, ,

Tembikai Untuk Ba (bahagian 1)

“Ba, jom makan.”

Sapaan lembut Raudhah membuatkan lelaki separuh abad itu tersenyum manis. Dikumpulkan segala kekuatan untuk bangun. Raudhah membantunya.

“Raudhah masak apa hari ini?”

Raudhah mencapai pinggan yang sudah terisi nasi dan lauk kegemaran ayahnya itu. Dia tidak menjawab tetapi hanya mengangkat tinggi pinggan dan menyuakan pada ayahnya.

“Raudhah masak lauk kegemaran Ba. Raudhah suapkan Ba ya,” ujarnya kembali setelah dilihat ayahnya mengaminkan doa makan sendiri.

Terasa bahagia dilayan seperti itu. Sakitnya makin hari makin tidak terasa setiap kali melihat anaknya, Nur Raudhah. Tingkahnya tidak ubah seperti arwah isterinya, seorang yang sangat penyayang dan prihatin.

Syukur dipanjatkan kerna dikurniakan seorang anak yang masih mahu menerima dan menjaga dirinya.

“Oh ya, Tauke Ong sampaikan salam pada Ba. Raudhah beli ikan ini dengannya pagi tadi,” Raudhah menyuapkan isi ikan merah. Ayahnya mengangguk perlahan.

“Masih ingat Ong pada Ba,” keluhnya sendiri.

Raudhah memegang bahu ayahnya, “Bila Ba sudah boleh jalan, kita sama-sama ziarah kawan-kawan Ba, ya? Tapi sebelum tu, Ba kena makan banyak-banyak dan ikut nasihat doktor. Boleh?” Raudhah meletakkan semula pinggan di atas meja.

Tok Ali tidak mengiakan juga menidakkan. Diamnya tidak bertujuan. Raudhah bangkit dan mengatur langkah mahu keluar.

“Mahu ke mana? Nasi belum habis lagi,” bicara Tok Ali mematikan langkah Raudhah. Segera dia menoleh.

“Raudhah nak ke dapur sekejap. Raudhah ada belikan tembikai untuk Ba. Raudhah pergi ambilkan  sebentar ya,” balasnya dan kembali mengatur langkah ke dapur.

Tok Ali termangu. Cebisan kenangan itu kembali menerjah kotak fikirannya. Dipandang kiri dan dipandangnya pula kanan. Kosong bilik itu.

Tanpa sedar, matanya berair dan mula mengalir permata jernih. Tok Ali tidak dapat menafikan rasa rindu yang menggunung pada anak keduanya itu.

“Raudhah, mana kamu nak?” Zikirnya sendiri lantas terus terlena.

Langkah dioraknya malas. Dulang dihentak sekuat hatinya. Dahi berkerut seribu dengan wajah yang mencuka.

Tok Ali tersentak. Kepalanya terasa sakit kerna terkejut dengan bunyi hentakan yang didengari. Satu keluhan spontan dilepaskan.

“Ba! Zati nak pergi kerja kejap lagi. Jom makan!” nada Izzati tidak pernah berubah setiap kali mahu menyuap ayahnya makan. Dari pagi hinggalah ke malam, begitulah keadaannya.

“Kerja apa malam-malam begini Zati? Kamu bekerja syif pagi,” Tok Ali menggunakan kudrat yang masih tersisa untuk bangun dari pembaringannya.

“Zati ni kerja tak kira syif. Kalau Zati tak buat macam ni, mana nak cukup periuk nasi kita tu. Kalau Zati seorang tak apalah juga, ini campur dengan Ba lagi. Mana nak cukup bergantung syif pagi sahaja.”

Izzati menghulurkan pinggan dan sudu pada ayahnya. Dia hanya duduk di sisi dan memerhati ayahnya menjamah makan malam yang tidak seberapa itu.

“Maafkan Ba, Zati. Kalaulah Ba boleh bergerak sendiri, Ba tidak akan susahkan Zati,” terbit rasa serba salah kerna telah banyak menyusahkan anak sulungnya itu.

“Tak apalah Ba. Dah jadi tanggungjawab Zati dah. Nak harapkan Ucu tu lagilah. Entah makan ke tak Ba nanti kalau dia yang jaga. Habiskan nasi ni Ba. Tak baik membazir,” Izzati kembali membebel.

“Ba tak lalu nak habiskan. Zati simpan dalam peti sejuk, esok boleh panaskan sahaja.”

Izzati menurut tanpa banyak bicara.

“Zati.”

Izzati berkalih.

“Ba teringin nak makan tembikai. Raudhah dulu selalu bagi Ba makan tembikai. Ba teringin nak makan,” hasrat yang dipendam sekian lama diluahnya juga.

Wajah Izzati merona merah, “Itu Raudhah! Kalau Ba nak sangat tembikai, Ba telefon Raudhah suruh dia datang jumpa Ba bawa tembikai. Asyik-asyik Raudhah! Dah nak naik nanah telinga Zati dengar nama tu. Ba, kalaulah Raudhah tu sayangkan Ba, dah lama dia datang. Dah 12 tahun Ba! 12 tahun tak ada berita! Itu pun Ba masih nak sebut nama anak derhaka tu lagi!”

Izzati menghentak-hentak kakinya keluar. Mulutnya terkumat-kamit persis mengalunkan jampi serapah. Sungguh benci dia rasakan tiap kali ayahnya menyebut nama Nur Raudhah dalam rumahnya.

Tok Ali menggeleng perlahan. Air matanya kembali berguguran.

“Raudhah, maafkan Ba nak.”

Pintu bilik dikuaknya perlahan.

Tok Ali tersenyum lantas menutup buku yang baru dibaca separuh muka. Raudhah meletakkan sepiring tembikai di atas meja.

“Ba tak jemu makan tembikai? Raudhah asyik hidangkan Ba dengan buah ini sahaja,” bicaranya sambil bersandar melihat ayahnya menjamah satu per satu potongan buah tembikai itu.

“Arwah mak kamu suka benar dengan buah ini. Ba pun suka. Inilah satu-satunya buah yang Ba tak jemu.”

Raudhah tersenyum manis, “Bukan arwah mak dan Ba sahaja suka. Faiz, dan arwah abang Jailani juga suka makan. Sewaktu arwah abang masih ada lagi, tiap-tiap malam inilah kami makan. Malah, Rasulullah juga gemar makan buah tembikai ini.”

“Kamu tak nak kahwin lagi Raudhah? Mampukah kamu besarkan Faiz seorang diri?”

Faiz kelihatan masih leka dengan buku bacaannya di sudut bilik itu.

“Raudhah bahagia begini. Bahagia dengan Faiz dan bahagia juga dengan Ba,” balasnya bermanis wajah.

“Iyalah. Kalau kamu mahu berkahwin, kahwinilah tauke tembikai. Tiap-tiap hari kita boleh makan tembikai tiga beranak.”

Mata Raudhah membulat. Kemudian mereka ketawa besar. Faiz mengangkat wajahnya. Dalam leka itu juga, dia turut sama tersengih melihat ibu dan datuknya bercanda. Matanya kembali berair. Langit yang makin kelam dipandangnya kosong. Cebisan ingatan itu kembali menerjah dirinya.

“Kamu bukan anak derhaka Nur Raudhah.”

Hujan renyai-renyai membasahi bumi. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa mengiringi hujan yang turun. Nyaman rasanya.

“Zati, benarkah apa yang dikatakan adikmu itu tentang Raudhah?” Tok Ali termenung jauh.

Izzati mengecilkan matanya, “Raudhah lagi dalam fikiran Ba. Raudhah itu memang anak derhaka. Sanggup tinggalkan Ba demi kepentingan diri. Apa yang Ucu katakan tentang Raudhah semuanya betul. Nasib baik ada Zati dan Ucu, kalau tak, Ba tentu akan dihantarnya ke rumah orang tua. Kemudian, harta Ba dia kikis. Bertopengkan syaitan sahaja Raudhah tu. Depan Ba bukan main baik, pijak semut pun tak mati.”

 

> Tembikai Untuk Ba (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%