,

Ramadan Berlalu Pergi. Kita Beruntung Atau Rugi?

Sempena Ramadhan… marilah kita sama-sama muhasabah diri untuk menjadi lebih baik kerana tiada bulan yang lebih baik untuk kita mulakan perubahan dan hijrah selain Ramadhan kerana bulan ini bulan yang mulia dan kita kembali kepada fitrah yang bersih tanpa godaan daripada syaitan dan iblis laknatullah.

Pada bulan Ramadhan, kita sangat takut dan risau sekiranya perbuatan kita masih sama dengan bulan-bulan lain. Kenapa?

“Syaitan dan iblis semua dirantai oleh Allah, tapi kenapa aku masih malas beribadat?”

“Bulan Ramadhan pun kita tewas kepada hawa nafsu walaupun tiada godaan dan hasutan daripada syaitan.”

“Adakah hawa nafsu kita sudah selevel dengan hasutan syaitan?”

******

Saf penuh

Pengalaman pertama Ramadhan kali ini, subhanallah saya melihat ramai orang berbondong-bondong ke masjid untuk solat Isyak dan solat sunat terawih secara berjemaah.

Hampir penuh masjid sehingga jemaah rapat ke pintu belakang. Dengan suasana indah para ibu membawa anak-anak kecil yang bertelekung.

Dengan melihat ramainya muka yang tidak pernah menjenguk ke masjid pada bulan lain tetapi datang pada bulan Ramadhan.

Alhamdulillah Allah mengetuk pintu hati mereka untuk datang ke rumahNya.

Saya teringat seorang Ustaz ada berkata, “Jika kita melihat ramainya orang yang datang ke masjid ketika Ramadhan walaupun orang itu tidak pernah datang pada bulan yang lain, ucaplah alhamdulillah kerana mereka masih sudi datang ke masjid. Akan tetapi yang menyedihkan adalah orang yang ketika mana Ramadhan tiba, namun mereka tidak juga mampu untuk datang ke masjid.”

Kita mungkin beranggapan bahawa masjid hanya tempat yang biasa sahaja. Masjid hanya tempat untuk solat sahaja. Tidak!

Masjid adalah rumah Allah yang penuh rahmat dan bukan semua orang mampu untuk menjadi tetamu Allah melainkan hanya mereka yang dipilih oleh Allah. Kerana itu hanya manusia yang special sahaja yang Allah jemput yang Allah inginkan kebaikan untuk dirinya.

Jom jadi tetamu special Allah dengan meringankan kaki kita untuk melangkah ke masjid!

Saf renggang

Saya ada terbaca isu saf jemaah yang renggang ketika solat. Saya pun pernah mengalaminya dan saya percaya setiap orang pun mesti pernah mengalaminya ketika di masjid.

Mereka tak nak tinggalkan tempat solat masing-masing… tak nak berganjak. Dengan pelbagai latar belakang yang kita jumpa dan pelbagai ragam manusia yang berbeza memang akan timbul isu ini jika tiada sikap tolak ansur sesama kita.

Ketika kita berada di dalam masjid, rumah Allah, kita semua adalah satu jemaah. Ketika itu, tiada perbezaan pangkat, harta, kaya atau miskin, rupa atau pendidikan yang membezakan kita kerana di rumah Allah kita adalah sama! Allah tidak memandang hal keduniaan melainkan ketaqwaan kita.

Oleh itu, tolak ke tepi ego masing-masing dan bertolak ansur sesama kita dan juga tambahkan ilmu agama berkaitan solat supaya kita lebih tahu dan faham.

Saf berkurang

Ramadhan belum berakhir, akan tetapi saya melihat saf di masjid yang dahulunya penuh sesak sekarang hanya tinggal separuh masjid sahaja.

Seorang demi seorang jemaah meninggalkan masjid dan yang tinggal hanyalah mereka yang tetap setia bersama Ramadhan.

Saf-saf di masjid dipenuhi golongan tua yang kudratnya tidak seberapa berbanding golongan muda. Kekuatan mereka tidak seberapa akan tetapi semangat mereka sangat kuat untuk mengejar redha Allah dan rahmat Ramadhan.

Ustaz pernah cakap, “Saya hairan dengan masjid yang penuh dengan jemaah pada awal Ramadhan akan tetapi berkurang ketika pertengahan dan akhir Ramadhan padahal kita ingin mengejar lailatul Qadar pada malam-malam terakhir Ramadhan.”

Ustaz hairan… saya pun naik hairan juga.

Terawih 8 rakaat atau 20 rakaat

Dan saya selalu tertanya-tanya macam mana mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik boleh bertahan sehingga 20 rakaat sedangkan kami pun hanya setakat 8 rakaat dah pancit dan keluar saf?

Dan ayat ustaz yang membuatkan saya sangat sentap zapp terus ke hati adalah, “Bukan semua mampu untuk bersolat terawih 20 rakaat… kerana bukan kekuatan yang diperlukan tetapi hidayah daripada Allah.”

Maknanya Allah belum berikan hidayah buat kami untuk buat 20 rakaat. Padahal kekuatan kami lebih daripada golongan tua. Dan ingat! Ibadah bukan bergantung kepada mereka yang kuat fizikal akan tetapi bergantung kepada mereka yang kuat iman.

Muhasabah diri sekejap!

Namun, persoalannya sekarang bukan tentang jumlah solat terawih 20 atau 8 rakaat akan tetapi persoalan mereka yang bergelar Muslim yang fail untuk buat 8 rakaat. Langsung tidak solat terawih!

Memang solat terawih hanya sunat akan tetapi itulah keistimewaan Ramadhan yang hanya sekali setahun sahaja dan tolonglah appreciate Ramadhan untuk kali ini kerana mungkin tahun depan kita dah tidak jumpa dengan Ramadhan.

Saya nak akhiri cerita Ramadhan saya dengan tulisan yang menyentapkan saya dan juga harap menyentapkan kamu semua daripada idola tercinta saya.

“Sebelum Ramadhan tiba, Allah telah menentukan sama ada hamba-hambaNya beroleh keuntungan atau kerugian ketika di bulan Ramadhan. Ada yang beruntung dan ada yang rugi dilihat kepada amalan mereka ketika Ramadhan.”

Di manakah kita? Untung? Rugi?

Semoga kita beruntung! Fight for Ramadhan!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Kelantan. Merupakan pelajar ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%