,

Sukar Untuk Bersyukur? Baca Kisah Benar Di Kem Pelarian Ini

If you want to know what the refugee feels, be like refugee.

Pada Disember 2016 hingga Januari 2017 yang lepas, saya dan juga tiga orang ahli kumpulan saya dihantar ke Jordan untuk membantu pelarian Syria di bawah program Mycorps.

Mycorps merupakan insentif kerajaan untuk menggalakkan belia menyertai program kesukarelawanan. Mycorps telah mengadakan misi di Timur Tengah (Jordan, Lubnan dan Turki) untuk membantu pelarian Syria di sana.

Di kala kami merancang pelbagai program untuk pelarian Syria, kami diberi peluang keemasan untuk tinggal di dalam kem pelarian Syria di Mafraq, Jordan selama satu hari untuk merasai bagaimana menjadi pelarian di kem yang didirikan sendiri oleh mereka.

Kami bertolak ke kem menggunakan van Coaster kerana kem tersebut agak jauh dari jalan besar dan juga berada di kawasan padang pasir yang tandus.

Apabila kami sampai di sana, ramai kanak-kanak menyambut kedatangan kami. Malahan saya ditarik oleh mereka untuk masuk ke setiap khemah untuk minum “chai” (teh) sebagai tanda meraikan tetamu.

Namun, saya tidak masuk ke setiap khemah kerana terlalu banyak khemah di dalam kem tersebut. Satu kem mempunyai kira-kira 50 keluarga.

Kedatangan kami bagaikan hiburan bagi mereka. Keadaan kanak-kanak ini sangat daif. Ada yang hanya memakai selipar dan singlet pada musim sejuk ini, ada yang tidak terurus rambutnya dan ada yang muka dan tangannya comot.

Kami juga dimaklumkan kanak-kanak ini tidak bersekolah kerana sekolah terlalu jauh dan juga kerana status pelarian yang menyebabkan mereka sukar untuk belajar di sekolah awam.

Di saat ini, saya terfikir bagaimana dengan masa depan anak-anak ini? Mana mungkin mereka dapat meningkatkan diri sendiri dan keluarga tanpa ilmu. Kehidupan mereka hanyalah bermain, makan dan tidur.

Kami menumpang di khemah keluarga Abdullah (bukan nama sebenar) untuk satu malam. Beliau menyambut kami dengan baik walaupun mereka dalam keadaan serba kekurangan.

Beliau menyediakan nasi yang dimasak bersama bihun, ayam bakar dan kentang goreng walaupun kami telah membawa nasi Bukhari untuk mereka.

Di kala kami berada jauh daripada keluarga, kami mendapat keluarga baharu di sini apabila kami makan bersama-sama.

Kami juga telah membawa sleeping bag sendiri untuk tidur, namun semua itu tidak diperlukan kerana mereka telah menyediakan ‘hirom’ (selimut) untuk kami. Sungguh, orang Syria amat terkenal dengan cara mereka melayan tetamu seperti keluarga.

Kami berkesempatan untuk mendengar cerita bagaimana keluarga Abdullah lari daripada Syria ke Jordan.

Mereka lari menggunakan bas dan juga berjalan kaki apabila perang di sana meletus pada tahun 2013. Sejak dari itu, mereka telah berpindah-randah dan tinggal di kem selama empat tahun.

Dahulu ketika di Syria, mereka boleh dikatakan agak berada kerana mempunyai banyak tanah di sana. Namun, setelah perang meletus, harta mereka telah musnah. Mereka tidak sangka mereka menjadi begini kerana sebelum ini keadaan aman di Syria.

Kini, mereka tinggal di kem dan mendapat bantuan daripada United Nations (UN) sebanyak 30 Jordan Dinar (JOD) sebulan.

Namun kami semua sedia maklum bantuan tersebut tidak cukup untuk kehidupan seharian di Jordan. Abdullah tidak bekerja kerana tidak mampu untuk membeli permit pekerjaan yang bernilai 300JOD setahun yang diperlukan untuk bekerja di Jordan.

Walaupun mereka melalui kehidupan yang sukar, mulut mereka tidak berhenti menyebut “Alhamdulillah” kerana keadaan mereka di Jordan lebih baik berbanding ketika mereka di Syria.

Kehidupan seharian di kem amat mencabar. Tidak perlu fikir jauh, nak mengambil wuduk dan mandi pun amat menyukarkan di dalam kem pada musim sejuk.

Hal ini kerana bekalan air bersih di kem sangat terhad. Bekalan air dibeli di dalam tong besar yang dihantar seminggu sekali menggunakan van. Kami yang biasa menggunakan air panas menggigil ketika mengambil wuduk untuk solat di dalam kem.

Walaupun mengalami kesukaran, penduduk kem masih istiqamah untuk menunaikan kewajipan kepada Allah.

Kem ini mempunyai kabin yang digunakan sebagai surau. Namun, solat Jumaat tidak dapat diadakan di sini kerana tiada siapa antara penduduk kem yang mampu memberi khutbah dan menjadi imam kerana ilmu agama mereka yang sangat kurang.

Hal ini amat menyedihkan hanya kerana mereka tinggal di dalam kem, mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab untuk solat Jumaat.

Antara perkara lain yang saya ingin ketengahkan adalah tandas yang terdapat di dalam kem ini.

Oleh kerana tuan tanah tidak membenarkan stuktur kekal dibina di situ, kawasan tandas hanya ditutup dengan menggunakan kain kanvas sahaja.

Di dalam tandas itu pula hanya mempunyai paip yang menyalurkan najis ke dalam tanah. Bekalan air perlu dibawa menggunakan jug untuk membersihkan najis.

Jikalau hujan, air akan masuk ke tandas kerana ketiadaan bumbung. Untuk mengelakkan bau najis masuk ke dalam khemah, tandas diletak hujung kawasan kem ini.

Keadaan ini amat menyukarkan wanita dan orang tua untuk pergi ke sana terutamanya pada waktu malam.

Pada malam tersebut, hujan turun di kem. Sudahlah berada di dalam musim sejuk, kini ditambah pula dengan hujan.

Oleh kerana kem ini tidak mempunyai sistem perparitan yang tersusun dan khemah pula didirikan di atas tanah, air hujan telah memasuki khemah.

Tuan khemah kami berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan air hujan daripada masuk khemah dengan membuat longkang di sekeliling khemah. Setiap 10 minit beliau akan memperbaharui longkang apabila longkang telah dipenuhi air.

Malam tersebut kira-kira 10 khemah jiran dibanjiri air. Mereka terpaksa menumpang di khemah jiran lain yang tidak dimasuki air.

Sesungguhnya, banyak lagi cerita tentang kem ini, tetapi cukup sampai di sini sahaja cerita saya.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa rasa bersyukur dengan apa sahaja yang kita ada. Sungguh pengalaman ini amat menginsafkan saya.

Di kala saya tidak bersyukur dengan keadaan diri saya sekarang, ada manusia lain yang pusing memikirkan masa depan mereka dan anak-anak setelah lari daripada negara mereka sendiri dan juga bagaimana untuk mengharungi cabaran tinggal di negara orang di dalam keadaan serba kekurangan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Puteri Norhaziqah binti Ahmad. Merupakan graduan Ijazah sarjana muda farmasi UiTM. Peserta Mycorps misi Middle East di Jordan.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 32

Upvotes: 16

Upvotes percentage: 50.000000%

Downvotes: 16

Downvotes percentage: 50.000000%