,

Salahkah Aku Mencegah Kemungkaran Itu (bahagian 2)

Perkara ini menggegarkan pejabat Daerah Cantik. Kedudukan Pegawai Agama bagai dicabar. Aku mulai diintip, namun Allah itu neraca yang Maha Adil. Usaha dan fitnah bejat mereka gagal.

Nyata usrah anjuranku semata-mata majlis ilmu demi mendekatkan diri kepada Allah. Syukur. Dapatlah aku meneruskan usrah tanpa diganggu.

Namun usaha mereka itu pelbagai dan bercabang. Satu jalan buntu satu tumbuh memburu. Begitulah jadinya manusia jika penyakit rohani merasuk kalbu. Mereka belum puas.

Kali ini dengan sengaja mereka menaja seorang peniaga gerai makan untuk konspirasi seterusnya.

Di depan kedaiku sengaja diletakkan meja, kerusi dan payung serapat-rapat yang boleh bertujuan mengganggu, menghadang seterusnya menyusahkan pembeli bertandang.

Memang usaha bejat dan kohong mereka ini telah berjaya dengan izin Allah.

Mereka berupaya memotong tanganku tetapi aku tetap yakin yang mereka tetap tidak berupaya memotong rezeki daripada Allah biarpun terlalu sedikit untuk dibahagikan kepada tujuh zuriat.

Aku redha andai ini fitratullah. Dalam waktu yang sama aku terus berusaha memanjangkan perkara ini ke pengetahuan Pentadbir Daerah Cantik.

Aku luahkan segala kezaliman mereka. Aku mohon rasa simpati dan belas ehsan. Aku merayu simpati supaya punca pendapatan tidak diganggu.

Seperti yang aku katakan tadi, perbezaan antara anak watan dan anak luar telah menjunamkan aku ke lembah kecundang. Biarpun peniaga gerai makan itu nyata menyalahi undang-undang.

Gerai didirikan di atas tanah milik pentadbir secara haram, eletrik dan air dicuri dari balai raya, tanpa sewa, tanpa mengikut prosedur Akta Bomba 4/13 – Pin 1/87 dan pelbagai lagi.

Benarlah firman Allah. Manusia itu dijadikan dalam bentuk fitrah dan sezalim-zalim makhluk.

Sungguh, mereka tidak pernah meletakkan hak di tempat yang betul. Aku ini mangsa warga Kampung Molek yang zalim.

Mereka tidak mempraktikan undang-undang yang mereka cipta sendiri. Kebenaran dipijak, kepalsuan ditegakkan.

Apakah tidak wajar lagi untuk aku bermonolog begini? Jiwaku jadi berontakan.

Aku perlu berjihad menegakkan kebenaran dan keadilan atas henyakan yang mereka lakukan. Aku sudah mulai berani mengajak warga Kampung Molek menjulang ajaran agama yang sebenar.

Aku mengajak mereka berhijrah daripada kepalsuan dan kebatilan. Walau hanya segelintir saja yang sudi tetapi aku cukup puas.

Sekurang-kurangnya mereka sudah sedar betapa warga kampung ini amat menindas, pengamal mazmumah, pilih kasih dan tidak tahu hukum hakam-agama. Aku ini antara mangsanya.

Dengan tertubuhnya satu kelas malam untuk mengajar ilmu-ilmu agama yang benar sejajar dengan suruhan Allah dan Rasul-Nya di Kampung Molek ini dengan aku sebagai peneraju, semakin berpestalah marah mereka.

Punggung Ketua Muda dan Tua bagai dikutil. Kepala Ketua Desa bagai diluku. Pak Imam bergelincau. Muka Pentadbir Daerah Cantik naik jerau.

Akhirnya, dengan kuasa yang ada pada mereka, notis dikeluarkan. Secara drastik premis kedai runcitku diarah untuk dikosongkan.

Alasannya untuk pengubahsuaian. Ironisnya aku ini warga marhain, orang luar dan bukan anak tempatan Kampung Molek.

Aku akur dengan kuasa mereka. Diri terlalu kerdil dan naif untuk berkeras. Amat rengsa mengenangkan. Tiada tempat mengadu.

Bersama isteri dan tujuh zuriat aku terpaksa membawa diri keluar dari kampung ini kerana punca rezeki sudah tertutup. Tanah kelahiran di Utara Semenanjung kukira lebih aman.

Mengeluyur ke zaman terhenyak di bawah tapak kasut warga sebangsa dan seagama di Kampung Molek, aku terkesan kata-kata seorang mualim:

“Hanya dengan ilmu agama saja mampu menjana keadilan, penegak kesaksamaan, pembentuk al-’adl wah-ihsan dalam semua hal ehwal manusia,”

Juga kata-kata Abul Fath al-Butsi yang sarat falsafah: “Fa anta bil nafs, la bil-jismi, insanu,”

Terfikir juga aku, kenapa ditakdirkan hidup di kampung itu. Sesekali rasa kesal menjerba. Aku bagai gelandangan, ditindas dan dicengkam.

Sedang tanah kelahiran ini adalah negara kita bersama tapi ada pula anak peribumi sendiri yang tidak sukakan bangsa sendiri. Warna kulitku bukannya putih macam orang putih.

Bahasa percakapanku bukannya bahasa Siam atau Jerman. Bahasa ibundaku ialah Bahasa Malaysia.

Kenapa mereka tergamak menyisihkan aku yang sedarah sedaging dengan mereka? Amat pilu mengenangkan. Rusuh jiwa mengingatkan.

Selepas lebih dua belas tahun meninggalkan, aku datang semula ke Kampung Molek ini untuk menziarahi seorang sahabat.

Tidak banyak perubahan. Balai raya sudah bertambah jadi tiga. Jalan raya tetap bersaiz lama hanya berlapis baru.

Cuma agak terkesan, sebuah banglo mewah tiga tingkat siap kolam renang canggih betul-betul menyergam tepi simpang masuk kampung.

Sisinya taman perumahan kos mewah, tentunya tidak sedikit dihuni oleh manusia pelbagai bangsa.

Syukurlah, inilah kemajuan yang pesat hasil daripada kemantapan ekonomi, kestabilan politik dan sebagainya yang berupaya dicagunkan oleh pemerintah yang bijak serta berwawasan jelas.

Berita pertama agak pilu. Pak Imam sudah jadi gemulah lima tahun lalu, dihempap buah durian sewaktu sedang berurusan jual beli tanah.

Redhalah, takdir sudah tentukan begitu. Soal mati hidup itu urusan Allah. Kita ini hamba-Nya yang lemah.

Ketua Desa sudah pencen daripada jawatan tetapi kini sudah bertaraf kontraktor jutawan. Kata sahabatku, projek perumahan kos mewah itu antara puluhan projek dia di seluruh negeri.

Termasuk juga satu pertiga dari projek Jalan Besar sepanjang Pantai Barat Semenanjung yang dalam pembinaan, merentas sebahagian tanah kosong pinggir laut.

Aku dijerba kesima. “Mana dia dapat modal sebanyak tu?

“Tuan Haji jangan tak tahu. Ketua Desa ganding usaha dengan seorang tauke balak yang kaya raya dari Sabah!”

Aku khali sejenak. Merenung kosong.

“Orang bijak berniaga, dengan siapapun dia kenal, berniaga pula tak pakai wang sendiri. Bank boleh bantu. Macam kita ni siapa yang nak percaya?” Sahabatku menambah bagai menyemarak sinis. “Err, mahu tahu tentang peniaga yang mengganggu kedai runcit Pak Haji dulu?”

“Tentu dah bergelar OKB (Orang Kaya Baru)!” aku menyerkap jarang.

“Eh, mana Tuan Haji tahu?” Sahabatku bagai terjeda. “Memang dia sekarang dah jadi OKB Daerah Cantik ni. Err, banglo mewah tiga tingkat simpang ke kampung tu dia punyalah!”

“Saya sudah menduga. Banglo semewah itu tak mungkin kepunyaan orang kampung biasa. Selalunya milik seorang ahli perniagaan yang berjaya,” aku mencegat hakikat. “Walau bagaimanapun, syukurlah! Itu semua rezeki kurniaan Tuhan!”

“Memang dia dah kaya sekarang!” jelas sahabatku lagi. “Err… tapi jangan pula Tuan Haji terperanjat!”

“Eh, kenapa pula?”

“Banglo tu sekarang bukan lagi hak dia!”

“Habis, hak siapa?”

“Banglo tu dah dilelong bank sebab tiga orang anaknya dah terlibat dengan kes penyeludupan dan pengedaran dadah. Hukuman mati mandatori bakal menanti. Dia kena jamin lebih kurang sejuta. Waktu hari perbicaraan, anak-anaknya tu lari entah ke mana. Wang jaminan lesap. Banglo tu akhirnya kena lelong. Seorang anak perempuannya pula terlibat dengan black metal. Yang seorang lagi buang anak haram tepi longkang. Dah ditangkap dan kini di pusat pemulihan akhlak!”

Aku mengeluh panjang dan rengsa. “Barangkali rezeki yang dia dapat tak halal agaknya!”

“Selalunya begitulah!” Balas rakanku itu. “Rezeki yang tak halal, dari hasil menindas orang lain, pijak kepala orang lain, bukannya berkat sangat,”

“Itu semua kehendak Allah Yang Maha Berkuasa,”

Diam sejenak.

“Warga Kampung Molek yang lain, bagaimana?” Aku tercolek ingin tahu pula sejurus kemudian. “Ada perubahan?”

Sahabatku gesit mengeluh berat. “Sikit saja berubah, itupun yang kuat berpegang pada agama. Yang lalai tetap macam dulu juga,”

“Bukankah agama itu jamung penyuluh?” Ujarku seraya tersenyum. Namun aku bersyukur, dua belas tahun meninggalkan Kampung Molek, ilmu agama yang aku semai dulu, kini sudah biak menunas dan berkembang.

Insya-Allah, aku yakin hidup mereka akan mendapat keredhaan Allah hingga akhir hayat.

 

> baca Salahkah Aku Mencegah Kemungkaran Itu (bahagian 1) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim. Berasal dari Banting, Selangor. Beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh karya dari segi cerpen, esei, puisi, skrip drama radio, skrip drama pentas dan novel.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%