,

Respon Anak Kecil Ini Membuatkan Aku Terasa Hina

Aku mahu kongsikan kembali satu kisah yang diceritakan kepada aku dan rakan-rakan ketika kami mengikuti satu program anjuran HEPA universiti.

Seorang kakak yang menggelar dirinya Kak Lang antara orang kuat YSS (Yayasan Sukarelawan Salam) dan sudah bekerja kira-kira berbelas tahun di YSS.

Topiknya, aku mahu ceritakan kembali kisah seorang anak kecil perempuan yang bernama Fatehah, yang Kak Lang ceritakan pada kami.

Fatehah ni umurnya dalam lingkungan 9 tahun semasa peristiwa tsunami itu berlaku.

Masing-masing daripada kita sedia maklum bahawa peristiwa tsunami yang berlaku pada Disember 2004 itu memang mempunyai kesan yang sangat dahsyat. Allahu.

Masih terngiang-ngiang di telinga aku, kisah yang diceritakan oleh Kak Lang ini. Kak Lang berjumpa anak kecil bernama Fatehah itu di rumah perlindungan kanak-kanak yang menempatkan kanak-kanak yang keluarganya tidak dijumpai selepas tsunami melanda Acheh.

Kak Lang merupakan seorang sukarelawan yang menyertai misi pasca tsunami di sana. Fatehah ini unik bagi Kak Lang. Seorang anak kecil yang pendiam.

Ada suatu ketika Kak Lang ternampak Fatehah melukis satu situasi secara kronologi. Bila ditanya apa maksud di sebalik lukisan itu, Fatehah menangis senyap tanpa suara atau bunyi tangisan kedengaran.

Badannya menggigil hebat. Kak Lang datang memeluk beliau sambil mengusap perlahan belakang anak kecil itu. Lama sekali tangisannya. Selepas dia berhenti menangis, mulut mula membuka cerita.

Fatehah ini seorang anak kecil yang kini hidupnya tinggal sebatang kara selepas keluarga hanyut dibawa air tsunami itu.

Kisah itu bermula apabila terdengar jeritan orang kampung mengatakan ada air laut banjir menghampiri daratan. Segera ayah Fatehah mengarahkan mereka satu keluarga masuk ke dalam kereta.

Sampai di satu simpang jalan, terlihat air setinggi langit. Lalu menghempas kereta mereka menyebabkan Fatehah tercampak keluar dari kereta.

Kata Fatehah, “Masih terngiang lagi di telingaku kakak, suara ibuku menjerit memanggilku. Fatehah. Fatehah. Fatehah. Aku cuma mampu berpaut apa sahaja yang ada di sekeliling aku untuk aku terus terapung kak. Sehinggalah aku diselamatkan dan di sinilah aku sekarang.”

Kak Lang mengusap tubuh Fatehah. “Sabarlah dik. Ujian Allah buatmu.”

Kalian mahu tahu apa jawabnya Fatehah?

“Aku tahu kak. Allah itu menguji aku kerana aku mampu. Jika tidak mana mahu aku setabah ini, kak.”

Allah.

Terasa kerdil.

Terasa hina.

Terasa bagai muka ini ditampar-tampar.

Terasa bagai jiwa ini dipijak-pijak!

Mendengar jawapan daripada anak sekecil itu, betapa dia kuat menanggung ujian Allah. Betapa dia tabah dan redha ujian itu ditimpakan ke atasnya.

Jika aku ditempatnya? Nauzubillah.

Tak mampu aku bayangkan. Sedangkan jauh daripada keluarga atas urusan menyambung pelajaran pun sudah aku kira berat beban perasaan yang aku perlu tanggung, inikan pula jika keluargaku hilang tidak dapat dikesan dan kepergiannya itu pula tanpa aku sangka.

Nauzubillah. Sungguh! Tak mampu aku bayangkan.

Pesan Kak Lang, kadangkala kita rasa kita hebat. Kita rasa kita kuat. Hakikatnya? Kita ini sangat lemah. Terlalu lemah jika dibandingkan dengan anak kecil yang bernama Fatehah itu.

Sedari kecil sudah mengerti bahawa Allah itu menguji kerana dia mampu menanggung. Dia mengerti kerana Allah itu menyayanginya!

Jika dibandingkan dengan kita?

Mengeluh. Mengeluh. Mengeluh. Dan terus mengeluh.

Selepas mendengar kisah anak kecil hebat ini daripada Kak Lang, tanganku gatal mahu menulis di sini. Mahu berkongsi tentang hebatnya anak kecil itu. Hakikatnya, untuk menulis ini pun aku terasa lemah. Lemah membendung air mata daripada mengalir.

Moga anak kecil bernama Fatehah itu kuat. Terus kuat. Terus diberi kekuatan. Allahu Rabbi.

Moga kebaikan daripada kisah anak kecil ini mampu aku iktibarkan untuk aku yang seringkali diuji cuma dengan sekecil ujian daripadaNya. Yang jika dibandingkan… Ya Allah! Malu! Malu!

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”. (Surah Al-Baqarah 2: 214)

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya..” (Surah Al-Baqarah 2: 286)

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah Al-Ankabut 29: 2)

Kongsikan sahaja kisah ini jika kalian rasa ianya bermakna untuk dikongsikan.

Sebarkan saja kisah ini jika kalian rasa betapa kita ini lemah jika dibandingkan dengan anak kecil berumur 9 tahun pada saat dirinya diuji dengan ujian Allah yang begitu berat itu.

Moga aku, kau, dia, atau sesiapa sahaja yang membaca kisah ini dapat belajar sesuatu daripada anak kecil itu. Panjangkan doa moga anak kecil itu membesar menjadi anak yang hebat.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Hamba Allah (beliau tidak mahu namanya didedahkan).

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%