,

Teguran Yang Tidak Diduga

Laju langkah Che Pah menuju ke perhentian bas utama. “Aduh aku dah lambat ni. Mana bas ni.” Jam tangan dibelek. Cemas. Gelisah. Walhal punya 10 minit lagi masa yang ada untuk bertemu dengan orang yang dijanjikan. Punggung terasa panas, sehingga menyebabkan dia tidak senang duduk.

“Assalamualaikum. Nak ke mana adik?”

Kepala menoleh ke sebelah. “Eh, waalaikumussalam kak. Ada janji dengan kawan nak jumpa hari ni.”

“Cemas semacam je. Dah lambat eh?” Malu. Kerana disebabkan perasaan yang tak menentu, dia tidak menyedari bahawa tingkahnya diperhatikan kakak bertudung biru itu.

“Tak adalah lambat mana kak. Tapi saya tak suka orang tunggu saya.” Senyum kecil dihulur.

“Hmm. Kita ni manusia suka mungkir janji kan? Janji dengan Tuhan Maha Pencipta pun kadang tu manusia ni lupa, apatah lagi janji dengan manusia itu sendiri. Sesama jenis.”

Emm. Kita dah lambat ni, dia ajak sembang pulak. Dahlah tak kenal. Namun telinga masih dipasang. Tak apalah, isi masa sementara tunggu bas sampai. “Maksud akak?”

“Akak bukan tuju kat adik tau. Akak cakap apa yang akak buat.” Melihat anggukan Che Pah, kakak bertudung biru menyambung sambil mata lurus memandang ke hadapan.

“Akak pun tak suka orang tunggu akak. Daripada orang tunggu akak baik akak tunggu dia. Sebab kita dah janji. Kalau dia lambat, itu dipihak dia dengan Allah sebab nak mungkir janji. Tapi bila akak fikir-fikir balik, akak tak suka orang tunggu akak, tapi kenapa akak suka buat Allah tunggu akak? Allah yang menciptakan akak, alam semesta ni.”

Che Pah menahan nafas. Tahu apa yang bakal kakak bertudung biru itu katakan. HablumminAllah. Hubungan dengan Allah. Namun mulut masih terkatup. Telinga dibuka luas-luas. Rasa cemas makin hilang.

“Hubungan dengan Allah pun akak tak jaga. Masa untuk jumpa Allah 5 kali sehari dah ditetapkan, tetapi akak masih leka dengan dunia. Solat kadang culas. Subuh kadang terlajak sampai kena qada’. Kalau tertidur sebab penat sangat lepas Asar sampai Maghrib pun dah nak habis waktu. Belum kira lagi ibadah sunat. Seminggu berapa kali boleh bilang. Manusia macam akak ni kufur nikmat Allah. Akak rasa akak istidraj pun iya. Allah beri apa yang akak nak, tapi akak? Beri ke apa yang Allah nak?”

Kakak bertudung biru dilihat menghela nafas berat. Mukanya jelas kelihatan kesal. “Macam mahasiswa juga adik. Sentiasa nak hak sebagai mahasiswa. Tapi hak kepada pihak pentadbiran universiti, mahasiswa tu tunaikan tak? Hak pihak pentadbiran universiti untuk pelajar dia dapat pointer bagus, naikkan rating universiti. Hak pihak pentadbiran supaya peraturan dipatuhi. Hak pensyarah untuk nak setiap murid hadir ke kelas. Hak ibu bapa pada kita. Entahlah dik, kadang kita sibuk fikir diri kita sampai lupa pihak lain.

Che Pah mengangguk perlahan. Senyum diukir. Allah temukan dia dengan seseorang, untuk sedarkan dia perkara yang sering dia terlupa. Kakak bertudung biru. Perlahan kepala diangkat. Kakak bertudung biru itu turut menghulur senyum. Manis! Tangan kakak tersebut lembut menepuk tangannya. Tanda perlakuan mesra.

“Akak minta maaf adik. Apa entah akak membebel. Awak jadi mangsa nak mendengar.”

“Eh, tak apa kak. Terima kasih atas nasihat akak.” Kejujuran dapat dilihat dari mata kakak bertudung biru tersebut. Hati Che Pah terasa sejuk. Ada hikmah Allah terlewatkan dia hari ini. Ada perkara yang ingin Allah tegur kepada dia melalui kakak tersebut. “Jom kak. Bas dah sampai.” Punggung diangkat pelahan, tangan menggenggam kad RapidKL. Bersedia.

“Eh, tak. Akak tak tunggu bas. Kejap lagi kawan akak datang ambil. Hati-hati ya dik. Kirim salam kawan adik. Assalamualaikum.” Senyum lagi. Murah senyuman kakak ini. Kepala diangguk perlahan.

“Oh yeke. Kak pun hati-hati. In shaa Allah. Waalaikumussalam kak.” Kepala ditunduk hormat.

Kakak bertudung biru itu bangun. Menyalam dan memeluknya erat. Terkedu.

Belum pernah lagi seseorang yang dia tidak kenali melakukan dirinya sebegitu rupa. Rasa terharu tak payah cakap, menggunung!

Pelukan kakak tersebut dibalas. Sama erat! Alhamdulillah. Terima kasih kakak bertudung biru. Terima kasih Allah kerana hadirkan teguran melalui kakak bertudung biru itu.

Worth listening.

Fi amanillah. Wa ilalliqa’.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nuramni Izzati binti Salim. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 50.000000%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 50.000000%