,

Pemuda Yang Hampir Bunuh Diri Ini Sempat Bertaubat

Hidup ini tak menentu. Kadang-kadang rasanya ringan, dan kadang-kadang berat bukan kepalang. Memang kadangkala berat hidup ini sampaikan kaki kita tak mampu untuk menampung bebannya.

Siapa yang meringankannya supaya kita kembali bersujud?

Dan ada kalanya hidup ini terlampau ringan sehingga kita melayang ke udara. Siapa yang memberatkannya supaya kita merintih di waktu sepertiga malam?

Di saat ringan, kita mudah melupakan Tuhan, di saat berat kita mudah menyalahkan Tuhan.

Saat bilakah kita mahu katakan kedua-dua ringan dan berat datangnya daripada Tuhan? Ya, memang benar. Kita kurang bersyukur.

Direnung harga-harga buku rujukan termasuk kalkulator elektronik yang hampir mencecah ratusan ringgit. Kepalanya kusut memikirkan cara untuk mendapatkan wang tersebut.

Gambar arwah bapanya diangkat dan ditenung lama. “Hidup Aliff dah tak sama tanpa ayah,” bisik hati kecilnya. “Boleh tak Aliff nak ikut ayah?”

Nak tak nak, wang itu harus dicari juga. Siapa lagi kalau bukan pada ibu untuk diminta bantuan?

Pintu bilik Ibu dibuka perlahan-lahan; mengintai aktiviti ibu dari luar. Si ibu sedang mengira wang di atas katil. Ada beberapa keping not berwarna biru dan merah serta syiling-syiling perak yang sedang dihitung.

Si Ibu menoleh dan mengukir sekuntum senyuman. “Aliff,” ujarnya lemah. Senarai harga buku rujukan disorokkan di belakang.

“Aliff masuk bilik ya? Dah malam. Nanti esok penat nak ke sekolah,” sambung ibunya lagi.

“Mak buat apa?” tanya Aliff.

“Abang kau, Ariff. Dia nak duit beli buku”

Aliff mengangguk dan senyum. Pintu itu ditarik kembali dan ditutup rapat. Aliff termenung lama di atas katil, memikirkan nasibnya yang sebegitu malang dan khuatir jika dia tidak mempunyai buku untuk mengulang kaji. PT3 semakin hampir.

Jika dia meminjam buku rakannya, nanti diejek pula oleh Syamil, seorang pelajar kaya di sekolah itu.

Aliff merasakan dirinya adalah bebanan bagi ibu dan abang. Fikirnya, mungkin pemergiannya nanti akan meringankan beban mereka. Mereka boleh hidup senang tanpanya nanti. Kos perbelanjaan hidup pun akan menurun.

Aliff mengangkat gambar arwah bapanya sekali lagi. Dia usap belai wajah ayahnya yang hingga sekarang tersenyum ‘melihat’ wajah Aliff. Sebutir air mata mengalir hingga ke pipi. “Ayah, kejap lagi Aliff ikut ayah ya? Tunggu Aliff kat sana tau?”

Malam itu dia nekad. Itulah malam terakhir dia akan melihat bumi. Itulah malam yang dia akan memudahkan kehidupan ibu dan abang.

“Mari bunuh diri!” terdengar suatu bisikan.

******

Pintu kayu rumahnya dikuak kuat sehingga berlaga dengan dinding. Bunyi dentuman yang kuat mengejutkan Syamil yang sedang nyenyak tidur. Kedengaran suara-suara manusia yang sedang rancak berdebat dan bertengkar di bawah.

Syamil duduk di atas tangga sambil mendengar pekikan mama dan papa. Papa mabuk lagi.

Pasti tadi dia meraikan sesuatu bersama rakan-rakan di kelab malam kegemarannya. Papa selalu begitu. Yang akan jadi mangsa keganasannya ialah dia dan mama.

“Kita ada anak tau tak? Tak boleh ke kalau awak berhenti minum?” Mama memekik.

“Biarlah! Aku dah jadi lelaki paling kaya dekat taman ni tau?” Balas papa.

“Duit haram takkan bawak awak ke Syurga!” Syarah mama pula.

Oleh kerana itu, papa menghayun tangannya dan satu tamparan hinggap ke pipi mama sehingga dia terduduk terjelepok. Syamil menekup mulutnya kerana terkejut melihat tindakan papa.

Tiba-tiba, iPhone 7e Syamil berdering. Deringan telefonnya membuatkan papa menoleh ke arah Syamil yang sedang memerhatikan mereka di atas tangga. Syamil ketakutan apabila melihat papa yang sedang merenung tajam ke arahnya.

“Anak kurang ajar! Campur urusan mak ayah!” Jerit papa sambil menuding jari ke arah Syamil.

Syamil lari masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu. Namun, tendangan papa cukup kuat untuk membuka pintu tersebut. Syamil menggigil ketakutan.

Papa meragut kolar bajunya dan ‘menghadiahi’ Syamil dengan satu lempangan yang kuat. Mama cuba untuk menghentikan papa namun ditolak kuat sehingga mama terjatuh dan terhantuk kepalanya pada bucu katil.

“Mama!” jerit Syamil.

“Diamlah, anak bodoh!” Jerit papa.

Papa cuba untuk menamparnya lagi namun Syamil bertindak pantas dengan mengambil piala di atas meja dan menghentak kepala papa sehingga dia terjatuh tersungkur.

Sejurus itu, dia berlari ke arah mama. Kepala mama berdarah dan nadinya tidak dirasai. Syamil menjerit sekuat hati. Mama sudah mati.

Keadaan papa yang terhuyung-hayang menyukarkannya untuk berdiri. Syamil menggenggam erat piala tadi dan berjalan perlahan-lahan ke arah papa. Tangannya diangkat ke atas. Perasaan amarahnya membuak-buak; ingin menamatkan riwayat papanya pada malam itu juga.

Akan tetapi dia tidak sanggup. Dia sudah kehilangan mamanya dan dia tidak sanggup didakwa sebagai pembunuh pula. Piala itu dilepaskan lalu pecah berderai di atas lantai.

Dia berlari keluar dari rumah dan menuju ke arah menara tangki air yang tinggi.

Malam itu dia nekad. Dia tak mahu hidup lagi. Mamanya sudah tiada dan dia tahu dia akan disakiti oleh papa setiap hari. Dia tak mahu! Dia mahu mati!

******

Aliff memandang Syamil yang berdiri di hujung menara tangki air yang tingginya lebih kurang dalam 100 kaki dari tanah.

Syamil menangis teresak-esak memikirkan tentang nasib hidupnya yang begitu malang. Mama sudah mati, papa pula minum tak henti-henti. Apa lagi yang dia ada di bumi ini?

“Mari bunuh diri!” Kata bisikan itu dari tadi.

Syamil tidak sedar akan kehadiran Aliff di atas menara itu. Matanya setia memandang tanah yang sangat jauh darinya. Satu lompatan pasti akan menamatkan riwayat hidupnya.

“Kau buat apa kat sini?” Ujar Aliff.

Syamil kekagetan lalu memegang palang besi dengan kuat. Kepala menoleh ke belakang. Aliff melihat wajah Syamil yang basah dengan air mata. “Kau, budak miskin! Apa yang kau nak dekat sini?” Jerit Syamil.

Aliff tidak menjawab soalan itu. Dia perlahan-lahan mendekati Syamil dan memegang palang besi itu juga. “Kau boleh tak pergi dari sini!?” Jerit Syamil lagi.

“Tak nak,” kata Aliff. “Aku pun macam kau jugak. Aku nak mati.”

Esakan Syamil terhenti dan dia merenung lama wajah Aliff yang kosong – tiada emosi.

“Kau takkan faham perasaan aku yang hidup tanpa ayah,” kata Aliff.

Syamil tersengih dan menggelengkan kepala. “Kau pulak takkan faham perasaannya bila ada ayah yang kaki botol dan kaki pukul,” sampuk Syamil. “Mak aku dah mati dibunuh oleh ayah aku sendiri!”

Aliff terkejut mendengar cerita itu. Baru petang tadi dia melihat mama Syamil menjemputnya pulang dari sekolah. Namun itu bukan urusannya kerana dia masih memikirkan tentang masalahnya.

Aliff memanjat palang besi itu dan memandang ke bawah. “Aku nak mati sebab hidup aku ni dah jadi satu beban dekat mak dan abang aku. Kehadiran aku dalam hidup diorang hanya mengundang kepayahan.”

“Sekurang-kurangnya, arwah ayah kau sayangkan kau. Aku?” Jerkah Syamil.

“Sekurang-kurangnya kau kaya dengan harta walhal aku susah,” balas Aliff pula.

Ada apa dengan duit kalau kau tak bahagia?” Bahas Syamil.

Ada apa dengan hidup kalau asyik menyusahkan orang lain?” Kata Aliff.

Mereka berdua terdiam dan kembali melihat ke bawah. Angin pada malam itu sangat mendinginkan. Lama kelamaan mereka boleh merasai api kemarahan mereka reda seolah-olah dipadamkan oleh angin tersebut.

“Sejak aku jumpa kau, kau tak pernah tak ada barang yang cikgu suruh kau beli. Sentiasa ada. Kau nampak sangat bahagia dengan kehidupan kau sampaikan kau pandang rendah terhadap orang miskin macam aku,” adu Aliff.

“Sejak aku jumpa kau, aku rasa cemburu tengok kau berbahagia dengan mak dan ayah kau walaupun kau susah. Walaupun ayah kau dah meninggal, tapi kau tetap cerita dekat semua orang pasal kebaikan ayah kau. Kau tolong kawan-kawan kau dalam subjek Matematik dan Matematik Tambahan. Kau sangat bahagia sampaikan kau lupakan orang yang tak bahagia macam aku,” adu Syamil pula.

“Kau bahagia sebab kau banyak duit. Kau selalu beli benda mahal-mahal dan selalu beri hadiah pada kawan-kawan dan cikgu-cikgu. Ramai orang kagum dengan sikap pemurah kau,” kata Aliff.

“Kau bahagia sebab kau ada orang yang betul-betul nak jadi kawan kau. Diorang semua rapat dengan aku sebab nak cuba gajet baru aku je!” Kata Syamil.

“Macam mana kau tahu AKU bahagia?” Tanya Aliff.

“Macam mana kau tahu AKU bahagia?” Tanya Syamil pula.

Dua-dua terdiam lagi; masih mencari poin untuk berbahas sesama sendiri. Akhirnya membisu kerana tiada apa yang perlu dibahaskan lagi.

“Kenapalah Tuhan meletakkan aku dalam situasi macam ni?” Rintih Syamil. “Kalau Tuhan Maha Penyayang, kenapa Dia bagi aku merana macam ni?”

“Aku pun fikir benda yang sama,” kata Aliff.

“Asal kau nak mati?” Tanya Syamil. “Takkan tak ada langsung benda yang boleh membuatkan kau rasa berbaloi untuk meneruskan kehidupan?”

“Kau pulak macam mana?” Tanya Aliff pula. “Mesti ada sesuatu yang boleh kau guna sebagai motivasi untuk meneruskan kehidupan.

“Mak kau? Abang kau? Apa perasaan diorang kalau kau dah mati nanti? Kau ingat kau takkan bebankan diorang lagi ke kalau kau dah takde? Kau rasa kau takkan hancurkan kehidupan diorang ke kalau kau bunuh diri?” Kata Syamil.

“Cikgu? Kawan-kawan kau? Kau ingat diorang tak sayangkan kau ke? Mungkin kau rasa kau tak berguna dalam hidup diorang, tapi kematian kau akan memberi impak yang besar pada diorang sebab kau dah memang termasuk dalam hidup diorang!” Kata Aliff.

Kedua-duanya tersentak. Rupa-rupanya masih ada harapan untuk meneruskan kehidupan; masih ada orang yang mengambil berat tentang mereka.

Mereka kembali memandang ke bawah, mencari rasionaliti untuk meneruskan niat mereka untuk membunuh diri.

Aliff tersenyum dan ketawa perlahan. Syamil memandang Aliff.

“Apa yang kau gelakkan tu?” Tanya Syamil.

“Dari tadi kita membandingkan kehidupan masing-masing,” kata Aliff. “Aku tengok kau bahagia sebab duit tapi tak tau masalah sebenar kau. Dan kau tengok aku bahagia dengan mak ayah aku tapi sebenarnya aku merana sebab kemiskinan. Mungkin kita selalu melihat kebahagiaan orang lain sampaikan kita lupa yang kita sebenarnya bahagia juga. Kita sering melihat kelemahan sehingga melupakan kekuatan. Kita sering menyanjung kekurangan sehingga buta untuk melihat kelebihan.

“Kita kurang bersyukur,” kata Syamil dengan sayu.

“Hidup ini tak menentu. Kadang-kadang rasanya ringan, dan kadang-kadang berat bukan kepalang. Memang kadangkala berat hidup ini sampaikan kaki kita tak mampu untuk menampung bebannya. Siapa yang meringankannya supaya kita kembali bersujud? Dan ada kalanya hidup ini terlampau ringan sehingga kita melayang ke udara. Siapa yang memberatkannya supaya kita merintih di waktu sepertiga malam? Di saat ringan, kita mudah melupakan Tuhan, di saat berat kita mudah menyalahkan Tuhan. Saat bilakah kita mahu katakan kedua-dua ringan dan berat datangnya dari Tuhan? Ya, memang benar. Kita kurang bersyukur,” syarah Aliff.

“…” Syamil terdiam. “Menjawab soalan aku tentang Tuhan tadi,” kata Syamil. “Kalau kita tak mampu nak berdepan dengan kesakitan di dunia, macam mana nak berdepan kesakitan diazab nanti?” Sambung Syamil.

Mereka berdua memandang sebuah surau yang terletak di bawah menara tangki air itu. Sudah lama kedua-duanya tidak datang berkunjung untuk menunaikan solat berjemaah bersama. Mungkin kejadian pada malam ini adalah sejenis tarbiyah untuk mereka untuk kembali kepada Tuhan.

“Kita tak ambil berat terhadap diri masing-masing. Aku kaya tapi aku tak pernah tolong kau yang kemiskinan. Kau pandai tapi kau tak pernah tolong aku dalam masalah pembelajaran aku. Mungkin malam ni Tuhan nak menemukan kita berdua supaya kita membuka mata bahawa ada insan-insan di sekitar kita yang memerlukan bantuan. Kita pentingkan diri sendiri sebelum ni,” kata Syamil. “Aku minta maaf, Aliff. Aku cemburu pada kau sehingga aku selalu mengejek kau.”

“Aku minta maaf, Syamil. Aku cemburu pada kau sehingga aku tak bantu kau semasa belajar,” kata Aliff. Aliff menghulurkan tangannya sambil tersenyum. Syamil memegang tangan Aliff dan membalas senyumannya.

“Perlu ke kita teruskan?” Tanya Aliff. Syamil tersenyum lalu memanjat palang besi dan bergerak ke belakang sambil menarik tangan Aliff. Mereka berdua telah berada di tempat selamat.

Kedua-dua Aliff dan Syamil mendakap sesama sendiri tanda bersyukur kerana dapat bertemu pada malam yang tragis itu.

Mereka turun dari menara tangki air itu. Tak lama kemudian, mereka terdengar siren kereta polis dan ternampak cahaya biru dan merah berhenti di hadapan rumah Syamil.

Aliff memandang wajah Syamil yang masih merenung ke arah rumahnya; memikirkan tentang nasibnya yang akan hidup tanpa mama dan papa, sekiranya dia ditahan polis. Aliff meletakkan tangannya pada bahu Syamil. Syamil tersenyum sendiri tanpa menoleh pada Aliff.

“Tak apa. Tuhan ada bersama kita. Kau doakan aku, ya sahabat?” Pinta Syamil. Air matanya mengalir. Tangannya dilepaskan dan dia berlari ke arah rumahnya yang tidak jauh dari situ.

Sesudah sampai ke rumah, Aliff melihat ibu yang sedang menggoreng karipap untuk dijual pada pagi esok. Setelah Aliff berada dalam penglihatannya, ibu mengukirkan senyuman. “Aliff pergi mana?” Tanya Ibu dengan lembut.

Aliff berjalan ke arah ibu dan memeluknya dengan erat. Ibu terasa aneh dengan perlakuan Aliff namun dihiraukan lalu membalas pelukannya. “Aliff ada di sini,” kata Aliff. “Dengan ibu.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faris Nazrin.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

49 points
Upvote Downvote

Total votes: 55

Upvotes: 52

Upvotes percentage: 94.545455%

Downvotes: 3

Downvotes percentage: 5.454545%