,

Tulislah Sesuatu Yang Membahagiakanmu Di Sana

Aku mula minat menulis sejak di bangku sekolah. Permulaannya adalah dengan menulis diari. Setiap hari, aku akan tulis apa yang telah aku lalui.

Bagiku, menulis itu adalah satu kepuasan. Puas meluahkan segala yang terbuku dalam hati pada diari tersayang. Diari itu pun aku berikannya nama, seolah-olah itulah kawan akrabku.

Lama-kelamaan, aku berjinak-jinak dengan blog pula dan masih aktif menulis diari, kerana tidak semua perkara wajar aku hebahkan dalam blog.

Seingat aku, zaman itu adalah zaman kegemilangan blog. Rasa bangga menjadi salah seorang blogger.

Macam-macam aktiviti yang dianjurkan oleh blogger lain yang aku sertai. Niat aku sahaja mahu memeriahkan blog sendiri dan mencari kenalan baru.

Pendirian aku waktu itu masih tidak berubah. Aku menulis untuk meluahkan segala rasa hati.

Aku hasilkan cerpen bersiri pertama aku ketika di bangku sekolah. Tulis tangan.

Setiap kali waktu rehat dan tamat sesi persekolahan, aku akan menulis beberapa perenggan, kemudian baru pulang ke rumah. Puas.

Aku suka menulis. Apa yang aku lalui dan rasakan, aku tulis dan jadikannya cerita. Dari tulis tangan, aku belajar taip kesemua cerpen-cerpen aku dan kemudiannya aku masukkannya ke dalam blog.

Berterusan begitu hinggalah aku melangkah masuk ke alam universiti.

Bila dah belajar di univerisiti, aku aktif sertai kelab dan medium aku menyampaikan aktiviti aku adalah menggunakan blog, meskipun pada waktu itu Facebook sudah mula diperkenalkan.

Aku tidak tahu pun kegunaan Facebook pada ketika itu. Hanya buat akaun dan main games sahaja. Aku juga rajin sertai kursus-kursus penulisan, nak memahirkan lagi diri dalam bidang ini.

Percayalah, setiap kali pergi mana-mana kursus penulisan, diri akan ditanya, ‘Kenapa mahu menulis?’

Setiap kali dapat soalan begitu, jawapan aku banyak kali berubah. Yalah, nak tunjuk juga kita ni hebat dengan memberikan jawapan yang tidak terlalu klise. 

Berubah macam mana sekalipun, jawapan aku tetap memberikan maksud yang sama.

Aku menulis kerana ingin meluahkan rasa hati. Aku nak semua orang tahu apa yang telah aku dan orang sekeliling lalui. Aku rasa puas begitu.

Suatu hari, seorang sahabat aku telah memberikan aku sesuatu yang mampu menjentik naluri aku sebagai seorang penulis.

Kerana sesuatu itu jugalah, pegangan aku ingin menjadi seorang penulis telah berubah. Percaya atau tidak, aku sendiri telah padam segala coretan di blog aku serta cerpen-cerpen yang telah aku karang.

Sahabat aku ada kongsikan kata-kata yang dia temui di carian Google ini denganku,

“Setiap penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti.” (Ali bin Abi Tholib)

Terkedu. Aku soal kembali diriku. Apa tujuannya aku menulis? Kepuasan apa yang aku cari? Adakah kepuasan itu bermanfaat untuk orang lain yang membacanya?

Ditakdirkan Allah aku pergi menemui-Nya, adakah karya-karya dan coretan yang aku kongsikan selama ini dapat membantu aku di sana nanti?

Aku jadi takut dan mula baca semua kisah aku di blog. Mana yang aku sendiri rasakan tidak dapat memberi manfaat pada yang lain, aku padam.

Mulai saat itu, aku cuba perbetulkan semula niat aku menulis.

Aku menulis kerana aku mahu berkongsi, dan pastinya, berkongsi sesuatu yang bermanfaat untuk diri aku juga mereka yang membaca.

Kini, bila sudah diperkenalkan dengan Facebook, Twitter, Wattpad, Tumblr, malah Instagram lagi mudah penyebaran medium penulisan aku, tapi kembali pada diri, adakah aku menulis kerana Allah atau kerana followers  dan populariti?

Baru-baru ini, aku disapa kembali dengan ungkapan yang sama setelah beberapa tahun lamanya,

“Manusia akan mati bila-bila masa, tetapi tulisan akan kekal selama-lamanya. Maka tulislah perkataan yang menyebabkan kita gembira di akhirat kelak. (Habib Umar bin Hafidz)”.

Besar dan berat sebenarnya tanggungjawab sebagai penulis ini, tidak kiralah menulis cerpen, novel, artikel, atau update status sekalipun.

Semuanya akan dipertangunggjawabkan di hadapan Allah nanti.

“Pembaca adalah kekasih para penulis.” Kata-kata yang diberikan oleh Helvy Tiana Rosa, yang merupakan salah seorang penulis berasal dari Indonesia.

Pastinya, aku mahukan sesuatu yang terbaik untuk para kekasihku. Begitulah naluri seorang penulis.

Pesanan buat diri ini sebenarnya, semoga dapat mendidik hati ini terus istiqomah menulis dan berkongsi yang bermanfaat buat semua.

Andai satu hari nanti, Allah uji diri berada di tangga teratas, semoga Allah pelihara hati dan jiwa ini agar berterusan tunduk ke bumi dan tidak pernah melupakan tujuan aku mula menggelarkan diriku sebagai seorang penulis.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%