, ,

Sabarlah Keluarga Yassir, Bagimu Syurga Di Sana

Lewat ini, kita sering menjadikan artis-artis sebagai idola kita semua. Melihatkan kecantikan atau kekacakan mereka, apatah lagi melihat hebatnya lakonan mereka, ataupun nyanyian mereka.

Lantas sehingga kita bersungguh-sungguh untuk mengetahui setiap inci peribadi sang idola tersebut, tanpa kita sedari ianya tidak mendatangkan manfaat apa pun.

Mungkin kita terlupa bahawa Allah telah ceritakan kisah-kisah tokoh terbaik untuk kita jadikan idola dalam kecintaan mereka terhadap yang Maha Esa. Idola kita yang utama sudah tentu junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Sudahkah kita mengetahui sejarah Rasulullah, latar belakang kehidupan Baginda, sepertimana kita sibuk mengambil tahu tentang artis-artis barat?

Buat wanita pula, begitu banyak tokoh wanita dan srikandi Islam yang kita boleh jadikan idola, ataupun inspirasi seperti Siti Khadijah, Rabiatul Adawiyah, Asiah, Mashitah, Sumayyah dan ramai lagi.

Percayalah, kisah mereka begitu banyak yang perlu kita contohi terutama bagaimana mereka meletakkan Allah sebagai yang utama di dalam kehidupan.

Usai membaca kisah Sumayyah di halaman buku 100 tokoh wanita di sisi Rasulullah, ayuh kita bersama-sama menelusuri kisah hebatnya srikandi bergelar Sumayyah serta keluarganya. Marilah kita mengambil ibrah serta pengajaran untuk kita menempuh mehnah ujian dunia.

Yasir bin Amir berangkat meninggalkan kampung halamannya di negeri Yaman. Setelah melakukan perjalanan yang cukup jauh akhirnya langkahnya terhenti di Mekah.

Oleh kerana berasa selesa dia pun memutuskan untuk tinggal di kota Mekah dan menjalinkan persahabatan dengan Abu Huzaifah bin Mughirah.

Melihat peribadian Yasir bin Amir yang baik ini Abu Huzaifah akhirnya menikahkan beliau dengan Sumayyah binti Khayyat, seorang hamba sahayanya, tokoh yang diceritakan pada kali ini.

Perjalanan hidup keluarga Yasir dan Sumayyah berjalan harmoni dan dikurniakan dengan seorang anak yang diberi nama Ammar. Abu Huzaifah pun memerdekakan Sumayyah ,maka sempurnalah kehidupan keluarga ini dengan penuh kebahagiaan.

Ketika Islam mula memancarkan cahayanya di Mekah dan Rasullulah SAW baru mendapat perintah untuk menyebarkan Islam secara senyap-senyap, Sumayyah dan keluarganya termasuk orang terawal yang memeluk Islam.

Menurut sejarah, Sumayyah termasuk orang ketujuh yang mula-mula memeluk Islam. Seperti kaum muslimin lain, Sumayyah dan keluarga menjalankan perintah Allah secara senyap-senyap. Mereka melakukan solat di rumah atau di gua-gua agar tidak diketahui oleh orang quraisy.

Oleh kerana kaum kafir quraisy sangat memusuhi orang Islam, ada sahaja kaum muslimin yang diketahui telah memeluk Islam walaupun mereka beriman secara senyap-senyap. Jika kaum muslimin yang memeluk Islam itu adalah golongan bangsawan mereka akan digertak dan diancam.

Abu Jahal tidak segan-silu mengeluarkan kata-kata gertak,”Kamu berani meninggalkan agama nenek moyangmu, kami akan rosakkan perniagaanmu dan kami akan musnahkan harta bendamu!”

Namun, jika orang yang memeluk Islam itu dalam kalangan orang miskin atau golongan hamba, mereka akan diseksa dan didera sesuka hati. Keluarga Sumayyah ini termasuk dalam golongan ini. Mereka adalah golongan yang lemah dan tidak berharta.

Mereka bukan golongan bangsawan atau berpengaruh. Mereka juga bukan kumpulan orang yang mempunyai saudara yang ramai.

Bahkan, Yasir berasal dari Yaman dan Sumayyah adalah bekas hamba (Abu Huzaifah bin Mughirah). Berbeza dengan kedudukan kaum muslimin dalam Islam.

Pada pandangan Allah, semua manusia adalah sama. Tidak ada yang membezakan manusia di hadapan Allah, kecuali keimanan dan ketakwaannya. Dengan keteguhan prinsip itulah, Sumayyah berani menentang ‘Firaun’ umat ketika itu iaitu Abu Jahal.

Akibatnya Sumayyah, suami dan anak lelakinya Ammar juga menjadi sasaran kekejaman Abu Jahal. Sumayyah, suami dan anak lelakinya itu diikat kaki dan tangannya, kemudian dilemparkan ke atas batu kelikir tajam dan panas. Di atas batu kelikir itu mereka dipukul agar supaya murtad.

Namun tidak terdengar daripada mulut keluarga itu perkataan murtad tapi hanya diam dan rintihan daripada pukulan yang bertubi-tubi daripada Abu Jahal.

Seksaan yang diterima oleh Ammar dinyatakan oleh sahabat-sahabat dalam beberapa riwayat, “Ammar diseksa sehingga dia tidak menyedari apa yang diucapkan.” Ammar bin Maimun juga berkata, “Orang musyrik membakar Ammar bin Yasir dengan api.”

Ketika Rasullulah SAW melalui kawasan itu, Baginda memegang kepala Ammar sambil bersabda, “Wahai api, jadilah kamu sejuk di tubuh Ammar sebagaimana dahulu kamu juga sejuk di tubuh Ibrahim AS.” Semua seksaan itu tidak menggoyangkan jiwa Ammar walaupun tubuhnya hancur diseksa.

Mereka menyeksa Ammar bermula dengan hukuman dibakar dengan besi panas, disalib di atas padang pasir yang panas dengan ditindih batu laksana bara merah dan ditenggelamkan ke dalam air sehingga seksa nafas yang menyebabkan kulitnya mengelupas dipenuhi dengan luka.

Pada suatu hari, ketika diseksa dengan berat sehingga tanpa disedari oleh Ammar, dia mengikuti apa yang diucapkan oleh mereka. Ketika kembali sedar Ammar menyedari apa yang telah dia ucapkan.

Dia menyesal, dan beberapa sahabat yang menyaksikan perbutan itu dengan segera menceritakannya kepada Rasullulah SAW. “Benar, wahai Rasullulah,” jawab Ammar sambil meratap.

Rasullulah SAW tersenyum sambil bersabda,”Jika mereka memaksamu lagi, ucapkanlah apa yang kamu katakan tadi, tidak apa.”

Kemudian Rasullulah SAW membaca firman Allah SWT, “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.” (Surah An-Nahl: 106)

Berbeza dengan Sumayyah yang menentang Abu Jahal dan usaha Abu Jahal untuk memurtadkan Sumayyah tidak berjaya. Sumayyah lebih memilih untuk mempertahankan imannya walau apapun yang terjadi.

Mendengar kekuatan iman Sumayyah itu, Abu Jahal menjadi lemah dia tidak habis memikirkan bagaimana seorang wanita yang lemah boleh menentangnya?

Dia bukan sahaja merasa rendah diri, tetapi martabat dan darjatnya sebagai tokoh quraisy benar-benar tercabar. Amarahnya menjadi semakin membara.

Pada ketika itulah dia mengangkat tombak dan menjunamkannya di dada Sumayyah! Sumayyah gugur menemui Tuhannya. Sejarah mencatatkan namanya sebagai syahida (mati syahid) pertama dalam Islam.

Pengorbanan tersebut tidak sia-sia, ini kerana ia menjadi teladan, rasa simpati, kebanggaan dan kasih sayang. Dia menjadi pedoman bagi generasi mendatang mencapai hakikat, kebenaran, dan kebanggaan agama Allah.

Pengorbanan ini menjadi bukti tanda keteguhan iman seseorang. Pengorbanan seseorang bagi mempertahankan kesucian agama Islam.

Allah berfirman, “Begitulah al-Quran memberikan petunjuk.” (Surah al-Ankabut: 2)

Pengorbanan merupakan asas keimanan. Kekejaman dan kekerasan dihadapai dengan kesabaran, keteguhan dan pantang menyerah kalah dalam membentuk iman yang cemerlang dan mengagumkan.

Rasullulah SAW selalu mengunjungi tempat-tempat penyeksaan keluarga Yasir untuk mengenang pengorbanan mereka. Kesabaran keluarga Yasir itu yang tiada taranya mengundang doa Rasullulah SAW dalam sabdanya, “Sabarlah keluarga Yasir. Sesungguhnya balasan kamu semua adalah syurga.”

Itulah ganjaran bagi mereka yang mempunyai keteguhan iman. Sabar dalam keadaan sama ada susah ataupun senang. Jangka masa keislaman Sumayyah singkat, tidak lama tetapi namanya tetap harum sepanjang zaman. Dialah wanita yang melahirkan sahabat yang begitu dicintai Rasullulah SAW.

Dalam sabdanya, “Sesiapa yang memusuhi Ammar maka dia akan memusuhi Allah. Dan sesiapa yang membenci Allah, maka dia akan dibenci Allah.” Begitu besar jasa seorang ibu yang telah melahirkan seorang tokoh.

Janganlah kita berhenti berharap bahawa ramainya di akhir zaman ini wujud wanita seberani Sumayyah. Merekalah menjadi tonggak kepada kejayaan Islam.

Mungkin kita tidak mampu untuk menjadi sehebat Sumayyah, kerana apa? Kerana era ini kita dalam keadaan selesa untuk menganut agama apa yang kita mahu.

Bersyukurlah atas segala nikmat yang telah Allah kurniakan, terutamanya nikmat dilahirkan di dalam keluarga Islam, yang mencintai Allah, serta meletakkan Allah sebagai yang utama dalam kehidupan kita.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%