,

Begitu Hebatnya Mereka Memperjuangkan Agama Allah

Beberapa minggu yang lepas, aku mengisi masa petang dengan menonton siri rancangan ‘Umar Series’ yang dimuat turun oleh adik aku dari internet.

Aku menangis ketika menontonnya.

Sayu rasa hati melihat pengorbanan para sahabat yang sangat setia di sisi Nabi hingga kewafatannya.

Bibir ini tidak henti melafazkan selawat kerana terbit rasa rindu pada Rasulullah S.A.W.

Ya, aku menangis.

Begitu juga ketika aku membaca buku-buku sirah Nabi Allah ini. Seolah-olah aku ditayangkan semula apa yang telah berlaku di hadapan aku.

Allah Maha Penyayang kerana mengurniakan Nabi Muhammad S.A.W para sahabat yang terlalu kental imannya serta berani mempertahankan agama Islam ini.

Dalam banyak coretan sirah, gelaran at-Thayyar menarik perhatianku.

Siapakah yang digelar at-Thayyar dalam peperangan Mu’tah oleh Baginda Rasulullah S.A.W?

Perang Mu’tah ialah peperangan yang berlaku antara tentera Islam dengan tentera Rom.

Peperangan ini merupakan salah satu penyaksian betapa utuhnya keimanan dan kecekalan akidah para sahabat memperjuangkan kebenaran.

Rom adalah kuasa besar yang memiliki kelengkapan perang dan pasukan yang besar, sedangkan, para sahabat belum mempunyai pengalaman berperang dengan kuasa sebesar itu.

Mereka tidak mempunyai kelengkapan yang hebat, hanya keberanian dan kalimah tauhid yang tertanam di dalam hati.

Berbekalkan janji Allah dan Rasul, mereka ke medan jihad dengan penuh semangat.

Gambaran perang sudah dibayangkan oleh Rasulullah S.A.W sebelum keberangkatan para sahabat dan tentera Islam ke medan pertempuran.

Para sahabat kesemuanya juga sedia maklum dan berpegang teguh dengan pesanan Nabi.

Sekiranya panglima pertama; Zaid bin Haritsah r.a. tewas maka panglima kedua akan menggantikan tempatnya.

Jika panglima kedua tewas, Abdullah bin Rawahah r.a. yang merupakan panglima ketiga akan menggantikan pula.

Inilah juga kali pertama Rasulullah S.A.W mengangkat tiga panglima sekaligus kerana sedia maklum dengan kekuatan ketenteraan yang dimiliki oleh Rom.

Suasana di medan tika itu hiruk-pikuk. Terlalu sengit. Masing-masing menunjukkan kemahiran dan kehandalan mereka.

Musuh juga tidak kurang hebatnya, memberikan tentangan yang luar biasa. Seperti yang dijangka, Zaid bin Haritsah gugur syahid.

Panji Islam pantas disambut oleh panglima Islam kedua. Panglima itu dengan gah menjunjung tinggi panji Islam agar dapat dilihat oleh sekalian tentera Islam dan tentera musuh.

Sebelah tangan memegang panji, sebelah tangan lagi menghayun dan menghunus pedang ke arah musuh.

Tentera Rom yang melihat panji Islam masih berkibar di tengah-tengah medan pertempuran, mereka menerpa ke arah pembawa panji itu.

Seorang daripada mereka berjaya menetak tangan yang memegang panji tersebut.

Sungguhpun begitu, panji itu tidak sempat jatuh ke tanah kerana disambar oleh sebelah tangan lagi.

Musuh bertindak lebih ganas. Tangan yang memegang panji itu ditebas pula sehingga putus.

Jiwa panglima Islam yang kental itu tidak berputus asa. Dia tetap akan mempertahankan panji Islam walau dengan cara apa sekalipun.

Cuba kalian bayangkan, dengan darah yang merecik memenuhi dadanya, panglima Islam kedua itu tetap teguh mempertahankan panji keramat yang diamanahkan padanya.

Meskipun kedua belah tangan sudah tiada, dia mengepit batang panji itu dengan dua pangkal lengan yang sudah tidak bertangan, kemas ke dadanya agar panji itu berkibar. Allah…

Tentera Rom tercabar melihat kekuatan azam dan semangat panglima Islam itu. Seorang daripada mereka menerpa dan menetaknya dari belakang sehingga tubuhnya terbelah dua.

Akhirnya, jatuhlah panglima Islam itu dan gugur syahid. Itulah dia, Ja’far bin Abi Talib r.a., sepupu Rasulullah S.A.W yang telah menemui syahid pada usia 33 tahun.

Seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W, Abdullah bin Rawahah yang merupakan panglima Islam ketiga memegang panji Islam, menyambung perjuangan yang ditinggalkan oleh Ja’far.

Ketika jenazah Ja’far bin Abi Talib diangkat, didapati 90 liang luka terdapat pada bahagian hadapan badannya. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Aku melihat Ja’far di syurga. Dia memiliki dua sayap yang berlumuran darah dan bulu-bulunya berwarna.”

Rasulullah S.A.W juga memberitahu bahawa Allah menggantikan tangannya dengan dua sayap lain dan terbang ke syurga.

Disebabkan inilah, Ja’far bin Abi Talib digelar at-Thayyar yang bermaksud Dua Sayap.

Panglima at-Thayyar ini juga termasuk kalangan sahabat yang memiliki rupa paras yang hampir sama dengan Rasulullah S.A.W.

Lihatlah betapa hebatnya para sahabat dahulu. Kisah para sahabat ini boleh dijadikan sumber inspirasi setiap kita.

Bagaimana hebatnya iman mereka memperjuangkan agama Allah, begitulah juga doa kita agar dikurniakan keimanan dan kekentalan sedemikian dalam mempertahankan akidah pada zaman yang begitu mencabar ini.

Tidak mustahil untuk kita terus berusaha menjadi seperti mereka.

“Putih tidaklah bermaksud cantik dan hitam tidaklah bererti kotor, kerana putihnya kafan itu menakutkan sedangkan kelambu Kaabah yang hitam itu menyenangkan.” (Syair Arab)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

-1 points
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 100.000000%