,

Kenapa Aku Wujud Di Dunia Ini?

Nur menutup buku Pesanan Buat Diri karya Suhili Nain. Dia termenung memikirkan setiap pesanan dalam buku itu.

Dia tertanya dirinya. Dia akui dirinya banyak khilaf kepada Sang Pencipta. Otaknya ligat berfikir mengenai setiap pesanan.

Mengapa aku dicipta?

Nur termenung. Nur tanya dirinya, mengapa dia dicipta? Kenapa? Kenapa aku wujud di dunia ini?

Hakikat asalnya tidak pernah wujud. Kewujudan kita di dunia ini bukan atas kehendak diri kita sendiri, tetapi atas kehendak Yang Maha Esa, iaitu Allah.

Allah telah menciptakan aku daripada tiada kepada ada dan memberikan pelbagai nikmat kepadaku. Ajalku bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik saat kun faya kun menyapa.

“Dia yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada air mani, kemudian daripada darah beku, kemudian Dia mengeluarkan kamu sebagai bayi, kemudian kamu sampai ke peringkat umur dewasa, kemudian kamu menjadi tua. Dan ada antara kamu dimatikan sebelum itu supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan dan supaya kamu memahami.” (Surah Ghafir ayat 67)

Aku seharusnya insaf bahawa betapa lemahnya diriku. Aku harus bergantung hanya pada Allah. Aku dicipta kerana Allah dan sepatutnya tahu tidak ada Tuhan selain Allah.

“Dan jangan engkau menyembah tuhan lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Setiap satu pasti binasa melainkan Allah. Kepunyaan-Nyalah penghakiman, dan kepada Dia juga kamu semua dikembalikan.” (Surah Al-Qasas ayat 88)

Nur berjalan menuju ke tingkap. Dia merenung langit biru yang luas.

“Allah Maha Besar!”

Kenapa aku sering lalai dengan ajaran-Nya? Kenapa aku sering mengeluh dengan ujian-Nya? Akulah manusia yang tak pernah pandai nak bersyukur.

Aku adalah Islam!

Otak Nur masih cuba untuk menghadam setiap pesanan-pesanan penulis buku itu. Dia terpana seketika dengan ayat aku adalah Islam. Dia merenung kehidupannya sebagai hamba di sisi Pencipta.

Dia mengakui sebagai hamba Tuhan yang beragama Islam tetapi dia sebenarnya tidak mengetahui maksud pengertian Islam itu sendiri.

Benar! Aku hanya melihat Islam pada luaran sahaja seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan dan lain-lain. Aku hanya mengetahui hakikat Islam yang sebenar, iaitu penyerahan diri kepada Allah.

“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali-‘Imran ayat 19)

Aku berserah diri?

Berserah dengan hati bermaksud redha menerima segala ketentuan Allah. Hati yang berserah kepada Allah adalah hati yang beriman, meyakini hanya Allah yang menciptakan sekalian alam dan mengurusnya.

Allah, Tuhan yang wajib disembah dan meyakini kesempurnaan zat, sifat dan juga nama-nama Allah serta mengakui Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya dan membenarkan segala yang dibawa oleh Baginda.

Suasana pagi yang indah dan nyaman. Terasa ada magnet memaksa Nur bangun untuk solat malam untuk bertaubat kepada Sang Khaliq.

Ya Allah…

Kenapa aku melakukan dosa? Nur menangis teresak-esak memohon keampunan daripada Sang Khaliq.

“Sesungguhnya nafsu itu benar-benar menyuruh melakukan kejahatan, melainkan apa yang dirahmati oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf ayat 53)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

3 points
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%