,

Berkat Solat Dhuha Dalam Rezeki Seharian

“Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha itu, adalah waktu dhuha-Mu, kecantikannya kecantikan-Mu, keindahannya keindahan-Mu, kekuatannya kekuatan-Mu, kekuasaannya kekuasaan-Mu, perlindungannya perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah. Jika di bumi, keluarkanlah. Jika sukar, permudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan-Mu, keindahan-Mu, kekuatan-Mu dan kekuasaan-Mu. Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Pernah dengar doa ini?

Ya, ini adalah doa yang dibaca selepas menunaikan solat sunat dhuha, yang dinyanyikan oleh kumpulan UNIC.

Solat sunat dhuha dinamakan dengan nama sedemikian kerana solat ini dilaksanakan pada waktu dhuha iaitu waktu matahari sudah naik tinggi.

Hukum solat ini adalah sunat muakkad iaitu sangat dituntut mengerjakannya.

Waktu mulanya solat ini selepas naik matahari dengan anggaran 20 minit selepas terbit matahari (syuruk) sehingga tergelincir matahari iaitu ketika masuk waktu solat Zohor.

Solat sunat dhuha dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat.

Solat sunat dhuha ini banyak kelebihannya dan solat ini antara rahmat yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.

Ibadah yang mudah dilakukan tetapi mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Solat sunat dhuha disinonimkan sebagai solat menjemput rezeki. Ya, itulah antara kelebihan solat sunat ini berdasarkan beberapa hadis.

Jika dihayati doanya, kita sedia maklum akan kaifiatnya.

Jadi, dalam kita mahu dilapangkan urusan harian kita serta mahu ditulis oleh Allah sebagai hamba-Nya yang tidak lalai dalam mengingati-Nya, juga, mahu menjemput rezeki, lazimilah melakukan solat sunat dhuha ini.

Lakukan kerana Allah. Lakukan kerana kita mahu mengucapkan syukur kita pada Allah.

Lakukan kerana kita rasa kita memang perlukan Allah dalam setiap detik hidup kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anggota kamu pada setiap hari dapat berbuat sedekah kerana pada setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, menyuruh berbuat baik itu sedekah dan melarang berbuat jahat itu sedekah. Dan memadailah untuk menggantikan semua itu dengan dua rakaat yang dikerjakan pada waktu Dhuha.” (Hadith riwayat Muslim)

Luangkanlah lima ke sepuluh minit pada waktu pagi kita untuk sujud kepada-Nya. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang beruntung dengan segala apa yang Allah ganjari kita kelak.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%