,

Selalu Ada Masalah Dalam Pengurusan Masa, Ini Solusinya

Masa itu emas! Ungkapan masyarakat Melayu dahulu kala sering mengaitkan masa dengan emas. Mungkin emas itu tampak berharga daripada segalanya. Benarkah sampai begitu sekali?

Secara logik fikiran akalnya, emas yang hilang mungkin boleh dicari dan diganti semula. Namun begitu, bagaimana pula dengan detik-detik masa yang berlalu pergi begitu sahaja? Bolehkah kita mencari gantinya lagi?

Cuba kita renungkan sejenak!

“Demi masa permulaan siang. Dan demi masa malam apabila telah sunyi…”
( Surah Ad-Dhuha ayat 1-2)

Melalui surah ini, Allah SWT bersumpah dengan waktu dhuha iaitu ketika matahari naik ataupun lebih tepat lagi dikenali sebagai waktu siang. Ketika itu, alam dipenuhi dengan aktiviti kehidupan, cahaya dan kehangatan.

Allah bersumpah juga dengan malam setelah sunyi dan hening, berlalunya waktu siang yang dipenuhi dengan pergerakan dan haru biru.

Cukup indah kalam Allah SWT untuk hamba-Nya menghayati setiap inci makna ayat cinta daripada-Nya.

Putaran siang dan malam setiap detik masa berlalu mengikut paksinya.

Manusia!

Manfaatkanlah waktu siangmu dengan setiap ibadah kepada-Nya sementara menanti malam nan sunyi sepi.

Manfaatkanlah waktu malammu dengan beribadah kepada-Nya sementara menanti kokokan ayam jantan di pagi hari.

Melalui hati, usaha dan tekad manusia sering tersasar, lemah dan ada pasang surutnya.

Justeru, inti pati surah ini memberi peringatan dan jalan penyelesaian supaya manusia terselamat daripada kerugian masa melalui tiga gerak kerja hebat:
1. Menggunakan masa untuk beramal,
2. Masa untuk berpesan-pesan pada kebenaran
3. Masa untuk berpesan-pesan pada kesabaran.

Pendek kata, tidak akan rugi jika kita terus berbuat baik dan meninggalkan perkara yang tidak baik!

Allah SWT memberikan sumpah dan kesaksian bahawa manusia itu pasti akan merasakan sia-sia apabila mendapati semua pekerjaannya menerima nasib seperti nasi sudah menjadi bubur.

Manusia akan menyesal apabila menyedari bahawa apa yang sudah dilakukannya ternyata salah dan kacau-bilau, lebih menyesal lagi apabila dia menyedari bahawa tidak ada lagi masa untuk memperbaikinya.

Satu saat itulah yang akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak, sama ada digunakan untuk perkara berpahala, berdosa ataupun sia-sia. Walaupun sesaat, ia tetap berharga dan tidak mampu dibeli.

Tegasnya, kita tidak akan mampu untuk memutarkan kembali jarum waktu ke belakang!

Masa umpama air sungai yang sedang mengalir. Apabila kita memijak air pada kali pertama, pasti kita tidak akan memijak air yang kedua. Air yang dipijak buat kali pertama tadi akan terus berlalu dan tidak akan kembali lagi!

Melalui surah Al-Asr pula, Allah SWT telah menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara penting dalam pengurusan masa yang baik.

Pertama

Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh kepada terhadap Allah dan apa yang disyariatkan oleh-Nya. Ini bermakna, kita perlulah mempunyai aqidah yang kukuh hanya kepada pencipta abadi kita, iaitu Allah SWT.

Oleh itu, jangan sesekali kita mensyirikkan Dia dengan makhluk lain. Hanya Dia Maha Berkuasa di atas muka bumi ini.

Kedua

Melaksanakan amal soleh. Melaksanakan amal soleh ini bukan sekadar solat, berpuasa, berzikir dan bermacam lagi, tetapi meliputi semua amalan soleh di dalam Islam.

Contohnya seperti berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mengeratkan hubungan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.

Oleh itu, marilah kita menyahut seruan melaksanakan amal soleh untuk mengisi masa kita dengan sebaiknya tanpa merugikan satu saat masa yang ada. Ayuh!

Ketiga

Berpesan-pesan kepada kebenaran. Ini bermaksud, dengan memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.

Kita seharusnya sentiasa memberi nasihat kepada orang lain untuk melakukan kebaikan dalam kehidupan seharian supaya disukai oleh Allah SWT. Kita juga boleh memberi teguran kepada orang lain dalam usaha untuk memperbaiki diri kita.

Namun begitu, sebelum kita memberi teguran dan tunjuk ajar kepada orang lain, pastikan diri kita menjadi contoh teladan yang baik supaya diri kita dipercayai oleh mereka!

Keempat

Berpesan-pesan kepada kesabaran. Perkara ini menyuruh kita memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah dan larangan Allah SWT.

Apabila kita sabar dalam mengharungi dugaan ujian dalam hidup kita, kita akan sentiasa dalam jagaan-Nya. Ini kerana, setiap ujian dari-Nya tanda sayang Dia kepada kita.

“ Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “innalillahi wa inna ilaihi rajiun” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan rahmat dari Tuhan-Nya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah al-Baqarah 2:156-157)

Demi masa! Jika diteliti empat perkara ini, adakah kita melaksanakannya dengan setiap detik masa yang ada?

Pernah terfikir, mengapakah Allah SWT bersumpah dengan masa walaupun tuntutan-tuntutan yang disebut-Nya selepas sumpahan tersebut amat sukar untuk dicapai kerana keterbatasan masa?

Imam As-Syafie berkata :
“Seandainya manusia benar-benar memahami surah ini, nescaya surah ini mencukupi bagi mereka.”

Allah SWT mengaitkan surah ini dengan masa dan ini bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya dicapai oleh kita atau tidak.

Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen, dialah yang akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang paling beruntung.

Ironinya pula terhadap sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dialah yang akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang paling rugi.

Tepuk dada, tanya iman! Kita mahu menjadi orang beruntung atau orang yang rugi? Jawapan ada dalam tangan kita. Ini kerana kitalah yang menguasai diri kita sendiri.

Andai kita sebagai nahkoda gagal mengawal masa kita dengan baik, maka kita akan gagal dalam setiap saat masa yang berdetik pada setiap hari.

Setiap detik masa yang diinfakkan untuk melakukan kebaikan, akan memperoleh redha daripada Allah SWT. Ingatlah!

Saidina Ali ada berkata:
“ Masa itu ibarat sebilah pedang, jika kamu tidak memancungnya, nescaya ia akan memancungmu.”

Terdapat manusia yang tidak tahu menghargai masa dan selalu menghabiskan setiap detik yang ada dengan hiburan dunia dengan melakukan perkara yang menggembirakan hati mereka.

Hak kepada Allah? Tidak peduli langsung!

Ada juga manusia yang mampu menggunakan masa dengan baik pada mulanya tetapi tidak kekal lama. Akhirnya kembali dengan meneruskan tabiat yang lama. Persoalannya, mengapakah perkara ini terjadi lagi?

“ Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.”
( Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Inilah antara sebab mengapa manusia seringkali lalai dengan pengurusan masa mereka sendiri. Iman itu kadang kala ada turun dan naiknya, tidak tetap.

Perkara inilah yang perlu kita akui sebagai makhluk yang lemah di hadapan-Nya. Sujudlah kepada-Nya memohon keampunan dan bertaubat!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei. Berasal dari Kota Bharu. Kelantan.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%