,

Tentang Adil Dan Ihsan Yang Kita Tidak Sedar

Selain menyokong, sahabat yang baik juga akan mengingatkan kita tentang kebaikan.

Di sini saya kongsikan sedikit nota kuliah yang diberikan sahabat saya mengenai adil dan ihsan (ceramah oleh Ustaz Al Habib Ali Zaenal Abidin).

Maksud Adil

Adil adalah lawan kepada perkataan zalim.

Maksudnya adil di sini adalah memberikan hak yang sesuai dengan syarak dan menuntut hak yang sesuai dengan syarak.

Dalam erti kata lain, “Meletakkan sesuatu pada tempatnya.”

Jika tidak menunaikan atau menuntut hak dengan syarak, kiranya kita telah bersikap zalim dan berdosa.

Contohnya seperti bab harta. Jika perlu memberi hak, maka berilah dengan amanah dan adil. Jika kita minta, mintalah hak kita dengan adil.

Maksud Ihsan

Maksudnya memberikan hak yang lebih (membalas sesuatu dengan lebih baik). Dan ihsan juga bermaksud menggugurkan hak kita dengan syarak.

Ihsan ini luas, baik kepada jiran, pasangan, kawan mahupun pekerja di syarikat kita.

Bayangkan Nabi ada masa untuk membantu dalam hal kerja-kerja rumah, sedangkan kita tahu kesibukan dan tugas Baginda yang pelbagai.

Adil itu adalah sikap yang baik, namun ihsan lebih baik lagi.

“Sesungguhnya Allah memerintahkan (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan) serta membantu kaum kerabat. Dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu, agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl ayat 90)

Kita semua pemimpin

Keadilan merangkumi semua. Bukan hanya pemimpin negara, namun juga pemimpin dalam keluarga, bahkan kepada diri kita sendiri.

Apapun yang dipimpin, siapapun, dia perlu bertanggungjawab.

Jika dia tiada rakyat sebagai pemimpin sekalipun, pancaindera adalah “rakyatnya”.

Manusia umpama negara dan rajanya adalah hati. Penasihatnya baiknya adalah akal (ilham) dan wahyu (syarak) dan penasihat jahatnya adalah syaitan.

“Hati umpama raja bagi rakyatnya; iaitu anggota badannya.” – Imam al-Ghazali.

Kita adalah pemimpin kepada anggota badan. Jadi berlaku adillah dengan anggota badan. Ada tujuh “rakyat” yang perlu kita pimpin.

Lisan, pendengaran, penglihatan,  kemaluan, perut, kaki dan tangan. Ini semua akan menjadi saksi kepada kita kelak.

Mereka akan berhujah pada kulit sendiri. Jadi perlulah kita sentiasa berbuat kebaikan.

“Pada hari itu Kami tutup mulut mereka ; dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: ayat 65)

Tanggungjawab

Adalah menjadi tanggungjawab kita (yang berkuasa ke atas orang yang dipimpin) untuk membimbing akan apa yang fardu.

Misalnya tanggungjawab lelaki ajar ilmu hukum kepada isteri.

Carilah kebaikan yang banyak dengan pasangan kita dan carilah ganjaran yang banyak melalui kelemahan pasangan.

Tanggungjawab anak pula menggembirakan mak ayah, wajib. Dapatkan keredhaan mereka.

Jangan meremehkan nasihat mereka, jika ada kebaikan dalam sesuatu yang mereka tak suka (namun kita mahu buat), maka bincang dan pujuklah baik-baik.

Jika orang yang kita pimpin ada kesalahan, maafkan (bersifat ihsan), jangan cepat sangat menghukum.

Kiranya kita menggugurkan hak untuk orang itu berdosa dengan kita. Sifat ihsan ini perlu ada dalam hal manusiawi.

Contohnya seperti masalah cuai atau lupa. Lagipun mereka bukan sengaja.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, menjadi saksi yang adil; dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah: ayat 8)

Elakkan bersikap zalim dan sombong sebagai pemimpin. Tanda sombong dalam hati kita:

– Rasa bangga dalam diri bila orang hormat.

– Tak menjaga ukhwah dengan orang.

– Tak nak buat perkara yang perlu dibuat.

Bersikap adil dan ihsanlah hingga ke akhir hayat. Allah Maha berkuasa, biarlah sifat sombong itu hanya menjadi sifat Allah. Kita tidak layak.

Seseorang yang kita pimpin mampu menjadi neraka atau pun syurga buat kita, jadi kita perlu menunaikan dan menjaga hak yang lain serta perlu menerima juga hak kita dengan adil dan ihsan.

Wallahua’lam.

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim: ayat 6)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%