,

Kita Hanya Mula Menghargai Setelah Semuanya Pergi

Mati itu pasti.

Riak muka yang sugul jelas kelihatan daripada wajah-wajah. Risau, gundah, resah dan gelisah. Debar menanti nombor giliran masing-masing dipanggil. Tidak tahulah apa perasaan yang senang menghuni jiwa. Yang pasti bukanlah satu rasa yang menyenangkan.

Ramainya orang kulihat. Lupa, ini hospital. Entah bila harinya bangunan ini akan kosong? Setiap hari pasti sahaja ada pesakit yang datang kemari untuk membuat rawatan.

“Hargailah waktu sihat sebelum kamu sakit…”

Kata-kata yang sangat biasa didengar. Terlalu biasa hingga tiada rasa.

“Oh, tu bukankah lirik lagu nasyid Hijjaz…” hanya itu yang diingat saat sebaris ayat ini menjengah ke pendengaran.

Sebenarnya, apa yang ada pada sebaris kata itu? Hingga tidak ramai yang mampu menyelami maknanya hingga ke dasar.

Jika ia tidak lebih daripada hanya sekadar kata. Tidakkah kau hairan kenapa segaris ayat ini terpatri indah di bait-bait hadith junjungan Rasulullah.

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara: Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, waktu kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, waktu luangmu sebelum datang masa sibukmu, hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadith riwayat Al-Hakim)

Ya, manfaat masa sihatmu sebelum kamu sakit.

Kerana manusia itu selalu lupa. Selalu lupa untuk mensyukuri apa yang dimiliki.

Mensyukuri nikmat adalah dengan memanfaatkan nikmat yang diberi untuk sesuatu kebaikan yang boleh menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Ramai antara kita yang lupa untuk menghargai nikmat kesihatan. Waktu sihat ini segala masa diisi dengan dosa dan kemaksiatan. Lupa bahawa nikmat itu boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

Sebenarnya kita tidak akan memahami betapa bernilainya nikmat kesihatan melainkan setelah ia diambil daripada kita.

Ya, hanya setelah kita sakit, kita akan tahu betapa besarnya nikmat sebuah kesihatan. Waktu itu kita berharap akan kembali sihat agar dapat dimanfaatkan waktu semata-mata untuk ibadah.

Hanya setelah kita hilang keupayaan tubuh badan, baru kita sedar betapa beruntungnya saat kita masih gagah dahulunya. Dan kita merayu agar waktu diputar kembali supaya dapat berjihad menegakkan agama.

Namun janji hanya tinggal kata-kata tanpa makna. Hanya setelah itu kita akan tahu betapa dalamnya erti kata-kata yang selama ini kita pandang remeh.

Tahukah kita berapa ramai orang yang sakit sanggup mengorbankan segala harta bendanya hanya untuk kembali sihat. Ke serata pelusuk dunia mencari penawar.

Walau dunia ini menjadi galang gantinya, dia rela melepaskan asal sahaja dia kembali sembuh. Namun, kenyataannya tidak semua perkara mampu dibeli dengan wang ringgit.

Segala ikhtiar dan usaha dicuba. Dan akhirnya kita mula akui hanya ada satu jalan yang tinggal iaitu kembali berserah pada Tuhan. Dan baru kita tahu betapa angkuhnya kita waktu dulu. Entah terbang ke mana ego kita dahulu.

Mengertilah diri yang kita ini cuma hamba yang tiada daya. Dialah juga yang menguasai segalanya. Allahuakhbar.

Sayangnya bila kita mula ingin menghargai segalanya telah pergi. Selalunya begitu, sebuah penghargaan akan hadir hanya pada saat terjadinya sebuah kehilangan.

Jadi, sebelum semuanya terlambat, ambillah sebanyak mungkin pengajaran.

Hargailah apa yang masih digenggaman. Nikmati dan manfaatkanlah apa yang masih menjadi milikmu kerana pada saat Allah menarik kembali segala nikmat, segalanya sudah tidak bermakna lagi.

Simply enjoy every moment of your precious life. Because we never know, how much time still left for us.”

Hiduplah bukan kerana kenangan semalam. Hiduplah bukan untuk kecapi hari esok. Cukuplah kita hidup untuk menikmati setiap detik pada hari ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

12 points
Upvote Downvote

Total votes: 14

Upvotes: 13

Upvotes percentage: 92.857143%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 7.142857%