,

Setiap Hari Ada Berita Kematian, Tapi Apa Kesannya Pada Kita?

Sebelah rumah saya ada seorang nenek yang kami panggil ‘Beyang’.

‘Beyang’ sebab kami tak tahu nama sebenar dia. ‘Beyang’ sebab apa yang saya faham ia adalah panggilan manja untuk anak dara. Kebetulan Beyang ni balu – read (anak dara untuk kali kedua).

Beyang sebaya mbok saya. Kulit kedut seribu. Rambut putih. Bertahi lalat di bawah bibir. Sangat manis. Gigi sudah banyak yang ‘syahid’. Hari-hari sebelum mbok saya sakit pun Beyang selalu datang rumah.

Makan. Minum. Saling urut-mengurut. Lepak-lepak dan bercerita walaupun dia sendiri tak faham apa yang mbok saya cakap.

Apa yang saya kagum Beyang ini sangat menjaga solat. Termasuk solat jumaat.

Hampir setiap jumaat saya akan nampak dia jalan kaki dari rumah ke masjid. Ya, awak yang selalu ponteng solat patut malu pada Beyang.

Suatu hari Beyang juga diserang stroke hanya selepas tergelincir di lantai rumahnya. Selepas seminggu ditahan di wad, Beyang dibawa pulang ke rumah.

Saya bawa mbok melawat Beyang. Waktu itu Allah saja tahu betapa hancurnya hati saya tengok Beyang. Beyang lumpuh macam lumpuh mbok saya sebelum ini.

Tidak lagi mampu duduk apatah lagi berdiri dan berjalan ke rumah kami macam sebelumnya.

Beyang tidak lagi mampu makan seperti biasa. Ada tiub dimasukkan ke hidung untuk membolehkan susu sampai terus ke perut. Satu-satunya sumber makanan Beyang.

Tiub sama dengan mbok saya. Susu yang juga sama dengan mbok saya ‘makan’ waktu lumpuh dulu.

Beyang tidak bercakap. Hanya memandang mbok saya dengan takungan air mata. Satu ekspresi yang buat saya nak tahu sangat apa yang terbeban dalam dadanya.

Dan mbok saya masih dengan riak cerianya. ‘Membebel’ mengajak Beyang bercerita dalam bahasa yang hanya dia memahaminya. Seolah-olah tiada sesiapa yang sakit di situ.

Siapa tahu itu kali terakhir saya melihat Beyang.

Seminggu kemudian dia pergi untuk selama-lamanya. Ya, satu-satunya kawan mbok saya akhirnya Allah telah panggil pulang untuk selama-lamanya.

Sungguh, sangat terasa kehilangan.

Itu Beyang.

Selang dua rumah dari rumah saya ada sebuah rumah sederhana besar. Yang hampir saban tahun bertukar warna. Yang dari pintu depan sampai belakang semua bergrill. Di bahagian halamannya pula tumbuh subur bunga kertas pelbagai warna.

Crowded tapi sangat cantik. Bila orang macam saya yang tak suka bunga ni kata cantik maksudnya memang sangat cantiklah tu.

Di rumah sederhana besar itu tinggal Mak Jah (bukan nama sebenar) satu family. Mak Jah sebaya mak saya. Tinggi pun sama. Warna kulit pun sama.

Orangnya sangat sederhana. Sangat ramah. Sangat lembut apabila bercakap. Sekalipun saya tak pernah nampak dia marah apalagi menengking sesiapa.

Mak Jah ni tukang jahit. Setiap pagi sebelum ke kedai jahit miliknya di pekan, dia akan siram dulu bunga-bunganya.

Saya juga menyaksikan hijrah Mak Jah dari seorang free hair berambut pendek, perlahan-lahan memakai skarf pendek kemudian memakai tudung sempurna.

Macam mana saya tahu?

Sebab hari-hari sebelum pergi pekan dia akan lalu depan rumah saya dulu. Malah, sekalipun dia tak pernah tak menyapa kalau kebetulan saya ada di halaman waktu itu.

Suatu petang saya ternampak dia tumpang duduk di kerusi terbuka (sesiapa saja boleh duduk) depan rumah saya. Tunggu cucu balik dari sekolah katanya.

Saya teman sekejap dia bercerita. Banyak benda dia cerita. Pasal diri dia. Family. Pasal anak-anak. Pasal cucu. Pasal bisnes.

Dia juga pesan banyak perkara pada saya. Pasal mak ayah. Pasal adik-beradik. Pasal kerja. Pasal jodoh.

Petang itu saya terasa sedang lepak dengan mak saya sendiri. Siapa sangka itu pertama dan terakhir kali saya borak lama dengan dia.

Di tahun akhir pengajian saya, saya dapat tahu dia telah pergi untuk selama-lamanya. Pergi membawa bersama ‘semangat’ bunga-bunganya sekali yang sampai hari ini sehelai daun pun sudah tidak tumbuh lagi.

Itu Beyang dan Mak Jah. Antara orang baik yang Allah pinjamkan pada saya. Saya juga pernah kehilangan pak cik yang meninggal ketika tidurnya. Waktu itu baru sehari berlalu majlis walimah anak perempuannya.

Saya juga pernah kehilangan adik sepupu. Waktu itu dia baru 5 tahun. Mak cik pak cik saya sudah beli beg sekolah, kasut sekolah, pakaian sekolah untuk persediaan si bongsu itu bersekolah tadika. Siapa sangka dia pergi hanya selepas demam tiga hari.

Saya juga pernah kehilangan anak buah. Yang pada waktu semua orang excited menunggu hari kelahirannya, dia lahir lalu kembali semula kepada Allah tanpa sempat menangis pun.

Betapa ajal itu buta kan?

Tak pernah memilih. Ajal tak tengok kita muda ka tua, sihat atau sakit, kaya atau miskin, beriman atau kafir, dah kahwin atau belum, dah ucap ‘i love u‘ pada kekasih atau belum.

Ajal tak tengok kita anak siapa. Anak doktor? Anak guru? Anak perdana menteri? Anak cleaner? Anak yatim?

Ajal tak kisah apa plan kita esok. Nak shopping ka, nak kahwin ka, nak travel ke mana-mana ka, nak beraya rumah sebelah ka, nak pergi sekolah macam biasa ka, nak pegi makan pizza ka.

Kalau hari ini dia ‘datang’, maka dia tetap akan ‘datang’.

Ajal tak tengok kita di mana. Sedang buat apa. Dengan siapa. Kalau dah sampai masa kita mati, baring atas katil sendiri sambil scroll FB pun kita tetap akan mati tanpa kurang atau lebih separuh saat pun.

Menyelusuri fasa kedewasaan ini, saya perlahan-lahan faham frasa ‘kematian itu sudah cukup sebenarnya sebagai peringatan‘.

Ya, kematian itu sudah cukup sebagai peringatan.

Orang yang selalu sedar dia akan mati akan berusaha mengumpul bekal menghadapi hari kematiannya dan hari-hari selepasnya.

Orang yang selalu sedar bila-bila dia boleh mati akan selalu menjaga setiap tindakannya.

Menjaga apa yang dia buat. Menjaga apa yang dia lihat, apa yang dia cakap, apa yang dia dengar, apa yang dia jual, dia beli, dia terima, dia beri pada orang lain, apa yang dia tulis, dia share, dia upload.

Kenapa?

Sebab dia tahu daripada sebesar-besar tindakan sehinggalah sekecil-kecil niat yang terlintas dalam hati semuanya akan beri kesan pada hari kematiannya nanti.

Orang yang selalu sedar dia akan mati tidak akan ada masa mengumpat sana sini jaga tepi kain orang.

Tidak akan ada masa post benda-benda yang malukan diri sendiri dan orang lain, tidak akan ada masa tengok porno, tidak akan ada masa main game sampai Subuh, tidak akan ada masa duduk di taman dengan makwe/pakwe pegang tangan, tidak akan ada masa untuk mencuri, merompak, merogol anak orang.

Tidak akan…

Sebab dia sibuk buat perkara-perkara bermanfaat untuk dibawa ‘menghadap’ Tuhannya nanti.

Syarat mati bukan sakit. Bukan tua. Bukan nyanyuk. Tapi hidup.

Ya, hidup.

Dan kita semua sedang memenuhi syarat itu.

Hari-hari silih berganti berita kematian kita terima.

Dan kita hanya mampu membaca Al-fatihah kemudian menyambung semula dosa yang kita berbuat semalam.

Malu…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Misiah binti Bayani. Berasal dari Sabah. Berlatar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Pengajian Islam.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

9 points
Upvote Downvote

Total votes: 11

Upvotes: 10

Upvotes percentage: 90.909091%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 9.090909%