,

Perjalanan Sebuah Kejayaan

Kenapa dikaitkan perjalanan dengan sebuah kejayaan?

Kerana penentuan perjalanan bagi mencapai kejayaan itu adalah bermula daripada diri kita.

Justeru, di sini terdapat tiga langkah utama bagi menentukan corak atau proses ‘Perjalanan Sebuah Kejayaan”.

Pertama : Cita-cita

Adanya cita-cita yang jelas dalam diri adalah suatu yang amat penting bagi mencapai sebuah kejayaan. Usah biarkan diri terumbang-ambing tanpa pendirian.

Sejak di bangku sekolah lagi kita dididik dengan menanam rasa ‘nak jadi apa bila besar nanti’. Kita diberi pendedahan melalui pembelajaran bagi menjadi insan yang bermanfaat kepada diri, keluarga serta masyarakat.

Walau apa pun, ia mengikut kadar kesedaran serta kematangan bagi memilih dan menentukan cita-cita yang benar-benar dimahukan.

Seperti mana sewaktu di zaman sekolah rendah, ada pelajar yang berubah-ubah jawapannya bila ditanya tentang cita-cita.

Berubah pula apabila tiba di sekolah menengah. Dan seterusnya tiba di institut pengajian tinggi (IPT). Malah, bagi yang tidak melanjutkan pelajaran ke IPT lain pula cita-citanya.

Semakin matang seseorang itu maka dia sedar akan kemahuan cita-citanya yang jelas dalam hidup ini.

Misalnya, seseorang sewaktu di zaman sekolah rendah yang apabila ditanya tentang cita-cita, mahu menjadi seorang guru.

Namun tiba di sekolah menengah apabila ditanya tentang cita-cita, mahu menjadi arkitek. Apabila sewaktu di IPT dia mahu menjadi ahli perniagaan.

Maka, adakah salah sekiranya berubah-ubah cita-cita?

Sungguh, ia adalah sesuatu yang normal kerana setiap manusia itu mempunyai impian yang dimahukan dalam kehidupan.

Akan tetapi, kita perlu bijak mematangkan diri serta sedar dengan memutik cita-cita yang jelas dalam diri. Tidak lagi berubah-ubah serta kabur dengan perjalanan kejayaan.

Kita sedang merancang kejayaan. Bangkit dan yakin dengan apa yang kita mahukan!

Kedua : Strategi 

Kemahuan yang diinginkan sudah pun disemai dalam diri. Maka, perkara kedua adalah strategi. Cita-cita tanpa strategi ibarat mencurah air ke daun keladi!

Pastikan strategi yang dirancang adalah bersesuaian dengan cita-cita kita. Bersiap sedia dengan musuh kejayaan iaitu kegagalan.

Sediakan strategi yang banyak malah aspek kekuatan fizikal dan mental juga perlu diatur.

Andai strategi yang pertama kurang berjaya maka lakukan strategi yang kedua. Sekiranya gagal, usaha kepada strategi yang ketiga dan seterusnya.

Misalnya, mahu menjadi seorang ahli perniagaan. Apakah strategi yang perlu dirancang?

Antaranya, bermula dengan sebuah permulaan menjadi stokis atau dropship. Dengan itu anda akan mengetahui tentang bahagian mempromosi, cara komunikasi yang baik di antara penjual dan pembeli, mendapatkan kenalan serta kepercayaan daripada pelanggan.

Setelah mendapat keuntungan daripada itu, hasilnya boleh dijadikan sebagai modal perniagaan atas milik anda sendiri. Bukan sebagai stokis atau dropship. Bermula daripada perniagaan kecil-kecilan sehingga kejayaan dan cita-cita anda tercapai.

Ketiga : Bertindak

Setelah adanya strategi yang smooth maka bermulalah langkah untuk bertindak bagi mencapai cita-cita anda dengan penuh disiplin serta semangat yang bukan sementara.

Tiada langkah yang kedua jika tidak bermula dengan yang pertama. Keyakinan dan bersikap positif itu harus ada dalam setiap pergerakan anda.

Disusuli juga dengan kebergantungan rezeki kepada Allah Taala setelah berusaha sehabis mungkin. Jangan gentar untuk mencapai sesuatu hanya kerana wujudnya kesusahan.

Firman Allah Taala dalam Surah Al Insyiraah yang bermaksud, “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Al-Insyiraah : 5-6)

Perjalanan sebuah kejayaan itu perlu diusahakan bagi mencipta strategi yang jelas agar boleh bertindak dengan yakin dan tidak terburu-buru.

Pokok pangkalnya adalah bermula dari diri kita sendiri, bukan orang lain. Semua insan berhak merasai kejayaan.

Rezeki Allah Taala terlalu luas dan peluang yang diberikan ada di serata dunia. Semoga bermanfaat dan berjaya dengan apa yang dicita-citakan!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sofiayana binti Rasid. Berasal dari Johor. Sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%