,

Tidak Ternilai Dengan Hidayah Allah

Seperti hari-hari biasa, aku ke kelas pada awal pagi, tetapi pagi itu, aku sangat bernasib malang.

Sebenarnya, sejak dua menjak ini, aku terasa badan aku berat sekali, kepala aku juga. Mungkin kerana bermacam hal berlaku sejak kebelakangan ini, macam-macam hal.

Ah, kembali kepada pagi itu, sedang aku macho berjalan di kaki lima bangunan fakulti aku, tiba-tiba ada seorang lelaki, berlari dan terus melanggar aku sehingga aku terjatuh.

“Maaf bang, saya tak perasan abang tadi.” Lelaki itu menyuakan tangannya, mukanya nampak cuak.

Aku hanya berdehem dan terus mengambil buku-buku yang bertaburan.

“Kacau stim betullah budak ni. Sudahlah ‘crush’ aku lalu tadi.” Aku mengutuk dia dalam hatiku.

“Saya pergi dulu ya abang, ada masalah sikit ni, maaf ya.” Dia terus memegang tanganku untuk bersalam. Aku menyambutnya, dan tersenyum kambing. “Dia ingat hanya dia ada masalah?” Kata aku dalam hati.

Aku terlewat ke kelas kerana kejadian itu dan menyebabkan aku tidak boleh menandatangani kedatangan untuk hari itu, dan ianya bermaksud peratus kedatangan aku turut menurun.

Aku mengutuk-ngutuk lelaki tersebut dan memikirkan betapa malangnya aku pada hari itu. Di dalam kelas, aku tidak fokus, aku hanya bermain COC di dalam telefon aku.

Manakan tidak, aku datang ke kelas hanya untuk mendapatkan kedatangan. Ah, malang sekali.

Selepas habis kelas, aku terus ke kafe untuk makan. Apabila aku menyeluk poket aku, sah, dompet aku hilang. “Ni mesti kerja budak tadi.” Aku menuduh.

Terpaksalah aku menahan lapar sehingga kelas seterusnya. Semasa aku sedang mencari-cari duit yang mungkin terselit di dalam beg, aku terlihat sebuah buku nota yang bukan milikku.

Aku hairan lalu mengambil dan membuka buku tersebut. Terpampang nama Fateh di muka surat pertama bersama dengan satu jadual harian.

Aku pasti buku tersebut milik si lelaki yang ‘mencuri’ dompet aku. Aku meneliti jadual harian si Fateh, budak masjid rupanya dia ini.

“Dasar penunggang agama. Aku tunggu kau nanti Fateh, jaga kau.” Aku berbisik dalam hati sambil menggenggam penumbuk.

Sebelum masuk waktu Zohor, aku terus meluru ke masjid universiti untuk berjumpa dengan si Fateh.

Sesampai sahaja aku di masjid, azan telah berkumandang, mahu tak mahu, aku terpaksa masuk ke masjid kerana ramai para pelajar dan pensyarah turut memasuki masjid untuk menyempurnakan solat Zohor.

Sudah semestinya aku masuk kerana untuk menjaga air muka aku, takkan aku nak patah balik, malulah nanti.

Selepas aku mengambil wudhuk, aku terus duduk menunggu iqamat dan aku ternampak si Fateh, dia sedang menunaikan solat sunat.

Aku terus bergerak ke arah dia apabila iqamat bermula dan aku berdiri di sebelahnya, mahu ditegur seperti tidak senonoh. Aku pun menahan rasa marah aku dan menunaikan solat. Apabila imam menyuruh membetulkan saf, beliau menyambung.

Solatlah seperti ini adalah solat terakhir kita.”

Aku terkaku, tiba-tiba aku terfikir, bilakah kali terakhir aku datang ke masjid untuk berjemaah?

Jumaat pun sering terbabas. Aku rasa mahu menangis, tetapi yang menangisnya si Fateh. Teresak-esak dia di sebelah aku. Aku terus fokus kepada solat aku.

Pelik, aku rasa khusyuk. Air mata keikhlasan menitis di pipi aku.

Waktu itu, hanya aku dan Dia. Dunia seperti gelap, dan cahaya dari atas menerangi aku. Aku dapat rasakan kemanisan itu, kemanisan yang sudah lama hilang daripada diriku, turut sama melayang bersama kepuraan-puraan duniawi.

Pada sujud yang terakhir, lama aku bersujud. Seusai solat, aku sekilas memandang si Fateh di belah kananku, dia hanya tertunduk sambil memuji-muji Allah Yang Maha Esa. Tiba-tiba bahu kiriku dipegang seseorang.

“Rahmat, ni kau punya wallet, kau tertinggal dalam kelas tadi. Aku tak sempat nak cari kau lepas kelas tadi. Okay, aku pergi dulu, ada kelas.”

Rupanya aku sudah tersilap sangka kepada Fateh. Aku senyap di sebelahnya.

Sambil berzikir perlahan-lahan, aku mendengar isi kandungan doa Fateh yang aku sempat tangkap.

Dia berdoa dengan bersungguh-sungguh.

“Ya Allah, Engkau sembuhkanlah penyakit ibuku, Engkau kuatkanlah dia saat aku berjauhan dengannya… Engkau permudahkanlah segala urusan saudara yang aku telah terlanggar sebentar tadi…” Panjang doanya, dan di dalam doanya dia mendoakan aku.

Aku mengaminkan doanya dan lantas itu aku berpusing dan memeluknya erat. Dia terkaku tetapi dia membalas pelukanku erat.

“Eh, abang rupanya. Maaf, tadi…”

“Tidak apa Fateh, abang nak ucapkan kat Fateh, terima kasih banyak sebab dah tolong buka pintu hati abang yang sudah lama terkunci dengan mangga keduniaan. Ni buku kamu, dan kenapa kamu tak balik pergi jumpa mak kamu?” Aku bersungguh-sungguh memberitahu dan menanya dia.

Fateh terjeda, mungkin sedang memproses kata-kata aku.

“Er… Saya tak balik sebab… Saya tak cukup duit.”

“Nah dua ratus ni. Kamu pergi balik, abang tak ada kereta nak hantar kamu. Kalau ada, dah lama abang bawa kamu.”

Mulanya dia menolak, tetapi aku terus memaksanya untuk menerima dan dia akur. Wajahnya berubah kegembiraan dan dia terus melakukan sujud syukur, begitu juga aku.

RM200 tidak bernilai langsung jika dibandingkan dengan apa yang Allah telah kurniakan kepada aku hari itu.

Kini, masjid merupakan tempat tarbiah aku dan Fateh merupakan sahabat dunia akhirat aku.

Alhamdulillah wa lailaha illallah wallahu akbar.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Wahidah binti Rosmizam. Berasal dari Kemaman, Terengganu. Sedang melanjutkan pengajian di UIAM Gombak.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

22 points
Upvote Downvote

Total votes: 24

Upvotes: 23

Upvotes percentage: 95.833333%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 4.166667%