, ,

Perempuan Ini Menerima Hidayah Melalui Laungan Azan

Hari ini lelaki itu datang lagi dengan sebilah pisau. Dia meronta minta dilepaskan. Namun semakin kuat meronta, semakin kuat pelukan lelaki itu. “Lepaslah!” teriak Mellina apabila terasa kekuatannya semakin menghilang.

Tiba- tiba terasa bahunya digoncang kuat. Keadaan sekeliling diperhati. Panik. Di depannya bukanlah lelaki keparat itu, tetapi wajah mama. Manik-manik peluh merenik di dahi. Jantung berdegup kencang bagai mahu pecah.

“Tiap malam Mell mimpi menjerit macam ni. Kenapa?” Riak mama cemas.

Matanya melingas sekeliling. Diam membatu. Fikiran masih dibayangi rasa takut. Sudah hampir sebulan lenanya terganggu dengan mimpi ngeri. Diculik, dibunuh, dan dirogol. Dia merasakan bahawa dunia itu terlalu bahaya baginya.

Dia baru saja menemui kehidupan indah bersama Danny, teman lelakinya. Namun, semuanya indah khabar dari rupa. Dia hampir menjadi mangsa rakus lelaki buaya darat itu.

Setiap kali teringat kejadian itu, tubuhnya pasti menggigil dan berpeluh. Semenjak itu jugalah, dia bencikan lelaki. Tiada siapa boleh dipercayai. Hidup ini seolah kelam. Terlalu banyak air mata tumpah.

Dirinya yang dulu seorang ceria bertukar murung, suka menyendiri dan cepat baran. Mama papanya perasan akan perubahan Mellina yang jauh berbeza berbanding sebelumnya. Pagi ke sekolah, petang dan malam berkurung di bilik.

Akhirnya, mereka mencapai kata sepakat untuk membawa Mellina berjumpa pakar psikiatri. Pada awalnya, ibunya tidak bersetuju kerana merasakan anaknya sihat, bukannya sakit mental.

Namun, setelah dipujuk suami, akhirnya dia bersetuju demi kesihatan gadis tunggalnya. Tambahan pula, Mellina akan menghadapi peperiksan besar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun ini.

Hari ini, sudah lebih 3 bulan dia follow up dengan Doktor Aqilah, pakar psikiatri di Hospital Selayang. Dia disyaki menghidap penyakit Post Traumatic Stress Disorder (PTSD) setelah peristwa hitam itu.

Selain daripada kaunseling berterusan, dia juga turut diberikan beberapa ubat untuk mengawal symptom penyakit gelisahnya.

“Selamat pagi. Apa perasaan Mell sepanjang bulan lepas? Gembira, sedih atau bagaimana? Boleh beritahu doktor.” Sapa Doktor Aqilah mesra.

“Makin baik. Tapi kadang-kadang, saya rasa mahu mengamuk apabila teringat teman lelaki saya tu. Kenapa doktor hentikan ubat penenang hari tu?” soal Mellina.

“Sebenarnya, ubat tu boleh menyebabkan ketagih kalau ambil lebih 2 minggu. Paling penting sekarang ni adalah diri Mell sendiri kena usaha dan sentiasa berani untuk kawal rasa gelisah. Memang ambil masa sikit untuk sihat sepenuhnya. Mell kena fikir positif. Semua tu mainan perasaan je.”

“Tiap kali gelisah, Mell buatlah sesuatu yang boleh tenangkan diri. Contohnya guna cara pernafasan yang doktor ajar ataupun pejam mata bayangkan Mell berada depan air terjun. Sesekali, Mell boleh bercerita dengan mama papa untuk hilangkan rasa takut. Satu lagi doktor nak tanya, Mell sembahyang tak?” tanya doktor dengan senyum manis sekali.

“Kadang-kadang,” pendek jawapannya.

Mell tahu kan sembahyang boleh buat kita tenang, tak kisah agama apa pun. Waktu sembahyang, kita fokus mohon doa pada Tuhan. Jadi, kalau Mell nak rasa tenang, Mell kena rajin sembahyang. Nanti Mell ceritalah ada rasa tenang tak selepas sembahyang tu,” tambah doktor menasihati Mellina.

Sejak itu, dia semakin rajin sembahyang dan mengikuti aktiviti gereja pada hujung minggu. Mama papanya juga menghadiahkan kitab Injil untuk dibaca waktu lapang.

Namun, ketenangan yang dicari seolah menjauhi. Pada malam itu, jiwanya terlampau kusut. Dia membelek kitab Injil dengan harapan agar sinar bahagia menjengah hati. Jika benar Tuhan (Nabi Isa) menyuruh sembahyang, kenapa ketenangan itu tidak ditemui.

Akhirnya, dia terlena dalam tangisan.

Dia bermimpi berada di kawasan kehijauan dan sayup-sayup kedengaran laungan azan. Entah kenapa azan itu membuatkan hatinya yang selalu memberontak itu menjadi sangat tenang. Syahdu.

Dia kemudiannya tersedar apabila terdengar laungan azan subuh. Dia tertanya pada diri kenapa azan itu membuatkan dia tenang, walhal sebelum ini tidak pernah merasa aura sebegitu.

Dari hari ke hari, dia semakin tertarik dengan azan. Muncul persoalan dalam diri, adakah ini petunjuk daripada Tuhan untuk dia mencari ketenangan. Dia dapat merasakan bahawa hatinya makin tertarik untuk mengenali Islam.

Dia ingin berkongsi kisah mimpi itu dengan Doktor Aqilah dan berharap agar doktor itu dapat membimbingnya.

“Hai Mellina. Nampak makin ceria je. Kongsilah cerita.” Doktor Aqilah menyambutnya ramah.

“Sebenarnya doktor, saya tak jumpa ketenangan di gereja seperti nasihat doktor tempoh hari. Tapi , saya rasa tenang bila mendengar azan. Saya berminat untuk memeluk Islam.”

Doktor terkejut.

“Mell benar-benar ikhlas menerima Islam sebagai agama baru?” Soal doktor.

“Ya. Saya ikhlas. Islam memberi saya ketenangan. Apa yang saya perlu lakukan sekarang, doktor?” Mellina tampak yakin.

“Ucapkanlah tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah.” Mellina akhirnya melafazkan syahadah.

Tanpa sedar, dia mengukir senyum yang tulus daripada hati paling dalam. Tak perlu dipaksa. Senyum pada hidayah Allah yang telah jadi miliknya kini. Doktor Aqilah memeluk Mellina dengan penuh kasih sayang. Gadis muda yang beragama krisitian Katolik itu kini menjadi muslimah.

“Mell tahu tak, Allah ada sebut dalam Al Quran surah Ar Ra’du ayat 28 bahawa dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Lagipun, Islam itu sendiri bermaksud selamat dan sejahtera. Insya Allah, Mell akan lebih selamat dan aman selepas ni.”

“Cuma Mell kena kuat dan berani untuk tempuhi apa jua cabaran, terutama nak beritahu mama papa tentang keislaman ni. Sebab jalan ke syurga itu pasti ada likunya.”

“Ya doktor. Tapi saya takut Tuhan tak terima saya yang zero tentang Islam.” Mell menunduk.

“Tiada masalah. Cuma, Mell kena bersungguh untuk dalami Islam. Allah ada sebut dalam surah Al Ankabut ayat 69 bahawa Allah akan membantu orang yang berusaha sungguh-sungguh untuk penuhi kehendak agama dan Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

“Nanti doktor kenalkan Mell dengan kawan doktor yang bekerja di PERKIM. Insya Allah, Mell akan dibimbing sentiasa.” Doktor Aqilah berusaha meyakinkan Mellina.

Pada awalnya, mama papa menentang pilihan hidupnya untuk berbeza agama. Namun akhirnya, mama papa harus mengiakan dalam keterpaksaan. Kerana mereka dapat menilai bahawa anak gadis kesayangan kini menjadi manusia yang lebih baik dan penyayang.

“Terima kasih, ya Allah. Kau berikan aku ujian untuk aku temui Islam. Jangan Engkau palingkan hati ini sesudah Engkau beri hidayah padaku.” Tangisnya di malam sunyi sepi.

“Akhirat itu cahaya, dunia itu bayang- bayang. Kalau Mell kejar bayang- bayang, cahaya itu menghilang. Tapi kalau Mell kejar cahaya, bayang- bayang sendiri yang akan mengikut.”

Indah kata-kata yang ditulis oleh Doktor Aqilah di kulit Al-Quran yang dihadiahkan sempena keislamannya itu.

Kini, dia dapat merasai kehidupan yang lebih tenang sebagai seorang muslimah, Nur Madina. Alhamdulillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Najah Solihah binti Mohd Hamdan. Bekerja sebagai doktor perubatan (lepasan UIA). Ikuti Facebook beliau, Najah Solihah Hamdan.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 11

Upvotes: 7

Upvotes percentage: 63.636364%

Downvotes: 4

Downvotes percentage: 36.363636%