,

Muhasabah Bersama Sekeping Hati

Buatmu segumpal darah bernama hati,

Dahulu kau pernah suci. Tiada palitan noda-dosa. Bebas calitan hasad-maksiat.

Yang terisi di segenap ruang ronggamu – hanya bahagia. Yang terwujud di setiap inci penjurumu – hanya gembira.

Tanpa pernah kau sedari, bahawa gembira itu cuma satu episod daripada berjuta episod kehidupan yang harus kau jalani.

Tanpa pernah kau jangka, rasa bahagia itu tidak selamanya bakal menemani hidupmu bagai puteri kisah dongengan.

Wahai sekeping hati,

Seiring dengan waktu yang berlari, banyak perkara yang kau pelajari, pelbagai perasaan yang kau rasai.

Kau mula mengerti tidak hanya bahagia yang bakal kau lalui.

Lalu akhirnya kau belajar menerima sebuah hakikat, bahawa tidak semua perkara di dunia ini bakal membuatkan kau gembira, ada masanya kau mungkin akan merasa sakit dan pedih pada sisi-sisi tertentu kehidupan ini.

Pernah suatu saat kau dikhianati, disakiti, dicampak bagai tiada harga diri, namun kau belajar untuk bertahan dengan sepenuh kekuatan daripada Tuhan.

Pernah terdetik di satu sisi gelapmu untuk membentak berontak, namun akal warasmu mengingatkan bahawa, “Ikut hati bakal mati, ikut rasa bakal binasa.”

Pernah terlintas di satu titik hitammu untuk melunaskan kesumat yang berselirat, namun tembok imanmu yang tipis bersuara, “Itu kerja Tuhan, biar Tuhan membalasnya.”

Kadang engkau tertanya, perlu apa menjaga hati-hati manusia lain di sekelilingmu sedang ketenanganmu sendiri tidak terjaga?

Kadang sisi gelapmu menghasut, “Usah peduli hati mereka, buatlah apa saja asal hatimu tak kusut.” Sampai satu saat, sekeping hati itu terlalu lelah untuk beralah.

Terlalu penat berpura-pura kuat. Terlalu letih menahan pedih. Terkadang sisi murnimu memujuk, “Bila kau jaga hati mereka, Tuhan akan menjaga hatimu.

Hakikatnya, tidak mudah dan tidak indah. Namun hakikatnya – yang tidak mudah dan tidak indah – itulah pelajaran terbaik buatmu sekeping hati.

Duhai sekeping hati yang kerdil,

Hati yang sama merasa gembira. Hati yang sama mengecap bahagia. Hati yang sama juga pernah kecewa.

Hati yang sama turut tersayat, lalu akhirnya dirawat dan dijahit rapat-rapat. Hati yang sama pernah retak, pecah terbelah, lalu cebisannya dikutip dan dicantum penuh hemah.

Hati yang satu inilah sering tersiat punah-ranah, tercantum kembali berulang kali.

Pernah terfikir mengapa Tuhan tidak ciptakan keping-keping hati yang berbeza untuk setiap jenis perasaan yang berbeza?

Kerana sekeping hati pun tak terjaga, terkadang puting beliung, terkadang huru-hara bagai padang jarak padang tekukur, apa lagi untuk dua, tiga dan seterusnya.

Itulah uniknya sekeping hati yang Tuhan ciptakan untuk berjenis rasa.

Kau harus tahu wahai hati, walau betapa sering pun kau tersakiti,

Demi Tuhanmu, kau harus tegar berani.

Betapa pun sulit memelihara keluhuranmu, ketahuilah duhai hati,

Bahawa aku seorang hamba yang sedang dan akan terus bertatih menata satu pinjaman teragung dari Tuhan – engkaulah sekeping hati, selama Tuhan belum menyeru kembali ke alam abadi, selama denyut nadi belum terhenti.

Daripada an-Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w bersabda, “Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari (no. 52) dan Muslim (no. 1599))

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%