,

Tempat Orang Yang Celaka Beristirehat (Bahagian 1)

Kehidupan di dunia akan datang penamatnya. Penamat di dunia bermakna permulaan baru di akhirat.

Antara dua perkara itu adalah pemutus kelazatan iaitu kematian dan ia merupakan permulaan untuk kita menuju ke tempat yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka.

Adapun bagi orang yang celaka, ia merupakan permulaan bagi kecelakaan yang lebih besar kerana yang menanti mereka di sana adalah makhluk bernama neraka. Makhluk yang akan menyambut ahlinya dengan ngauman kemarahan yang amat dahsyat.

Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

“Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak, hampir-hampir (neraka) itu berkecai-kecai lantaran marahnya. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan, penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?” (Surah al-Mulk ayat 7-8)

Lalu mereka berkata, “Ada” disertai dengan rasa penyesalan yang sangat dalam tetapi rasa itu hanyalah sia-sia sahaja.

Oleh itu amatlah penting bagi kita manusia untuk membuat persiapan agar kita menjadi hambaNya yang berjaya dan agar tidak menjadi golongan yang menyesal.

Permulaan Kecelakaan

Ketika manusia dihimpunkan selama 50,000 tahun dalam perhimpunan yang besar untuk menunggu nasib mereka sama ada berjaya ataupun sebaliknya, ia merupakan sebuah penantian yang sangat menyeksakan.

Bagi orang yang lalai, kecelakaan mereka baru sahaja bermula iaitu apabila buku catatan yang mana mereka remehkan bahkan mereka dustakan itu diberikan di tangan kiri.

Allah SWT berfirman dalam kitabNya:

“Adapun orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: “Aduhai, alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini). Dan aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku. Wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu. Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Telah hilang pula kekuasaanku daripadaku.” (Surah al-Haqqoh ayat ke 25-29)

Pada hari itu, golongan ini amat berdukacita bahkan mereka menyatakan alangkah baiknya jika pada hari itu mereka dimatikan sahaja.

Lihat sifat manusia, ketika di dunia mereka tidak berfikir tentang kematian tetapi apabila mereka menerima buku catatan dari tangan kiri, mereka berharap agar mereka dimatikan sahaja.

Lantas mereka menyebutkan punca utama kesesatan mereka iaitu ketika mana di dunia mereka dilalaikan dengan harta dan pangkat.

Lebih teruk daripada itu, sebahagian golongan ini menerima buku catatan dari arah belakang bagi menunjukkan tiada nilai rahmat bagi mereka ini dan sebagai penghinaan kepada mereka.

Firman Allah SWT:

“Adapun orang-orang yang diberikan kitabnya dari belakang, maka dia akan berteriak: “Celakalah aku.” (Surah al-Insyiqaaq ayat 10-11)

Titiran Sirat Yang Digoncangkan

Sesungguhnya penghakiman Allah SWT itu sangat adil dan antara manisfestasi keadilan yang ditunjukkan kepada manusia ketika itu adalah mereka perlu melalui titian sirat.

Bagi orang yang celaka ia merupakan satu jalan dahsyat bagi menempuh kedahyatan yang lebih besar.

Allah SWT tidak membiarkan mereka berjalan begitu sahaja tetapi ia akan disertai dengan goncangan sirat.

Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Basyar bin Ashim diberitahu oleh Umar, manakala Umar mendengarnya daripada Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada seorang pun yang terlepas dari urusan dunia kecuali akan dihalang oleh Allah di atas jambatan neraka Jahanam. Jambatan itu akan digoncang dengan dahsyat. Maka ada orang yang selamat atau tidak selamat. Apabila tidak selamat, dia akan masuk ke dalam perigi yang sangat gelap bagaikan kubur dalam neraka jahanam. Kedalaman perigi itu adalah tujuh puluh tahun perjalanan.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya)

Bagi mereka yang jatuh dari titiran sirat itu, maka mereka akan jatuh dalam neraka yang jaraknya 70 tahun perjalanan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Hakim daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW bersabda:

“Sekiranya aku mengambil tujuh ekor unta betina yang bunting, kemudian aku lemparkan dari tepi neraka berserta lemak-lemaknya, pasti tidak akan berakhir sehingga mengambil masa tujuh puluh tahun.”

Keadaan di tempat tinggal mereka

Bermula dari saat itu neraka akan menjadi tempat tinggal mereka dan ini bermakna mereka akan mengalami satu tribulasi penyeksaan yang panjang.

Perkara yang mulia di dunia akan menjadi perkara yang dihina sehina-hinanya.

Manusia, anggota badan mereka yang paling mulia adalah wajah mereka dan ketika mana mereka di neraka, wajah yang mereka pelihara dan banggakan itu yang akan menjadi anggota pertama yang akan dihina oleh Allah SWT.

Wajah mereka itu akan diseret oleh malaikat pada dasar lantai neraka sebagai muqaddimah penghinaan dan kedukacitaan yang bakal mereka lalui. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam kesesatan (di dunia) dan dalam neraka. (Ingatlah) pada hari mereka diseret ke neraka atas muka mereka. (dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah sentuhan api neraka.” (Surah al-Qamar: Ayat 47-48)

 

> bersambung Tempat Orang Yang Celaka Beristirehat (Bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Pengurusan Pembinaan di falkulti Kejuruteraan Awam, UTM Skudai. Menjadikan penulisan sebahagian cara untuk menambah ilmu dan membaiki diri sendiri. FB: syafiq alfatih (Muhamad Syafiq Bin Salim).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%