, ,

Perempuan Perampas

Ingatkan di dalam drama sahaja memaparkan cerita-cerita yang fiksyen, rupa-rupanya perempuan perampas masih wujud zaman moden ini.

Kasarkan bahasa saya, menyifatkan seseorang perempuan perampas tanpa berlapik sedangkan perempuan itu sama jantina dengan saya. Tetapi tiada perkataan yang bisa saya tuturkan untuk menyifatkan perangai seorang wanita ini.

Ini kisah keluarga Wawa yang sangat bahagia. Ibu bapa Wawa mencintai satu sama lain, bercinta selepas kahwin memang manis.

Bapa Wawa seorang guru manakala ibu Wawa seorang suri rumah. Setelah 8 tahun berkahwin, baru mereka dikurniakan anak yang dikenali sebagai Wawa.

Jadi, ibu bapa sangat sayang akan Wawa. Kemudian, mereka diuji lagi apabila setelah sekian lama melahirkan Wawa, mereka masih belum dikurniakan anak yang lain.

Tanpa putus asa dan berserah kepada Illahi, setelah 5 tahun baru adik-adik Wawa dilahirkan. Selepas kelahiran anak ke-2, tahun berikutnya mereka dikurniakan anak lagi sehinggalah anak ke-6. Bukan main gembira ayah Wawa apabila mendengar perkhabaran mengenai kehamilan isterinya.

Wawa sangat sayang akan ayah yang merupakan jantung hatinya. Mana-mana sahaja mesti dengan ayah, hendak ke sana hendak ke situ semua dengan ayah.

Sehinggakan apabila ayahnya meminta untuk Wawa siapkan tesis ayahnya yang telah sambung pengajian, Wawa sanggup demi ayahnya yang tercinta walaupun sekarang Wawa sedang bergelut dengan peperiksaan semester akhir.

Sebab dia tahu pada masa yang sama, ayahnya sangat sibuk sebagai Head Department sebuah syarikat.

Selepas Wawa tamat pengajian di sebuah universiti tempatan, rumahtangga ibu bapanya goyah disebabkan seorang perempuan muda, lebih muda daripada usia Wawa.

Pada ketika itu, Wawa bekerja di sebuah syarikat di Selangor dan dia mendapat tahu ayahnya telah kahwin lain. Tiada ribut tiada petir, tiba-tiba ayahnya sudah berkahwin dengan perempuan yang jauh lebih muda daripada usia Wawa.

Bagaikan ditembak dengan M16, hati Wawa teramat sakit. Selama ini keluarganya sangat bahagia, ibu bapa Wawa jarang bergaduh, saling memahami dan saling sayang antara satu sama lain.

Tetapi apakah yang terjadi? Mengapa ayahnya tiba-tiba berubah hati? Masakan pokok bergoyang kalau tiada angin.

Wawa buntu, tiada tergambar perasaannya ketika itu apabila jantung hatinya selama ini telah mencemarkan kebahagiaan keluarga mereka.

Setelah disiasat, Wawa mendapat tahu bahawa ayahnya berkenalan dengan perempuan itu hasil daripada seorang rakan.

Cuba bayangkan, rakan jenis apakah ini sehingga sanggup memperkenalkan seorang wanita kepada rakannya yang sudah berkahwin.

Malah, Wawa mendapat tahu bahawa perempuan itu hanya mahukan harta ayahnya dan bukan kerana sayang akan ayahnya. Sakitnya apabila Wawa mendapat tahu mengenai perkara ini.

Adakah kita sanggup berbuat demikian? Astaghfirullahal’azim. Moga dijauhkan.

Berbalik semula kepada cerita tadi, rakan apakah ini. ‘Agak-agak la, macam tiada lelaki lain yang mahu diperkenalkan oleh rakan ayahnya itu,’ bisik hatiku apabila Wawa menceritakan masalah keluarganya.

Aku terfikir, ‘Kau tiada perasaan ke? Mengapa kau sanggup hancurkan hati seorang perempuan lain semata-mata kerana harta?’

Aku selalu bertanyakan sahabatku ini, “Adakah kau ok sekarang?”

Dia pun menceritakan bahawa ibunya telah memfailkan penceraian di mahkamah. Mana sanggup seorang perempuan melihat rumah tangganya musnah, tetapi mereka telah buntu untuk mempertahankan rumahtangga yang dibina.

Apa yang paling sedih, apabila nafkah untuk anak-anak juga terabai disebabkan perempuan berkenaan.

Betapa pilunya apabila adik-beradik Wawa masih lagi bersekolah dan mereka membawa duit hanya cukup-cukup sekadar mengalas perut sahaja, sehingga mereka terpaksa mendesak bapanya untuk memberikan wang. Itupun kadang-kadang sahaja wang diberikan.

Ibu Wawa pula telah berpindah ke bandar untuk mencari pekerjaan manakala adik-adik Wawa yang lain tinggal bersama nenek. Daripada keluarga bahagia kemudian musnah disebabkan oleh seorang wanita lain, perkara ini amat menyakitkan.

Fakta daripada Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun 2015.

Punca utama penceraian ialah tiada persefahaman, pasangan curang, pasangan tidak bertanggungjawab, campur tangan keluarga dan masalah kewangan.

Oleh itu, wanita di luar sana apabila mencari pasangan, jangan mencari mereka yang telah berkahwin. Hal ini umpama memberi racun dan membiarkan wanita berkenaan mati.

Mungkin sesetengah akan berkata, “Dah jodoh nak buat macam mana.”

Memang jodoh, ajal dan maut semua di tangan Tuhan tetapi seandainya untuk kepentingan peribadi sehingga sanggup merosakkan rumahtangga wanita lain, maka itu sudah menjadi perbuatan yang dilarang dalam Islam.

Kesimpulannya di sini, saya memohon agar wanita di luar sana janganlah kita sanggup menghancurkan hati wanita lain demi kepentingan sendiri.

Sebagai wanita, saya tidak mahu perkara ini juga terjadi kepada golongan sesama kita. Martabat seorang muslimah perlu dijaga dan janganlah sehingga diri kita dicopkan sebagai ‘perempuan perampas’.

p/s: nama sebenar dirahsiakan bagi menjaga identiti sahabat saya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nuda (nama pena) dan menetap di Terengganu.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 50.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 50.000000%