, ,

Munakahat Cinta (bahagian 1)

“Doakan Ayyash bertemu jodoh tahun ini umi,” pintaku melalui panggilan video rakaman. Ibuku ketika itu masih di hotel Makkah sebelum bergerak menuju ke Masjidil Haram.

“Insya-Allah, Ayyash pun sudah berumur. Eloklah tu kahwin cepat. Sebelum tu, Ayyash sudah ada calon ke?” soal umi.

“Tuppp”

Perbualan video terhenti kerana rangkaian internet terjejas.

“Uhuuh. Masa inilah pula line terputus,” keluhku.

Aku tidak keluar ke mana-mana. Cuaca musim sejuk yang mencecah 17.3°C di Fes, kota yang berdekatan Gunung Atlas di Maghribi membuatkan aku mengurung diri di dalam horizon bilik sewa yang mempunyai pemanas haba.

Kemudian aku menghantar pesanan terakhir kepada umi.

Ayyash : Maaf umi, ada masalah internet. Tentang calon itu.. Tak ada lagi umi. Umi tahukan Ayyash ingin tamatkan PhD dulu.

Umi : Tak mengapa,  umi doakan nanti di depan Kaabah.

Aku menyapu dengan jari satu per satu status di Mukabuku. Gambar-gambar kenalan sekolahku yang sudah berumah tangga terpapar.

Yang sudah menjadi suami isteri, seorang bapa dan ibu, membuatku berasa ketinggalan.

Abang dan adik-adikku juga sudah membina rumah tangga masing-masing.

’30-an, aku ni taklah tua sangat,’ monologku sendirian. Timbunan buku-buku kajian falsafah kedoktoranku tentang Teknik Penerjemahan Bahasa Arab di atas meja begitu membakul-bakul.

Tambahan aku membuat kerja sambilan dalam terjemah buku-buku bahasa Melayu ke dalam bahasa Arab seperti novel maniaku, ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ karya Buya HAMKA.

Di usia begini, aku sudah mengecapi segala impian yang aku inginkan. Hanya, persoalan umi tentang calon gadis yang akan melengkapkan separuh hidupku.

Aku bukan pernah bercinta apatah menggeledahi maknanya cinta itu.

Tiba-tiba, satu gambar gadis berpakaian jubah peguam, bertudung litup, menyambar di suapan berita.

‘Eh! Fakhitah sudah menjadi peguamlah.’

Saiyidah Nur Fakhitah, jiran yang jauh berapa suku meter dari rumahku. Kulitnya yang kuning langsat, matanya yang menawan laksana puteri peri, hidung yang mongel dan seulas bibir delima merekah tidak pernah berubah.

Kotak imaginasiku kembali imbasi sejarah ketika memanjat bangku sekolah rendah bersama Fakhitah.

“Ayyash, tentang novel yang kau beri pinjam di taman minggu lepas, aku masih belum habis baca.” Fakhitah berlaku jujur.

Ayyash yang ketika itu ralit membaca sesuatu mendongak ke arah Fakhitah. Tali leher pengawas perpustakaan dibetul-betulkan.

“Tak mengapa Fakhitah. Novel kau ni pun aku tak habis baca lagi,” balas Ayyash kekalutan.

Fakhitah menjenguk-jenguk ke bawah laci meja.

“Mana boleh bawa novel ke sekolah Ayyash,” marah Fakhitah. Selaku pengawas sekolah, dia begitu mementingkan peraturan. Novel itu dirampas ganas.

Said Salahuddin, rakan karibku merangkap ketua kelas hanya memandang dari jauh melihat keletah kami berdua.

Said itu sainganku jua. Dia juga rapat dengan Fakhitah, malah peribadinya yang tenang itu mungkin lebih digemari dalam kalangan pelajar lain.

“Ayash.. Ooo Ayash..”

Aku tersentak dari lamunan zaman persekolahanku. Suara Wafiyuddin, teman serumahku di kota Magribi memanggil.

“Makanannya sudah siap. Mari makan.”

“Baik ana datang ni,” sahut Ayyash.

Kami biasanya makan setalam. Waktu ini adalah masa paling sesuai untuk bermusyawarah dan menceritakan perihal masing-masing.

“Mengapa ini Ayyash, gundah gulana aja? Tak baik bermasam muka di depan rezeki.”

“Tidak ada apa-apa. Cuma risau tentang tesis ana tak siap-siap lagi.”

“Iyakah? Ke sebab jodoh tak sampai-sampai lagi ini?” Wafiyuddin meneka dengan padu.

Wajahku merah padam. Segan silu untuk kuakuinya tetapi tidak salah untuk mengatakan hal yang sebenar.

“Ana sudah kenyang.” Ayyash bangun dari tempatnya.

“Eleh terasa ke, Ayyash habiskanlah dulu.”

“Tak mengapa. Terima kasih atas masakannya.”

Fakhitah, mengapa profilnya sudah tidak muncul di muka buku. Adakah dia menutup akaun atau menghalangi aku untuk mengakses?

Petang itu aku mengumbar kembali episod lalu di perkarangan Universiti Al-Qarawiyyin.

“Kumbang tidak perlukan bunga,” jerkah Ayyash di dalam kelas tengah hari itu sebelum acara kokorikulum bermula.

“Tidak!! Bunga tak perlukan kumbang,” balas Fakhitah dalam medan perdebatan yang sengaja diadakan. Memang mereka berdua suka bersilat mulut sejak tahun satu hingga ke tahun enam.

“Perempuan itu lemah hingga tidak dapat mempertahankan haknya,” lontar Ayyash.

“Apa buktinya ada?”

 

> bersambung Munakahat Cinta (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%