi oleh para pemimpin terbaik yang memiliki keperibadian tinggi.

Hanya pendidikan berteraskan akidah Islam sahajalah yang dapat mencetak kembali pemimpin seperti Muhammad Al-Fateh.

Pemimpin soleh seperti Muhammad Al-Fateh bukanlah hal yang asing dalam dunia Islam. Kita juga sering diinspirasi oleh kepimpinan Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Bakar As-Siddiq dan Umar bin Abdul Aziz.

Mereka semua contoh terbaik yang terdidik dengan kaedah berfikir yang cemerlang, iaitu melalui akidah Islam.

Ternyata, pendidikan yang berteraskan akidah bukanlah pendidikan calang-calang, malah bakal melahirkan pemimpin bertakwa pencorak masa depan.

 

Rujukan: Muhammad Syaari Abdul Rahman (2017), Kuasa Kepimpinan Muhammad Al-Fateh, PTS Publications & distributors Sdn Bhd

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Aisyah Mohamad. Berasal dari Melaka.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 50.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 50.000000%