,

Syurga Yang Dirindukan

“Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebajikan, bahawa untuk mereka (disediakan) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, ‘Inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu.’ Mereka telah diberi (buah-buahan) yang serupa. Dan di sana mereka (memperoleh) pasangan-pasangan yang suci. Mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: 25)

Syurga itulah suatu tempat di mana kesemua makhluk ingin berada di dalamnya, ingin memasukinya, terutamanya mereka yang bergelar manusia.

Syurga yang dikisahkah di dalam al-Quran rata-ratanya menyebut tentang sungai-sungai yang mengalir dan dikelilingi pokok-pokok buah-buahan yang berbuah ranum.

Fitrahnya manusia yang suka kepada sungai yang bersih, air laut, air terjun, sambil berkelah dan berseronok bersama keluarga.

Kanak-kanak yang riang apabila setiap kali berjumpa dengan air, tidak kira di taman tema mahupun air kolam. Ketika zaman nabi, keadaan tanah arab yang berpadang pasir, tandus kering, mereka juga ketika itu begitu mendambakan kawasan yang ada sungai dan air.

Allah ciptakan syurga yang mempunyai sungai, sesuai dengan fitrah manusia yang suka dengan air, malah air sungai di syurga akan lebih super duper best daripada dunia.

Bagaimana kita sukakan kebun buah-buahan atuk kita di kampung apabila tibanya musim buah, begitulah juga akan gambaran syurga di mana di sekelilingnya terdapat pohon-pohon buahan yang akan sentiasa berbuah, tidak menunggu musim seperti di dunia.

Pohon-pohon yang penuh di dalam syurga meredupkan syurga, lantas manusia akan bersandar, berehat di bawah pohon, sambil menikmati buah-buahan yang lazat dan kedamaian melihat air sungai yang mengalir tanpa memikirkan lagi hal-hal dunia.

Allahu nikmatnya gambaran syurga, membuatkan kita tidak sabar untuk memasuki ke dalamnya.

“Dan buah-buahan yang banyak, yang tidak berhenti berbuah dan tidak terlarang untuk mengambilnya.” (Surah al-Waqi’ah 56:32-33)

Sungguh, takkan tercapai bayangan dan akal kita sebagai manusia menjangkau gambaran betapa indahnya syurga Allah.

Apabila kita menikmati alam flora dan fauna, tempat-tempat yang cantik-cantik di bumi yang kita lawati, yang kita kagumi sewaktu di dunia, apatah lagi keindahan syurga Allah, kita akan lebih teruja dan sangat-sangat kagum.

Di dalam syurga kelak, Allah akan menyediakan bidadari-bidadari yang cantik, bermata indah, ganjaran buat mereka golongan kanan yang beriman ketika di dunia, yang timbangan amalnya yang berat di sebelah kanan, merekalah penghuni syurga.

“Kami menciptakan mereka bidadari-bidadari itu secara langsung, yang penuh cinta dan sebaya umurnya.” (Surah al-Waqi’ah)

Bidadari di dalam syurga kesemuanya muda, dan mereka takkan menua dan kekal cantik buat selama-lamanya. Itulah kehidupan yang abadi.

Bukankah telah datang seorang wanita tua kepada Rasulullah SAW? Dia meminta Baginda untuk mendoakannya masuk syurga. Namun Rasulullah menjawab, “Tidak ada orang tua di syurga.”

Seketika dia menangis kerana tidak bisa masuk ke syurga dengan umurnya yang tua. Kemudian Rasulullah SAW segera menenangkannya dengan berkata bahawa semua yang tua akan menjadi muda di dalam syurga.

Seronok bukan? Di dunia fitrahnya kita semua akan tua, tetapi tidak di syurga.

Andainya Allah membuka hijab mata kita semua dengan memperlihatkan kita syurga dan neraka, pasti kita semua akan segera melakukan kebaikan dan beribadah siang malam untuk memasuki syurga.

Tetapi Allah hanya menceritakan segala-galanya di dalam al-Quran. Begitulah Allah ingin menguji setiap hambaNya, sama ada beriman atau tidak, bertaqwa atau tidak.

Syurga yang Allah ciptakan dengan penuh kenikmatan, kedamaian, kecantikan, keselesaan yang lagi best daripada rumah-rumah banglo yang dihuni oleh jutawan-jutawan, yang lagi besar dan luas daripada istana-istana yang menjadi singgahsana sang raja, begitu mahal harganya.

Di dunia Allah perintahkan kita untuk mengerjakan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar. Allah perintahkan kita supaya sentiasa taat dan jangan menjadi sahabat syaitan yang bakal menghuni neraka jahanam. Allah bagi panduan untuk masuk syurga.

Apa panduannya? Al-Quran dan hadith yang ditinggalkan oleh Baginda junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Bukalah al-Quran, baca beserta maksudnya sekali.

Kelak kita akan lebih terpimpin dan dipandu dengan baik bagaimana untuk menelusuri kehidupan dunia yang penuh mehnah dan ujian ini. Untuk melangkah masuk ke dalam syurga yang mahal perlukan perjuangan yang tinggi oleh setiap manusia.

Biarlah kita bersusah-susah di dunia, biarlah kita berpanas-panas menjaga aurat kita, biarlah kita banyak menangis kerana ujian yang Allah timpakan, agar kita kelak tersenyum gembira di suatu tempat di mana tiada lagi tangisan, tiada lagi susah payah, tiada lagi duka lara.

Yang ada hanya sebuah kebahagian yang kekal abadi.

“Berjuang itu pahit, kerana syurga itu manis.” –Hijjaz-

Berdoalah kepada Allah supaya dimasukkan ke dalam syurga yang paling tinggi, yakni syurga Firdaus.

Memintalah dengan penuh harap, agar kita dapat berkumpul semula dengan ibu-bapa kita, keluarga kita, sahabat kita, kesemua orang-orang yang kita sayang di dalam syurga.

Berusahalah bersungguh-sungguh untuk terus melakukan kebaikan dan menjadi asbab kepada orang sekeliling supaya mereka turut merindui syurga. Berbuatlah sehabis baik, supaya kita dapat menarik orang-orang yang kita sayang ke dalam syurga, dengan izin Allah juga.

Allahumma inna nas-aluka ridhoka wal-jannah wa-na’uzubika min sakhathika wannar

“Ya ALLAH, kami memohon dariMu keredhaan dan SyurgaMu.”

Dan kami berlindung denganMu dari kemurkaanMu dan api nerakaMu.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%