,

Sekarang, Aku Tahu Bagaimana Manisnya Ukhwah

SPM 1979. Dap…. dup…. dap…. dup…. jantungku berdegup kencang. Keputusan SPM ku terima semasa aku dipaksa meneruskan pengajian tingkatan 6 di sebuah sekolah berasrama penuh di selatan tanah air sementara keputusan SPM keluar.

Pn Ris, penolong kanan hal ehwal murid sekolah tersebut tidak membenarkan kami bercuti. Urusan kemasukan ke universiti kami uruskan sendiri tanpa bimbingan daripada keluarga dan guru.

Ada antara kami yang telah terbang melanjutkan pelajaran sebelum keputusan keluar. Aku tidak berjaya dalam temuduga ke luar negara.

Maklumlah pelajar aliran Melayu dan ‘batch‘ terakhir sebelum implimentasi aliran Melayu sepenuhnya. Aku meneruskan pengajianku di universiti tempatan. 

Hari ini 36 tahun berlalu. Pelbagai peristiwa berlaku.

Aku langsung tidak menyangka dalam kehidupan yang disusun untukku adalah yang terbaik walaupun suka duka terpaksa kulalui dengan tabah.

Seusai tamat pengajiannku di sebuah universiti tempatan, aku ditemukan dengan sekumpulan sahabat yang thabat hingga ke hari ini.

Murabbiku yang pertama hingga ke hari ini menjadi sahabat dunia akhirat. Ukhuwah bukan hanya terjalin antara kami. Taarufnya hingga sampai ke anak cucu.

Rumah anakku di bumi Haram mejadi tempat berteduh pasangan murabbi ini sebelum mendapat rumah sewa semasa suami pasangan murabbiku menjadi professor pelawat di universiti di tanah Haram.

Hari ini tiba masanya murabbiku menumpangkan anakku di rumah sewaannya sementara menunggu penerbangan pulang ke bumi Malaysia.

Rumah sewaan anakku terpaksa dikosongkan kerana tempoh kontrak telah tamat. Dahsyat ukhuwah, siapa sangka perkenalanku dengan pensyarah universiti 32 tahun yang lalu membuahkan kemanisan iman dan mengikat persahabatan hingga ke hari ini.

Persahabatan antara kami adalah persahabatan dua keluarga.

Syukur ke hadrat Illahi sahabat di sekelilingku bermula dengan halaqah gembira.

Pelbagai kumpulan gerakan dakwah aku ceburi hingga aku terlibat sebagai AJK HELWI di universiti tempat aku belajar.

Akhirnya aku thabat bersama dengan gerakan dakwah yang aku anggotai hingga kini aku telah menjawat jawatan sebagai Ketua Wanita.

Tidak terlintas di benak fikiranku untuk menjadi ketua pertubuhan ini. Semasa universiti berpindah daripada Ibu negara ke selatan tanah air, aku adalah antara ‘senior‘ yang diharapkan dapat membantu mempelopori gerakan dakwah di universiti.

Rumahku selalu menjadi tumpuan berkumpul siswa dan siswi untuk mendengar taujihat daripada sheikh khabir kami.

Setiap bulan rumahku menjadi tempat ‘potluck‘ kami seusai setiap halaqah umum atau majlis taalim. Adik-adik yang mengikuti halaqah ini thabat bersama sama hingga ke hari ini.

Ada antaranya telah menjadi besanku di mana cucunya adalah cucuku jua. Anakku adalah anaknya jua. Anak bongsu perempuanku sekarang ini menumpang di rumahnya sementara menghabiskan pengajian diplomanya dalam kursus pendidikan awal kanak-kanak. 

Kemanisan ukhuwah hanya terjalin bila mana taaruf dihayati dalam erti kata sebenarnya. Usrah yang dilalui bukan sekadar halaqah atau bulatan gembira.

Pahit manis, suka duka dikongsi bersama. Bila telah berkeluarga, saudara mara mereka adalah saudara mara kita jua.

Sakit pening, masalah keluarga dan pendidikan anak-anak dibincang juga dalam usrah.

Anak usrah pertamaku hingga kini menjadi sahabatku dan sekarang berada di universiti swasta di Jeddah.

Sepeninggalan beliau ke sana, aku dapat juga menjengak anakandanya yang sedang membuat A Level sebagai persediaan ke New Zealand di Kolej Yayasan Saat di Melaka.

Suaminya pula berada di utara tanah air dan anak lelakinya bekerja dengan syarikat swasta di Sydney, Australia.

Begitulah indahnya ukhuwah , tiada jurang antara kita. Setiap kita adalah saling lengkap-melengkapi. Itulah tarbiyah yang kami lalui dalam gerakan dakwah ini.

Ikatan ukhuwahnya tidak hanya terikat dalam halaqah mingguan .Tidak juga dalam katibah bulan ataupun multaqo atau muktamar tahunan.

Ukhuwah terjalin setiap ketika setiap saat dalam setiap munajat yang dipanjatkam dalam doa rabitah. Allah jualah yang mengikat hati ini dalam kasih sayang.

Berkumpul dan berpisah keranaNya. Maka tautkan dan satukan hati-hati ini untuk mencintaiNya. 

Teringat aku pada bait-bait nasyid yang sering dilagukan oleh kumpulan UNIC

Ya Allah engkau mengetahui hati-hati ini
Telah berkumpul kerana kasihkan-Mu
Bertemu dan patuh pada-Mu
Bersatu memikul dakwah-Mu
Hati-hati ini telah berjanji setia
Mandaulat dan mendokong syariat-Mu
Maka eratkanlah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan hati ini
Tunjukkan ia jalan yang sebenar
Limpahkan dengan cahaya rabbani-Mu
Yang tak pernah padam
Dan lapangkan dengan iman

Dahsyatnya ukhuwah 

Di mana bumi dipijak di situ dakwah dijunjung.

Adat dikendung, syariat dijunjung.

Di mana iman disuntik , di situ dakwah berputik.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Puan Minah binti Ahmad. Menetap di Negeri Sembilan. Menjawat jawatan Penolong Kanan Pentadbiran.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%