, ,

Mutiara Hadis: Pulanglah Pada Tuhan

Sebagai makhluk bernama manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Godaan nafsu dan hasutan syaitan seringkali menjerumuskan kita ke lembah dosa. Bukan sekali, malah berkali-kali.

Kita beristighfar, memohon ampun kepada Allah.

Kita bertaubat, menyesali kekhilafan lalu. Adakalanya kita termenung lama memandang siling, menatap biru langit dan merenung hiasan indah di dalam masjid dengan perasaan sayu.

Kita menangis di dalam sujud. Tubuh kita menggeletar saat menitipkan doa.

Namun hari-hari berikutnya, kita terjerumus lagi ke lembah dosa yang sama. Untuk kesekian kalinya, kita jatuh lagi.

Ketika Allah menyembunyikan dosa-dosa kita daripada pengetahuan manusia, saat itu jugalah kita masih bermaksiat kepada-Nya. Hati kita tertunduk lemah menanggung beban dosa yang melanda.

Wahai saudaraku yang dikasihi.

Dalam kondisi jiwa yang selemah ini, apakah masih ada keampunan Allah untuk diri kita?

Sudah tentu jawapannya adalah ya. Keampunan Allah kan sentiasa ada, malah tidak pernah terhenti untuk mereka yang ikhlas mencari.

Suatu hari saya terbaca sepotong hadis yang sangat mendalam maknanya.

“Sesungguhnya kegembiraan Allah dengan taubat seorang hamba-Nya tatkala dia kembali kepada-Nya, adalah lebih besar daripada kegembiraan seseorang yang berada di tengah-tengah padang pasir lalu haiwan tunggangannya terlepas lari bersama semua bekalan makanan dan minumannya. Maka dia pun pasrah lalu berteduh di bawah pokok sahaja. Ketika dia sudah benar-benar berputus asa, tidak semena-mena haiwan tunggangannya itu muncul kembali dan dia terus memegang tali yang diikat pada tunggangannya seraya berkata, “Ya Allah, Engkau hambaku dan akulah tuhanmu!” Sabda Rasulullah Sallallah Alaihi Wasallam, “Dia tersasul kerana sangat gembira.” (Hadith riwayat Muslim)

Pengajaran Hadis

1. Letakkan Allah di depan dalam segenap lapangan kehidupan.

Hadis di atas menggunakan contoh yang mudah difahami. Digambarkan watak pengembara yang teramat suka kerana mendapat semula haiwan tunggangannya yang hilang. Begitulah pula halnya jika kita kembali kepada Allah setelah tersalah mengingkari-Nya.

Maka Allah akan suka untuk mengampunkan kesalahan kita, malah lebih suka daripada pengembara dalam hadis di atas yang kembali bertemu haiwan tunggangannya.

2. Jangan putus asa mengejar keampunan Allah.

Di antara tipu daya syaitan ialah mencampakkan rasa putus asa ke dalam jiwa manusia yang hanyut dengan dosa.

Saat kita berputus asa dan tidak mahu lagi bertaubat, saat itulah syaitan bergembira meraikan kejayaan tipu muslihatnya.

3. Rasa malu untuk mengulangi dosa.

Pupuklah rasa malu untuk mengulangi dosa. Tegakah kita terus bermaksiat sedang Allah tidak henti-henti melimpahkan kurnia-Nya kepada kita?

Mulai sekarang tanamkan azam untuk merasa benci kepada perbuatan dosa dan maksiat.

4. Sentiasa koreksi diri.

Hal ini penting supaya kita tidak selamanya berada dalam zon selesa.

Kita perlu selalu bermuhasabah diri dengan bertanyakan dua soalan ini: Apakah kebaikan yang telah aku lakukan hari ini? Dan apa pula keburukan yang telah aku jauhi hari ini?

5. Bersahabatlah dengan kesakitan.

Dunia seolahnya tercipta untuk mematahkan jiwa kita. Rasa kecewa dengan pencapaian diri, kehidupan keluarga yang porak-peranda, kegagalan dalam percintaan, kekurangan harta dan kesempitan hidup, semua ini menumbuhkan rasa sakit yang akan mendewasakan kita.

Kesakitan ini juga merupakan sebahagian daripada apa yang dinamakan kehidupan. Maka kita perlu terus kuat dan jangan menyerah.

Jadikan keperitan ini anak tangga untuk kita naik lebih tinggi dan menjadi insan yang lebih baik.

Penutup

Wahai saudaraku yang dikasihi.

Saya akhiri penulisan ini dengan suatu peringatan bahawasanya Allah Maha Mendengar setiap rintihan hamba-Nya. Dan ketahuilah, taubat yang ikhlas adalah jalan terpantas meraih keampunan.

Jika tulisan ini mengandungi secebis kebaikan, sebarkan kepada rakan-rakan anda. Mudah-mudahan kita tidak jemu berkongsi kebaikan demi meraih pahala yang berlipat kali ganda.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Haikal Fansuri yang berasal dari Ipoh, Perak. Ikuti perkembangan beliau dengan melayari blog www.haikalfansuri.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%