,

Rahsia Kalimah “وليتلطف” Dalam Surah Al-Kahfi

 

“Dan demikianlah Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: ‘Berapa lama kamu tidur?’, sebahagian dari mereka menjawab: ‘Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari’.

Sebahagian lagi dari mereka berkata: ‘Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal;

kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan besungguh-sungguh; dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.”

(Surah Al-Kahfi: 19)

Waktu zaman kanak-kanak dulu bila baca Quran, selalu wondering kenapa ada satu perkataan dalam Surah Al-Kahfi diwarnakan merah? (rujuk gambar).

Ada yang mengatakan, sejarah di sebalik perkataan ini dicetak merah adalah ketika Sayyidina Uthman bin Affan RA terbunuh, percikan darahnya mengenai mushaf Al-Quran tepat pada tulisan “وليتلطف”.

Maka kerana itu ia ditulis dengan warna merah untuk mengenang kematian Sayyidina Uthman bin Affan RA.

Saya tidak pasti asal-usul dan kesahihan kisah ini. Dan bukan sejarah atau kenapa ia berwarna merah yang ingin saya sentuh dalam catatan ini.

Apa yang ingin saya kongsikan ialah berkenaan kedudukan dan mesej penting yang terdapat dalam perkataan “وليتلطف” itu sendiri.

Menurut Ibnu ‘Asyur dalam kitabnya ‘At-Tahrir Wa At-Tanwir’, majoriti Ulama’ Ilmu Tafsir berpendapat jika dikira satu-persatu perkataan dalam Al-Quran bermula dari perkataan “الحمد” di dalam Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan perkataan “الناس” dalam Surah An-Nas, kita akan dapati perkataan “وليتلطف” kedudukannya terletak betul-betul di tengah-tengah Al-Quran.

Umpamanya dalam satu bulatan, perkataan ini merupakan titik tengah (central point), terbentuk di sekelilingnya satu lingkaran dengan jarak malar.

Apakah hikmah perkataan ini sebagai ‘central point’ Al-Quran?

Jika kita membuat sedikit ‘bedah siasat’ terhadap perkataan “وليتلطف”, ia terdiri dari 3 unsur;
1. Wau al-‘Athaf (و العطف) : Kata penghubung
2. ‎Lam al-Amr (لام الأمر) : Kata suruhan atau perintah
3. ‎Perkataan يتلطف : Kata kerja

Perkataan “يتلطف”, jika diperhatikan, mengandungi di dalamnya maksud kindness (berbuat baik), patience (bersabar), respectful (menghormati), generous (bermurah hati), gentle (lemah lembut) dan humble (rendah hati). 

Atau dengan kata lainnya, segala sifat yang baik terkumpul dalam satu perkataan ini.

Datangnya perkataan ini diikat dengan kata suruhan dan perintah, menunjukkan ia merupakan satu perintah dari Allah SWT untuk kita sentiasa menghormati dan berbuat baik sesama manusia, tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan agama, sama ada dalam perkataan mahupun perbuatan seharian.

Terletaknya pula perkataan ini di lokasi paling tengah di dalam Al-Quran, memberi isyarat kepada kita bahawa mesej agung yang ingin disampaikan Kitabullah ini adalah tentang peri pentingnya kita sebagai manusia, dalam menjalani kehidupan di dunia ini agar sentiasa bersikap toleransi, lemah lembut, pemaaf, rendah hati.

Sebagaimana Allah SWT turut memberi dorongan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dalam Surah Ali Imran, Ayat 159:

“Maka dengan sebab rahmat dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari dirimu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan..

Inilah ‘central thought’ yang dibawa oleh Al-Quran. Tidak kira bagaimana jua bentuk ayat Al-Quran yang datang; ayat hukum-hakam, ayat penceritaan, ayat suruhan sekalipun ayat larangan, hakikatnya Al-Quran sedang membawa para pembacanya kembali kepada maqasid asal penurunan Al-Quran itu sendiri;

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiyaa’: 107)

Allah mengutuskan Baginda Nabi Muhammad SAW ke dunia, dengan tugas menyebarkan Kalam Tuhannya. Di dalam Kalam-Kalam itu mengandungi pesan-pesan ‘rahmat’ buat sekalian penduduk bumi dan langit.

“Tidak kami turunkan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad supaya engkau menanggung kesusahan.” (Surah Taaha: 2)

Tidak pula Allah menurunkan Al-Quran supaya kita menanggung kesusahan, secara mafhum mukhalafahnya, Al-Quran diturunkan kepada manusia supaya mereka dapat mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Kerana setelah kita menyahut seruan Tuhan untuk bersikap baik dan berlemah lembut sesama insan, kita akan mendapati kehidupan di dunia ini berjalan dengan mudah, gembira, bahagia dan penuh keberkatan.

Maka benarlah firman Allah yang bermaksud:

“Dan tidaklah sama kesannya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berkelakuan sedemikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Dan sifat terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”

(Surah Fussilat: 34 & 35)

Salam Jumaat penuh berkat. Jangan lupa baca Al-Kahfi.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Wasitah Binti Azmi. Berasal dari Melaka dan merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Syariah, University of Jordan, Amman, Jordan. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Wasitah Azmi.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

17 points
Upvote Downvote

Total votes: 21

Upvotes: 19

Upvotes percentage: 90.476190%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 9.523810%