,

Tuhan… Kenapa Aku Yang Engkau Pilih? (bahagian 1)

Nazirah menangis semahunya. Meluahkan rasa yang dipendamnya. Biar hari ini dia bebaskan semuanya. Luka, kepedihan dan kecewanya.

Dia tidak mahu lagi menahan apa yang akan jatuh, mencantum apa yang sedang retak dan berpegang pada apa yang bakal putus. Untuk kali ini saja, biar dia lepaskan semua.

“Tuhan… kenapa harus aku yang Engkau pilih?” Entah untuk ke berapa kalinya dia menyoal perkara yang sama.

Sejak pulang dari Hospital Kuala Lumpur semalam, dia merasakan dunianya seakan gelap, hilang ke mana masa depan yang selama ini jelas pada pandangan.

Impian yang selama ini digantung setinggi langit, setiap satunya sudah jatuh berderai ke bumi saat dia menerima perkhabaran itu.

Dua minggu yang lalu.

“Su, aku tak larat sangat ni. Rasa nak pitam je ni,” luah Nazirah pada sahabat karibnya Suraya. Sudah hilang upaya untuk bicara. Suaranya sama-sama saja kedengaran.

“Hah? Naz… kau kenapa weh? Jom aku papah kau keluar. Kita pergi klinik,” bisik Suraya. Mana tidaknya, mahu cakap kuat mereka sedang berada di dalam kelas. Kalau volume suaranya ditinggikan. Mungkin kaget satu kelas.

“Nantilah. Aku nak tunggu sampai kelas ni habis. Ada 10 minit je lagi ni, rugi nanti kalau aku tertinggal apa yang di lecture nanti,” jawab Nazirah pula.

Suraya menghela nafas berat. Sabahatnya yang seorang ni. Dalam sakit pun masih sibuk nak fikir pasal kelas. Buatnya si Nazirah pitam dalam kelas ni, haru jadinya nanti.

Tapi dia mengerti sungguh sikap keras kepala kawannya yang seorang ini. Jika jawapan A jangan berharap akan bertukar menjadi B. Dulu waktu kecil rasanya sahabatnya ini banyak makan ais batu.

Tu keras kepala tu.

“Okay class, dont forget to submit your tutorial on next week. Class dismissed.”

Sebaik sahaja pensyarah meraka keluar dari bilik kuliah, Nazirah berlari keluar masuk ke tandas. Dia memuntahkan segala isi yang memenuhi perutnya. Sejak dalam kelas tadi perutnya sebu meminta untuk dikosongkan.

Tiba-tiba pandangannya gelap. Dan, dia cuma mendengar satu jeritan suara memanggil namanya sebelum dia benar lelap ke dunia fantasi.

Mata dibuka. Pandangannya yang mulai kabur semakin jelas. Matanya melilau ke sekeliling.

“Aku ada di mana?” Dia bersuara.

“Assalamualaikum cik. Cik sudah sedar ya. Sila bawa bertenang cik. Cik berada di hospital sekarang ini,” lembut tutur seorang gadis kecil molek yang berpakaian serba lengkap dalam uniform jururawat.

Nazirah yang masih keliru hanya termangu. Tiba-tiba pintu wad dibuka. Seorang wanita dalam lingkungan usia pertengahan tahun melangkah masuk. Daripada pemakaiannya saja Nazirah sudah tahu wanita itu seorang doktor.

“Assalamualaikum cik Nazirah. Bagaimana keadaan cik. Semakin baikkah?” Sapa wanita itu dengan penuh ramah.

“Alhamdulillah doktor. Saya dah rasa okay,” jawab Nazirah

“Alhamdulillah…” sambut Doktor wanita itu. Dia kemudiannya berbicara sesuatu dengan jururawat yang berada di dalam bilik itu tadi. File yang dipegang oleh jururawat tadi bertukar tangan. Doktor itu menyelak dan menuliskan sesuatu pada file yang dipegangnya.

“Cik Nazirah, boleh saya tanya sesuatu. Sejak bila cik Nazirah mula pitam sebegini. Kerapkah terjadi sebelum ini atau ini adalah yang pertama kalinya?” Soal wanita itu. Nada suaranya berubah sedikit. Berbunyi lebih serius.

“Sebelum ni pernah terjadi juga doktor. Dalam dua kali. Tapi sejak kebelakangan ini saya kerap sakit kepala. Dan hari ini, semasa di kelas tadi saya rasa sakit kepala yang teramat sangat. Dan perut saya rasa sebu. Kenapa dengan saya doktor?”

“Macam ni cik Nazirah. Kami masih lagi dalam proses diagnosis. Kami telah mengambil sampel darah cik untuk dibuat ujian. Kami menjangkakan mungkin cik Nazirah berpotensi menghidap kanser. Tapi cik jangan khuwatir dulu, ini cumalah ramalan. Keputusan sebenar nanti akan kita peroleh selepas keputusan ujian darah cik Nazirah keluar. Banyakkan bersabar ya cik.”

Nazirah tersedar daripada lamunannya. Hari itu seperti merupakan titik hitam yang merubah diri dia. Hari itu, seperti hari yang diharapkan takkan pernah wujud dalam hidupnya. Dan semalam seolah pelengkap episod hitam hidupnya apabila tenyata dia positif menghidap penyakit kanser otak tahap ketiga.

Sejak menerima perkhabaran itu, Nazirah seperti putus asa untuk hidup. Baginya tiada guna lagi diteruskan kehidupan jika akhirnya dia akan mati.

Tiada guna diangankan segala harapan dan impian jika akhirnya nanti hanya akan terkubur dengan sebuah kematian.

Duhai anak Adam, lupakah bahawa syarat untuk mati tidak pernah menunggu untuk kamu tua atau sakit. Mati itu pasti walau pada hari ini kamu dilalaikan dengan sebuah kegembiraan yang memperdayakan.

Siapa yang tahu ternyata kain kafanmu sedang ditenun untuk dipakaikan esok pada hari kamu berjumpa Tuhan? Kematian itu satu rahsia, jadi kita harus sentiasa bersedia untuk menghadapinya.

Seminggu berlalu…

“Assalamualaikum, Naz… kau di mana? Aku datang ni,” panggil Suraya.

Dia melangkah masuk ke kamar milik Nazirah. Luluh hatinya melihat sahabatnya yang semakin hari semakin parah keadaannya. Minggu lepas, Suraya dikejutkan dengan berita bahawa Nazirah sudah menghentikan pengajiannya di universiti.

Sebaik mendengar berita itu, dia segera menelefon sahabatnya itu, namun hampa. Panggilannya tidak dijawab. Akhirnya dia membuat keputusan untuk ke rumah Nazirah sendiri.

Disebabkan kekangan masa dia baru berkesempatan untuk datang pada hari ini.

 

> bersambung Tuhan… Kenapa Aku Yang Engkau Pilih? (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%