,

Ujian Adalah Pengalaman Terbaik

Apabila menyebut tentang ujian atau cabaran, ia adalah suatu kemestian dalam hidup kita kerana tiada manusia yang hidup di bumi ini yang tidak akan diuji oleh Allah. Tidak ada!

Setiap orang pasti menerima ujian yang berbeza-beza kerana Allah itu Maha Adil dan Dia akan memberi ujian sesuai dengan kesanggupan dan kekuatan setiap hamba-hambaNya.

Ada insan-insan kesayangan Allah yang diuji dengan pelbagai situasi dan Allah menilai kita berdasarkan cara kita menerima ujian tersebut.

  • Kematian orang tersayang
  • Perceraian
  • Masalah kewangan
  • Kegagalan
  • Dibuang kerja/ menganggur
  • Bankrap
  • Kekayaan
  • Kecantikan
  • Keagamaan

Setiap antara kita pasti akan diuji! Dan setiap ujian yang kita dapat memang sesuai dengan kapasiti kekuatan kita untuk memikul ujian tersebut.

Dan sekiranya kita diberi peluang untuk bertukar-tukar ujian, kita tidak akan mampu untuk memikul ujian orang lain.

Senior saya pernah bertanya:

“Sebagai contoh jika kamu mempunyai kapasiti kekuatan 50% dan Allah memberi ujian kepada kamu kapasiti 100%. Bolehkah kamu hadapi ujian itu?”

Apa jawapan yang akan kamu berikan? Boleh atau tidak boleh?

Saya dengan perasaan keliru + tidak faham, saya menjawab tidak boleh! Kapasiti kita hanya 50% sahaja, mana boleh terima kapasiti 100%.

Tetapi senior saya yang sangat positif orangnya menjawab dengan yakin!

“ Walaupun kapasiti kekuatan kamu hanya 50%, tetapi jika Allah yang memberi ujian 100% kepada kamu maka kamu pasti akan dapat menghadapinya kerana bukankah Allah itu Maha Kuat dan Dia yang akan menguatkan kamu dan Dia berkuasa meningkatkan kekuatan kamu dari 50% menjadi 150%”. Amazing right?

Kamu berasa kamu tidak mampu?

Tetapi Allah telah memilih dan memberikan ujian itu kepada kamu dan itu bererti kamu layak dan kamu mampu menghadapinya! Tahniah!

Keep in mind!

Insan kesayangan Allah akan sentiasa diuji. Dan setiap ujian yang Allah berikan mengandungi hikmah yang tersembunyi yang kita tidak nampak dengan mata kasar.

Mungkin setahun, 5 tahun atau 10 tahun nanti kita akan merasai hikmah atas ujian yang Allah berikan untuk kita.

Jika kita ingin melihat contoh teladan, Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang begitu dekat di hati kita. Rasulullah adalah insan kesayangan Allah. Baginda juga turut diuji dengan ujian yang sangat berat.

  • Kematian ibu dan ayah sejak kecil
  • Kematian datuk
  • kematian bapa saudara
  • kematian isteri tercinta, Khadijah
  • dituduh sebagai pendusta dan gila
  • diusir dari kampung halaman
  • dipulaukan oleh penduduk kampung
  • dibaling batu sehingga berdarah
  • diancam bunuh
  • diuji dengan kelaparan
  • diuji dengan tawaran dunia (pangkat, harta, wanita)
  • kekalahan dalam perang

Kita berasa lemah dengan ujian walhal ujianlah yang sebenarnya menguatkan kita kerana ujian adalah tarbiyah daripada Allah secara langsung!

Ujian adalah pengalaman hidup yang Allah berikan untuk kita dan ia takkan sama dengan orang lain. Justeru terimalah ujian daripada Allah dengan tabah dan sabar dan bersangka baiklah kepada Allah.

Sebagaimana Rasulullah sentiasa bersabar dan bersangka baik kepada Allah maka Allah memenangkan Rasulullah menjadi insan yang hebat sehingga dikenali sepanjang zaman. Kesabaran Rasulullah dibalas dengan balasan kebahagiaan dunia dan akhirat.

  • Perdana Menteri Madinah
  • Ketua kewangan
  • Ketua hakim
  • Ketua panglima perang
  • Berjaya menakluk Kota Mekah
  • Islam tersebar ke serata Tanah Arab
  • Bahagia bersama isteri tercinta, Aisyah
  • Bahagia bersama anak tercinta, Fatimah
  • Isterinya Khadijah, wanita jaminan syurga
  • Anaknya Fatimah, wanita jaminan syurga
  • Menantunya Ali, lelaki jaminan syurga
  • Cucunya, hasan dan husin, pemuda syurga
  • Khulafa’ Arrasyidin dijamin syurga

Setiap hamba Allah yang berjaya dalam ujiannya dengan cemerlang pasti akan tersenyum bahagia kerana dia telah mendapat kebahagiaan yang hakiki. Kasih sayang dan redha Allah.

Dia akan melihat setiap hikmah yang Allah sembunyikan di sebalik ujian yang maha dahsyat itu dan ketika itu hatinya berbisik “Terima kasih Allah atas segalanya.”

“Allah memberi kita ujian dan Allah pasti memberi kita jalan keluar.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

12 points
Upvote Downvote

Total votes: 12

Upvotes: 12

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%