,

Satu Kisah di Sebuah Lebuh Raya: Maafkan Aku, Hurairah

Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat menyayangi makhluk Tuhan yang bergelar kucing.

Seawal usia kecilku, keluargaku sudah memelihara haiwan manja ini dan tradisi memelihara kucing sebagai haiwan kesayangan berterusan sehingga aku dewasa. Malah minat ini turut diwarisi tiga orang adikku.

Seperti lumrah pencinta haiwan yang lain, aku juga sangat membenci tindakan menganiaya dan menindas haiwan, lebih-lebih lagi kucing.

Tidak terperi bagaimana deritanya seekor haiwan yang lemah apabila diseksa oleh insan yang sempurna akal. Pun tidak dapat aku bayangkan apakah perasaan mereka sesudah menyeksa haiwan-haiwan itu? Puaskah? Atau seronok yang maksima?

Tidakkah terdetik sezarah pun rasa simpati atau empati tatkala melihat haiwan itu mengiau kesakitan minta dikasihani?

Wahai manusia tanpa hati, kalau pun kau tidak menyukai kehadiran mereka di bumi ini sebagai haiwan, biarlah ia hidup bebas tanpa kau sakiti.

Satu hal yang seringkali buat hatiku terhiris, apabila memandu di tengah jalan raya atau lebuh raya, tiba-tiba terserempak dengan bangkai kucing yang dilanggar kenderaan yang bertali arus.

Jika berhadapan dengan situasi ini, aku seboleh-bolehnya memperlahankan kelajuan kereta dan mengelakkan tayar kereta daripada melalui kawasan bangkai tersebut.

Melihatnya pun sudah tidak sampai hati, apa lagi untuk terus menggilis tubuh kecil yang sudah kaku tidak bernyawa itu.

Namun terkadang, aku juga hambaNya yang turut diuji. Selama aku terlatih memandu, tak pernah sekali pun aku terfikir akan melalui satu tragedi menyayat hati seperti malam itu.

Malam Tragis

Malam itu malam Isra Mikraj, aku dan ibu dalam perjalanan pulang ke bandar kediaman kami setelah mengharungi hampir empat jam perjalanan pergi dan balik menghantar adik pulang ke rumah sewanya.

Kelajuan Axia midnight blue yang aku pandu merentasi slow lane ketika itu konsisten pada tahap sederhana iaitu antara 50-60 km/j.

Kenderaan tidak putus-putus melalui lebuhraya pada waktu tersebut, namun keadaan trafik kelihatan lancar dan kurang sesak.

Seperti biasa kebanyakan kedai-kedai runcit di beberapa buah pekan kecil sepanjang lebuhraya yang kami lalui sudah tutup awal kecuali beberapa pasaraya yang masih kelihatan meriah dengan pengunjung. Ibu pula ketika itu sedang ralit berbalas mesej dengan adik di aplikasi Whatsapp.

Menyusuri sebuah kawasan belukar yang agak sepi dengan hanya diterangi cahaya jingga lampu jalan, secara tiba-tiba…

“Allahuakbar!”

Dalam kekagetan itu hanya sepotong kalimah takbir yang sempat terlontar dari lisanku. Ibuku di sebelah turut spontan beristirja’. Nadanya cukup menyatakan perasaan terkejut yang dialami.

Seluruh tubuh serasa lemah dan menggeletar. Tangan aku kawal stereng dengan waspada agar fokus tidak terbabas. Cuma kaki sahaja yang perlahan-lahan melepaskan pedal minyak kerana ketara kakiku menggeletar.

Beberapa saat yang lalu, retinaku sempat menangkap kelibat seekor kucing bertubuh sederhana berbulu keperangan sepantas kilat berlari dari arah kanan menyeberangi lebuhraya dua lorong yang sedang kereta kecil kami lalui.

Serentak dengan itu juga terdengar bunyi ‘buk’ di sekitar bumper hadapan Axia yang sedang meluncur dengan kelajuan malar 60 km/j itu.

Semuanya berlaku sepantas sekerdip mata tanpa sempat kakiku menginjak pedal brek. Untuk beberapa jeda, aku dan ibu terpana melayan debar yang sedang ribut menggila di dada.

“Mak tahu tak, apa yang orang langgar tadi?” Soalku, demi memastikan yang mataku tidak tersilap lihat.

“Tak Long, mak tak perasan,” jawab ibu bernada lirih. Ibu juga mungkin sedang keliru dengan apa yang baru berlaku sebentar tadi. Aku yakin, ibu pasti mahu tahu. Cuma keadaan belum mengizinkan untuknya bersuara.

“Tadi orang terlanggar kucing, mak,” ujarku tanpa disoal ibu, dalam debar yang masih belum surut. Dan sekali lagi ibu mengucap kalimah istirja’.

“Betul-betul tak sempat brek tadi. Mengejut sangat. Kalau brek juga tadi, tak tahulah apa akan jadi dengan kereta belakang,” sambungku lagi menjelaskan keadaan sebenar.

Perasaan takut, sedih, serba salah, kasihan, simpati bercampur-baur menghambat dan mencengkam sanubari saat itu. Dingin penyaman udara menambahkan lagi getar seluruh tubuh, terutamanya tangan yang sedang mengawal stereng.

“Mak, macam mana kalau kucing tu… mati? Siapa nak tanam kucing tu? Kalau dia ibu kucing, macam mana dengan anak-anak dia? Kalau kucing tu bertuan, dah tentu tuan dia tercari-cari kucing tu.” Luahku bertubi-tubi.

Sepatah perkataan ‘mati’ itu saja cukup membuatkan hatiku luluh, lalu tanpa segan silu aku menangis tersedu-sedan melepaskan gumpalan resah yang menyesakkan dada.

Apa lagi bila memikirkan jika kucing itu bertuan, haruslah tuannya merasa sedih dan kehilangan. Aku sangat mengerti akan perasaan kehilangan itu, walau yang mati hanya seekor kucing.

Sebetulnya aku tidak mengharapkan satu jawapan yang pasti daripada sekian banyaknya persoalan itu, hanya perasaanku saja ketika itu sedang trauma yang amat, berantakan lagi kacau-bilau.

“Dah lah tu, jangan fikir sangat. Minta ampun dengan Allah. Istighfar banyak-banyak. Istirja’. Allah tu Maha Tahu isi hati kita. Along bukan sengaja tak nak tekan brek, bukan sengaja nak langgar kucing tu.”

Sambil tangan ibu mengusap-usap pundakku, nasihat ibu walau ringkas namun impaknya membekas. Jawapannya sedikit sebanyak membuat aku merasa damai buat ketika ini untuk meneruskan pemanduan yang menghampiri destinasi.

Sedang mataku fokus dengan pemanduan, aku menurut saranan ibu. Istighfar dan istirja’ bergilir terkumat-kamit di bibir, buat menenangkan hati yang sedang libang-libu.

Aku ini nama sahaja bergelar graduan jurusan agama, namun terkadang aku lupa. Dalam situasi genting ini, terbit sedetik rasa syukur.

Hadirnya ibu di sisi lekas mengingatkan, agar aku tak culas mengingat Tuhan dengan beristighfar dan beristirja’.

Juga agar aku tidak terus-terusan panik yang akhirnya dikhuatiri akan mendedahkan diri kepada bahaya yang lebih besar.

Moga Tuhan pelihara ibuku dalam keadaan aman, seperti mana hadirnya yang selalu menenteramkan jiwaku.

Teguran As-Saff

Saat debar panikku sudah agak mereda, namun ingatan terhadap peristiwa itu tetap saja mengacah minda.

Masih terngiang jelas bunyi ‘buk’ di bumper hadapan yang aku kira pastinya hentakan kuat kepala kucing malang itu.

Ya Allah Ya Muhaimin. Tak tergambar deritanya makhluk kecil itu. Untuk kesekian kalinya, hatiku tersayat bila memikirkan apakah nasib makhluk tanpa dosa itu.

La hawla wa la quwwata illa billah.

Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Sejenak aku rasa nuraniku terjentik. Mungkin saja ini teguran dan amaran Tuhan buat aku yang terkadang leka dalam zon selesa.

Aku mula memuhasabah hari-hari yang aku lalui sebelumnya. Aku selalu berang dengan pemandu-pemandu cuai bila melihat bangkai-bangkai ngeri kucing atau anjing yang bergelimpangan di kiri kanan mahupun tengah jalan kerana dilanggar kenderaan.

Ketika aku pernah mengaku judgemental itu bukan sifatku, tanpa sedar aku semudah-mudahnya menjatuhkan hukum melabelkan mereka sebagai kejam kerana kesilapan yang pasti tidak ingin pun mereka lalui.

Benarlah, kita akan diuji dengan apa yang kita ucapkan.

Amat besar kebencian di sisi Allah, bila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya.” (As-Saff, 61:3)

Serasa tertampar aku dengan firman Tuhan itu. Kini aku benar-benar sudah berada dalam situasi itu, yang tak pernah aku ingin lalui.

Kini aku lebih mengerti, bukan semua pemandu itu dengan sengaja mencelakakan makhluk Tuhan tanpa dosa itu. Bukan semua, dan aku sebahagian di kalangan ‘bukan semua’ itu.

Seperti dalam situasi aku yang tidak sempat menekan pedal brek untuk mengelakkan perlanggaran itu, untuk mengelakkan kemalangan yang lebih besar dengan kenderaan rapat di belakang kami.

Padahal dalam hati, keinginanku sangat kuat untuk berpatah balik melihat keadaan kucing itu. Mustahil aku dapat berbuat demikian. Mana mungkin aku memandu menyongsang arus untuk kembali ke titik perlanggaran.

Kedudukan pusingan U agak jauh dari lokasi itu, dan kalau pun aku nekad membuat pusingan U, keselamatan pula tidak terjamin kerana lokasi titik perlanggaran terletak di kawasan yang agak sunyi, terkeluar beberapa kilometer dari kawasan pekan dan sepanjang lebuhraya cuma semak tebal dan belukar.

Jiwaku benar-benar terusik kerana tak punya peluang untuk mengetahui nasib makhluk kecil itu. Matinya memang takkan pernah mendapat pembelaan di mahkamah dunia, namun aku tak pasti apa nasibku di mahkamah akhirat.

Walaupun ia hanya seekor kucing yang tak ketahuan asal-usulnya, namun sudah cukup membuat aku benar-benar rasa bersalah, cukup-cukup tersentuh.

Walaupun apa yang aku alami mungkin tak setragis kisah lain, tapi sudah cukup mencuit akal fikirku.

Suatu peristiwa itu takkan terjadi, melainkan terselit iktibar untuk direnung di sebaliknya. Dari secuit kisah ini, aku diperingatkan dengan dua perkara.

Pertama, jangan semudah-mudahnya menghakimi orang lain tanpa kita ketahui hujung pangkal sesuatu isu.

Kedua, berhati-hatilah dengan apa yang kita ucapkan, kerana dari situlah kita akan diuji.

Doa dan Harapan

Allahu Rabbi. Jika benar kucing itu sudah kau ambil nyawanya, ku mohon gerakkanlah hati seseorang untuk menyempurnakan tubuh malangnya.

Ya Allah, Ya Muqtadir. Andai kucing itu masih bernyawa namun cedera teruk, ku mohon hantarlah daripada kalangan hambaMu untuk merawat tubuh kecil itu. Dan ringankanlah deritanya serta permudahkanlah.

Ya Allah, Ya Hafidz. Jika saja kucing itu ibu kepada anak-anak yang masih perlukan susu, kau lindungkanlah anak-anaknya. Semoga anak-anaknya bertemu dengan penjaga mulia yang dapat memelihara mereka dengan lebih sempurna.

Ya Allah, Ya Mujib. Andai kucing itu bertuan, ku pohon agar dikurniakan keredhaan buat pemiliknya. Semoga Engkau gantikanlah kesedihannya dengan sesuatu yang berganda baik buatnya.

Ya Ilahi. Ya ‘Afuw, Ya Rauf. Ampunilah dosaku, di dalam terang dan gelapku, di dalam sedar dan lalaiku.

Ya Dzal-Jalali wal Ikram. Untuk sekian banyaknya episod khilafku, aku bersyukur atas satu peringatan hari ini.

Wahai hurairah, kucing kecil tanpa dosa. Maafkan aku. Keranamu, aku terjaga daripada lena lalaiku. Sungguh kita datang daripada Allah, dan akhirnya akan kembali kepada Allah juga.

***

Glosari: Istirja’ dikenali juga sebagai tarji’, kalimah ini diucapkan oleh Muslim ketika menghadapi musibah atau berita kematian. Kalimah ini berbunyi : Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un (Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita kembali)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amalina binti Muhd Amin. Berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%