,

Sejauh Mana Kita Mampu Menganggap Sakit Itu Suatu Kemuliaan

Sakit merupakan satu perkara yang mana kita tidak mahu berlaku pada kita. Kerana sakit akan membataskan pergerakan kita, menjadikan kita sentiasa dalam keadaan berdukacita dan dalam beberapa keadaan ia memutuskan pengharapan untuk meneruskan kehidupan.

Kita amat jarang sekali melihat sakit sebagai satu kemuliaan kepada kita apatah lagi melihatnya sebagai satu kecintaan dan rahmat Allah SWT kepada hambaNya.

Sedangkan setiap ujian yang Allah SWT turunkan kepada kita merupakan tanda kasih sayangNya kepada kita sebagaimana dijelaskan dalam hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

“Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian untuk mereka.” (HR Ibnu Majah)

Rahmat Tuhan Kepada Manusia

Di antara tanda-tanda rahmat Allah kepada hambaNya adalah bilamana Allah menurunkan penyakit kepada kita supaya hambaNya tidak binasa dan supaya kita tidak mendapat kemurkaan Allah SWT yang berterusan.

Jika kita lihat daripada penciptaan manusia pertama sehingga kepada kita hari ini, sakit merupakan sunnah kehidupan manusia.

Sama ada penyakit itu hadir menyerang fizikal kita ataupun jiwa, hakikatnya ia menjadikan kita dekat denganNya sebagaimana rintihan Nabi Ayyub ketika mana beliau ditimpa penyakit yang berat lalu Baginda berkata:

“Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Rabbnya: ‘(Ya Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.” (Surah Anbiyaa, ayat 83)

Lalu Allah SWT membalas rintihan Nabi Ayyub dengan firmanNya:

“Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang beribadah kepada Allah.” (Surah Anbiyaa, ayat 84)

Sakit menyebabkan hati kita menjadi lembut, menurunkan ego serta menjadikan kita insan yang jauh daripada sifat riak dan sombong.

Sebab itu, antara masa yang sesuai untuk seseorang itu menerima nasihat kita ialah apabila dia sakit kerana sikap egonya rendah.

Bukankah itu sebuah rahmat kepada kita dan juga kepada orang yang sakit kerana itu merupakan lambang kasih kepada seseorang. Sesungguhnya setiap ujian yang menimpa kita, maka Allah akan gantikan yang lebih baik.

Kesombongan Manusia

Sakit itu bukanlah sesuatu yang dipinta, bahkan sebaiknya kita berdoa supaya Allah SWT mengurniakan kita kesihatan yang baik.

Tetapi dalam beberapa keadaan jika kita tidak ditimpa dengan penyakit, dikhuatiri kita akan menjadi manusia yang sombong.

Di dalam al-Quran, Allah SWT merakamkan beberapa manusia yang dilaknat olehNya dan di antaranya adalah firaun.

Ulama membahaskan mengapa firaun boleh mengaku menjadi Tuhan dan mereka (ulama) dapati antara sebab firaun mengaku menjadi Tuhan adalah kerana beliau tidak pernah ditimpa dengan penyakit.

Dalam kalangan para sahabat nabi, tabi’in dan orang-orang soleh, mereka melihat sakit itu sebagai kemuliaan.

Bahkan jika mereka tidak ditimpa dengan penyakit, mereka akan tohmah diri mereka sendiri kerana bagi mereka antara tanda Allah SWT kasih kepada hambaNya adalah dengan Dia menurunkan penyakit supaya hati mereka lebih lembut dan menjauhkan diri daripada sifat sombong.

Apabila mereka sakit, mereka tidak meminta untuk terus disembuhkan bahkan berdoa dengan berkata, “Ya Allah, jadikanlah sakit ini memberi peluang untuk kami melihat keaiban kami.” 

Pernah suatu ketika Nabi SAW berkata kepada para sahabat tentang kemuliaan sakit dari sisi para Nabi:

“Mereka (para Nabi) sangat gembira dengan musibah seperti kalian gembira dengan kemudahan.”

Mengangkat Darjat

Saya ingin membawa satu cerita yang mana tercatat di dalam kitab Mukasyafatul Qulub oleh Imam Al-Ghazali.

Saya cuba ringkaskan yang mana cerita ini mengisahkan bagaimana sakit itu boleh mengangkat darjat seseorang itu menjadi wali.

Diceritakan bahawa pada zaman dahulu dalam kalangan Bani Israil, ada seorang lelaki fasik, dia terus-menerus melakukan kefasikan sehingga meresahkan penduduk negerinya, namun mereka tidak memiliki kekuatan dan keberanian untuk menghentikan kedurhakaannya.

Lalu Allah memerintahkan Nabi Musa menemuinya dan menghalaunya daripada negeri itu. Lalu pemuda itu pergi meninggalkan kawasan tempat tinggalnya ke kawasan yang lain.

Apabila dia sampai ke kawasan yang baharu, maka dia dihalau sehingga dia terusir ke suatu hamparan padang pasir yang sangat panas. Tak ada tumbuh-tumbuhan, burung-burung dan tidak ada pula manusia yang lain.

Disebabkan keadaan itu, dia jatuh sakit. Di tengah-tengah padang pasir itu dengan keadaan sangat menyedihkan beliau mengadu kepada Allah SWT dengan berkata:

“Seandainya ibuku berada di atas kepalaku, tentu ia akan merasa kasihan kepadaku dan menangisi kenistaanku, sekiranya ayah ada di sini, tentu ia akan membantuku dan mengurus segala keperluanku, andai isteriku ada di sisiku, tentu ia akan menangisi kepergianku, dan seandainya anak-anakku hadir di sini, tentu mereka akan menangisi jenazahku dan berdoa : ‘Ya Allah, ampunilah ayahku yang terusir dan tidak berdaya ini, dia terbuang jauh dari desa ke desa hingga terlempar jauh ke padang pasir yang ganas ini. Dia keluar dari dunia menuju akhirat dengan membawa penyesalan dan keputusan yang teramat dalam.” Ya Allah, Engkau telah memisahkan aku daripada kedua orang tuaku, daripada anak-anak dan isteriku, tapi janganlah Engkau putuskan aku daripada rahmat-Mu. Engkau telah membakar hatiku, kerana berpisah dengan mereka, tapi janganlah Engkau bakar aku dengan Api neraka-Mu, sebab kefasikan.”

Kemudian Allah SWT mengutus dua orang bidadari yang menyerupai ibu dan isterinya. Malaikat yang menyerupai diri seperti ayah dan anak-anaknya. Mereka semua duduk di sisinya dan menangisinya. Lelaki itu berkata: “Ini ayahku, ibu, isteri serta anak-anakku, semua datang kepadaku.” Maka hatinya menjadi terhibur dan gembira. Lalu dia menghembuskan nafas yang terakhir, mati dalam keadaan suci dan terampuni.

Kemudian Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Musa supaya menguruskan jenazah seorang wali. Ketika Nabi Musa sampai ke tempat tersebut, dia melihat jenazah yang dikelilingi oleh para bidadari.

Jenazah itu adalah seorang pemuda fasik yang diusirnya dari negeri dan kampung halamannya atas perintah Allah SWT. Lalu Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhanku, bukankah ini adalah jenazah pemuda fasik yang aku usir dari negeri dan kampung halamannya atas perintah-Mu?” Allah SWT berfirman:

“Hai Musa, benar dia memang pemuda itu, tetapi aku telah merahmati dan mengampuninya, sebab dia adalah orang yang terusir dan tak berdaya. Di tengah kesendiriannya, kerana terusir dari negerinya dan terpisah dari ayah, ibu, isteri dan anak-anaknya, dia menderita sakit, dia merintih kesakitan dan hanya mengadu kepada-Ku, maka Aku mengutus seorang bidadari yang menyerupai ibunya, seorang bidadari yang menyerupai isterinya, seorang malaikat yang menyerupai ayahnya. Semua merasa hiba atas keterasingan dan ketidak berdayaannya di tempat yang terpencil itu. Kerana apabila ada seseorang yang mati dalam keterasingan di tempat yang terpencil, maka penghuni langit dan bumi menangis kerana merasa ibu kepadanya. Maka bagaimana Aku tidak menyayanginya, sementara aku adalah Tuhan yang paling penyayang di antara para penyayang.”

Dengan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT ketika mana lelaki itu sakit, maka Allah SWT mengangkat darjat lelaki itu menjadi antara wali-walinya. Lihat betapa besarnya rahmat Allah SWT kepada orang yang sakit.

Sabar Dengan Penyakit

Sabar merupakan satu sifat yang terpuji dan dalam banyak ayat di dalam al-Quran, Allah SWT merakamkan beberapa keadaan orang beriman perlu bersabar terutamanya apabila diuji dan di antara ujian Allah SWT kepada hambaNya adalah apabila diuji dengan penyakit.

Manusia jika sepanjang hayatnya tidak ditimpa dengan penyakit, pengakhirannya dia akan mati juga tetapi jika seseorang ditimpa dengan penyakit dan dia sabar dengan ujian yang menimpanya, maka itu merupakan kemuliaan di akhirat kelak.

Dalam satu atsar yang diceritakan oleh Ibnu Hajar, di akhirat kelak ada kelompok manusia yang cemburu dengan kelompok manusia yang lain kerana di sisi mereka mempunyai banyak pahala sedangkan mereka bukannya golongan yang banyak melakukan ibadat sunat.

Apabila ditanya, ternyata mereka merupakan golongan yang diuji dengan penyakit dan bersabar menghadapinya. Sehinggakan kelompok yang cemburu ini meminta Allah SWT menghidupkan mereka di dunia dan meminta supaya mereka ditimpa dengan penyakit yang dahsyat supaya mereka memperoleh kelebihan tersebut.

Nabi SAW berkata, “Manusia pada hari kiamat menginginkan kulitnya dipotong-potong dengan gunting ketika di dunia kerana melihat betapa besarnya pahala orang yang tertimpa musibah di dunia.” (Sahih. Riwayat Baihaqi)

Dan benarlah kata Nabi Muhammad SAW:

“Tidaklah seorang muslim tertimpa sesuatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi Kita, Rasulullah SAW

Ada darjat yang mana kita tidak akan sampai dengan melakukan solat, sedekah, berpuasa dan beberapa amalan lain, tetapi darjat yang mulia itu dapat diperolehi bilamana kita ditimpa dengan penyakit.

Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kemuliaannya, Allah SWT telah mengangkat darjat Baginda dengan dakwah, dengan penderaan, Baginda telah melalui sebuah pemulauan yang dahsyat, kehilangan orang yang Baginda sayang.

Tetapi pada akhir hayat Nabi kita, Allah SWT mengangkat darjat Baginda dengan sakit. Kata Imam Qurtubi Allah SWT mengangkat darjat Baginda pada tahap tertinggi dengan sakit.

Tempoh sakit yang dialami oleh Baginda agak lama bagi kekasih Allah iaitu selama 14 hari dan kesakitan yang dialami oleh Baginda sangat berat sehinggakan kata Aisyah, Nabi tidak mampu untuk membaca Al-Quran dan mengangkat tangannya untuk bersugi kerana keperitan yang ditanggung oleh Baginda.

Walaupun begitu Nabi tetap bersabar dengan ujian yang menimpaNya. Lihat bagaimana Allah SWT mengangkat darjat Baginda walaupun pada saat-saat terakhir sedangkan Nabi Muhammad SAW merupakan insan yang paling mulia dan juga merupakan KekasihNya.

Semoga kita menjadi insan yang bersyukur dengan kemudahan dan juga musibah yang menimpa kerana di sebalik semua itu ada kemuliaan bagi hambaNya yang bertakwa.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Berasal dari Johor Bahru, Johor. Sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana (Master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan UTM, Skudai.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 60.000000%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 40.000000%