,

Ternyata Mereka Dengan Syurga Sangat Dekat

Saat Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara bagi Israel, hati tersentak rasa sedih yang amat sangat.

Membuatkan aku terfikir, adakah kiamat sudah semakin hampir? Adakah bumi sudah berada di penghujung usianya.

Rasulullah SAW bersabda, “Aku menghitung 6 perkara menjelang hari kiamat dan salah satunya ialah penaklukan Baitulmaqdis.” (Hadith riwayat Bukhari)

Usai mendengar berita itu, aku mengambil sejadah lantas menunaikan solat sunat. Sujud kali ini lama, bukan seperti biasa.

Qunut nazilah dibacakan sambil terbayang wajah-wajah umat Islam yang dizalimi. Air mata aku keguguran.

Aku teresak-esak di dalam sujud. Mengenangkan usaha aku yang sedikit cuma untuk ummah. Kurangnya aku berdoa untuk kesejahteraan ummah.

Benar sabda Nabi, “Kamu akan melihat orang beriman saling berkasih sayang antara satu sama lain, mencintai antara satu sama lain, bersahabat antara satu sama lain, ibarat satu tubuh. Ketika satu bahagian tubuh sakit, menyebabkan keseluruhan tubuh turut merasai sakit juga.”

Kali ini benar-benar membuka mata kita semua. Umat Islam di negara sendiri pun berpecah belah. Bagaimana kita mahu berjihad di Palestin, Syria? Sedangkan kita solat Subuh pun di kala matahari sudah menampakkan sinarnya.

Baitulmaqdis atau dikenali sebagai Jerusalem yang dimiliki oleh Palestin, kini sesuka hati mereka meletakkannya di bawah kekuasaan Israel.

Saat umat Islam dizalimi, ALLAH mengajarkan kita satu doa yakni qunut nazilah, agar kita juga turut memainkan peranan kita sebagai satu ummah.

Ini bukan soal umat Islam semata, tetapi ini isu kemanusiaan. Satu dunia mengetahui negara Palestin bergolak dek kerana kekejaman Israel.

Hari-hari akan dihujani dengan bom dan tembakan. Darah dan nyawa melayang saban waktu.

Mereka adalah hamba Allah yang terpilih untuk diuji dengan seberat ujian.

Kerana rata-rata mereka apabila disoal, “Adakah kalian okay dengan keadaan ini?” Mereka akan menjawab, “Kami ok, Allah sahaja sebaik-baik penolong kami.”

Ternyata mereka dengan syurga sangat dekat, tetapi kita masih jauh dengan syurga.

Mana tidaknya, apabila ujian datang bertandang, kitalah yang paling banyak mengeluh. Kitalah yang paling banyakkan salahkan Allah.

Ingat, jika Allah turunkan ujian buat kita, kenanglah kembali betapa berat lagi ujian rakyat Palestin.

Apa usaha dan peranan kita sebagai manusia dan sebagai satu ummah? Aku, kau, kita semua perlu memainkan peranan masing-masing, bukan fikirkan soal diri sendiri sahaja.

Dah boikot barang keluaran Israel?

Dah tadah tangan berdoa untuk kesejahteraan ummat?

Kalau belum, jom mula dari sekarang! Sekurang-kurangnya, ada yang kita boleh jawab di akhirat kelak.

Bacaan terjemahan qunut nazilah:

Ya Allah kami letakkan Kamu di batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka,

Ya Allah hancurkan kumpulan mereka,
Ya Allah pecahkan pakatan mereka,
Ya Allah leburkan pendirian mereka,
Ya Allah musnahkan langkah mereka.

Cengkamkan anjing-anjing Mu kepada mereka.

Ya Allah yang Maha Memaksa,
Ya Allah yang Maha Perkasa,
Ya Allah yang Maha Membalas.

Yang turunkan kitab,
Yang gerakkan awan,
Yang tewaskan tentera ahzab.

Kalahkan mereka,
Dan kemenangan untuk kami.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%