,

Sabar Dengan Ujian, Redha Bukti Syukur

Tatkala ujian hadir menyapa kita, jika kita melarikan diri ke hutan belantara atau terbang ke planet mana sekalipun, ujian pasti memburu kita. Ujian laksana bayang-bayang yang sentiasa mengekori kehidupan.

Kerana dunia ini adalah lapangan ujian demi menguji siapakah di antara kita yang benar-benar layak untuk bergelar ahli syurga yang sabar dan redha tika bergelar musafir dunia.

Allah SWT telah menegaskan,

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah Al-Ankabut: 2)

Di kala saya masih remaja dan dalam perjalanan membesar selaku jejaka OKU, pernah terdetik dalam jiwa memberontak saya dengan mempersoalkan, “Mengapa ujian ini yang menimpa aku? Bukan orang lain?”

Lantas, emak sering menyeru saya mengutip iktibar daripada mereka yang lebih bawah daripada saya, dan tidak pula menyeru mendongak langit melihat mereka yang lebih atas.

Antara hujah syukur emak, “Orang yang berkereta, bandingkan dengan orang yang bermotorsikal. Orang yang bermotorsikal, bandingkan dengan orang yang berbasikal. Dan orang yang berbasikal, bandingkan dengan orang yang berjalan kaki.”

Dari situ terbitnya perbandingan di benak fikiran saya, “Orang yang boleh berjalan, bandingkan dengan orang yang berkaki lumpuh. Orang yang lumpuh kaki, bandingkan dengan orang yang jauh lebih parah daripadanya.”

Bukankah Allah SWT menyeru kita untuk terus bersyukur,

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” (Surah Ibrahim: 7)

Lantaran itu, terdidik dan terpasak dalam sanubari saya agar terus menyukuri nikmat yang masih dipinjamkan Allah Ar-Razak, dan tidak pula obsesi dengan nikmat yang tidak saya punya.

Memahami sifat syukur

Semakin saya menginjak dewasa, saya memahami sifat syukur itu bukan sekadar bersyukur dengan bersikap qana’ah – merasai cukup dengan apa yang ada.

Ianya mendidik hati usah sesekali bergelar pengemis simpati, cukuplah rahmat Allah SWT sebagai peneguh semangat dan motivasi.

Meskipun begitu, tidak dapat disangkal dan dinafi tatkala ujian getir membadai, pada peringkat awalnya kita akan berduka lara serta lemah semangat untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, jika ujian dilihat daripada kaca mata positif dan ia ditangani secara rasional, insya-Allah kita pasti mampu meredahinya dengan penuh berani.

Kerana tiap bentuk ujian yang menimpa, pasti Allah SWT turunkan sesuai berdasarkan kemampuan seseorang hamba-Nya itu.

Sebagaimana Allah SWT menyatakan,

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَاۚ

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah Al-Baqarah: 286)

Malahan ujian itu adalah rahmat ataupun kasih sayang Allah SWT terhadap kita. Supaya kita tidak terleka bagaikan dunia ini kekal buat selama-lamanya. Sedangkan ia hanyalah sementara dan bakal ditinggalkan.

Jika kita diuji dengan sekecil-kecil ujian sekalipun, Dia pasti mengutus rahmat pengampunannya pada kita hamba-Nya yang tidak terlepas salah dan silap.

Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW,

“Tidaklah seorang Muslim diuji dengan penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan, dan tidak juga gangguan dan kesusahan malahan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Riwayat Imam Bukhari)

Maka, ujian harus diurus dan diatasi, bukan terus-terusan berduka dan meratapinya. Hadapilah ujian dengan sabar dan redha. Jika berasa lemah dan berputus asa, mengadulah pada Allah As-Sobur.

Seruan Allah SWT dalam mendepani ujian,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan bersabar dan mengerjakan solat, kerana sesungguhnya Allah menyertai orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)

Insya-Allah, tiap kesulitan yang kita hadapi pasti Dia akan dorong jalan keluarnya. Namun, jika sesuatu penyelesaian itu Allah SWT tidak makbulkan di dunia, bertabahlah dan jauhi daripada bersangka buruk terhadap-Nya.

Kerana bersikap redha dengan ujian, Allah SWT akan menggantikan dengan nikmat yang tiada taranya di akhirat kelak serta mengganjari pahala buat kita.

Sebuah kisah daripada Saidina Ali RA boleh dikutip ibrahnya,

Suatu hari Saidina Ali RA mengucapkan takziah kepada seorang lelaki yang kematian anak lelaki. “Wahai bapa si fulan, sekiranya engkau bersabar sedang takdir Tuhan sudah berlaku, engkau akan dikurniakan ganjaran pahala. Tetapi sekiranya engkau terus berdukacita walaupun takdir Tuhan sudah berlaku, engkau hanya memperoleh dosa.”

Sekian,

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah yang merupakan seorang novelis OKU @TLiNGE. Antara karya beliau ialah Elektro Pengaman Sejagat (http://play.tlinge.com/audiobook/elektro-pengaman-sejagat/).

Ikuti perkembangan beliau di Facebook AdliAbdullah, Facebook TLiNGEapp, Instagram AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%