,

Mungkinkan Terputus Di Tengah Jalan

Di bawah rimbunan pohon, Imani duduk mentadabur alam. Suasana angin malam mendamaikan hati. Ditemani lagu “Doa Perpisahan” oleh kumpulan Brothers.

“Alhamdulillah awak, kita sama-sama dapat masuk asrama.” Ujar Imani kegirangan.

“Yup. Walaupun untuk dua tahun je. Harap nanti kita sebelah katil. Boleh belajar sama-sama. Seronoknya.” Balas Syafinaz keriangan.

Masing-masing meluahkan perasaan dan melahirkan isi hati. Begitulah mukadimah sebuah persahabatan. Usaha Imani dan Syafinaz membuahkan kegembiraan dan kesejahteraan.

Mereka seperti isi dan kuku, ditambah pula dengan latar belakang yang hampir serupa. Anak sulung dan fizikal juga hampir sama kerana kelahiran pramatang.

******

Petang Sabtu di dorm B211.

“Assalamualaikum. Eh, awak dah lama sampai ke? Cik Mai pun ada sekali.” Imani menyapa.

“Wa’alaikumussalam. Bolehlah dalam sepuluh minit. Ibu kita mestilah ada. Tolong anaknya.” Syafinaz menjawab.

“Kenalkan, ini umi kita.” Maka terjadilah sesi ta’aruf seketika antara ibu mereka. Mereka tahu, ibu mereka sarat dengan kerinduan mengenangkan anak sulung mereka yang tinggal berjauhan.

Namun apakan daya, mereka turut menyandarkan harapan dan impian di pundak mereka dalam SPM kelak. Oleh itu, mereka menghabiskan usia remaja dengan berusaha mengharungi mehnah sebagai generasi penyumbang kebaikan.

Syafinaz lebih dikenali dalam kalangan guru berbanding Imani. Hal ini tercetus apabila Syafinaz banyak melibatkan diri dalam program sekolah.

Di kelas, mereka duduk secara berasingan. Berbeza bidang tapi sama aliran.

Bagai hempedu di hati, Syafinaz ingin merendah diri dengan mengundurkan diri dalam pelbagai aktiviti dan persatuan di sekolah.

Di pondok sekolah waktu malam, mereka akan mengulangkaji bersama sambil berbual.

“Imani, kita harap sangat, awak boleh terima keputusan yang bakal kita beritahu. Awak jangan cepat melatah tau.” Syafinaz menyusun kata dengan berhati-hati.

“Baik bagi awak, InshaaAllah baiklah bagi saya.” Imani cuba membuka ruang untuk Syafinaz menutur bicara.

“Kita minta maaf sangat kat awak. Kita dah lepaskan semua jawatan yang kita sandang termasuklah Timbalan Ketua Pengawas Sekolah. Secara mutakhirnya, awak paling layak gantikan tempat kita. Sebab kita tak mampu nak teruskan. Kita nampak awak ada bakat kepimpinan. Awak mampu teruskan intifadah dan perjuangan.”

“Cita-cita kita satu saja, nak teruskan bahasa Arab.  Awak mampu kuasainya berbanding kita yang serba kekurangan ini. Itu antara sebab kita pilih awak dan harap sangat ukhuwah kita hingga ke Jannah. Awak jangan salah anggap ye. Kita akan sentiasa di sisi awak. InshaaAllah.” Syafinaz memandang tepat ke anak mata Imani.

Pandangan mereka bertaut. Air mata berlinangan.

“Awak, maafkan kita. Kita bukan orang yang layak pegang jawatan tu. Dan kita akan berusaha untuk laksanakan sebaiknya. Kita doakan awak dapat capai impian awak. Aamiin.” Imani merangkul bahu Syafinaz. Erat diselangi air mata yang berjujuran jatuh dari kelopak mata.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Syafinaz bersendirian dan keseorangan. Bertafakur dan bermunajat kepada Allah. Merenung panorama suasana tahajud. Muhasabah diri. Dia yakin dan pasti.

Kebelakangan ini, Imani mulai sibuk dengan urusan persatuan dan pelajaran. Hubungan persahabatan meraka kian renggang. Konflik dalaman nafsi cuba diabaikan. Sikap keakuan mula melonjak-lonjak ke salur darah.

Segalanya berserabut dan berkecamuk.

“Benar, aku harus meminta maaf kepadanya sebelum terlambat.”

******

Seminggu sebelumnya..

“Ya Allah, apa yang berlaku. Kenapa air mataku mengalir deras. Tiada henti. Umi dan abi sudah kutelefon menanyakan khabar berita. Alhamdulillah, mereka sihat dengan adik-adik. Syafinaz pula pagi-pagi ke sekolah, berlatih pantun.” Imani bermonolog.

Dari lepas Dhuha hingga dia selesai solat Asar. Air matanya mengalir laju. Tidak tahu kenapa hatinya bercelaru mengatakan seolah-olah ada sesuatu yang buruk berlaku.

Zohor tadi berlaku ribut kuat hingga menumbangkan beberapa buah motor di dewan makan. Imani berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Di surau sekolah, sementara menunggu Isyak, Imani akan mengisi masa dengan membaca al-Quran dan memahami maksudnya.

Rakan-rakan yang lain ada yang membuat persediaan memandangkan esok adalah kertas peperiksaan yang terakhir pertengahan semester.

Ketika mereka sedang khusuk melakukan kerja masing-masing, seseorang bertelekung berwajah suci bersalam dengan setiap rakan-rakannya hingga sampai kepada Imani. Terhenti seketika bacaan terjemahan yang dibacanya. Terkaku beku.

“Awak, kita minta maaf salah silap kita zahir dan batin. Kita tau, kita banyak salah dengan awak secara sedar dan tidak sedar. Tolong halalkan makan minum kita dan segala yang kita kongsi bersama sepanjang persahabatan kita ni.Tolong teruskan perjuangan kita mencapai mardhatillah.” Syafinaz memulakan dengan menghulurkan tangannya kepada Imani.

Imani menyambut dengan lambat kerana merasa aneh dengan perlakuan sahabatnya itu. Dia akui, Syafinaz memang berkeperibadian mulia dan ketinggian yang luhur.

“InshaaAllah. Kita pun sama awak. Zahir dan batin.” Tangan dikucup lembut bersilih ganti. Itulah kali terakhir mereka bermesra dan berpelukan.

Air matanya menitis. Kenangan lalu memberikan nafas dan semangat kepadanya membentuk personaliti dan hala tuju. Ilmu pelita hati. Perjuangan mengkehendaki pengorbanan.

Kini, dia sudah pergi menghadap Ilahi. Syafinaz pergi keesokan harinya selepas Maghrib akibat sesak nafas tanpa Imani di sisinya. Terjawab sudah, mengapa Imani mengalirkan air mata berlarutan seharian suntuk pada minggu lepas.

SEMOGA AWAK TENANG DI SANA SAHABATKU, NUR SYAFINAZ SHAFIE.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sakinah. Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%