,

Mencari Jalan Pulang (bahagian 1)

18 JANUARI 2018. KHAMIS.

Hari ini hari keempat aku berulang-alik memeriksa darah semenjak keluar wad. Bosan.

Setiap kali aku merasakan tidak mahu pergi, aku akan terfikir, mungkin sekejap lagi bila aku tersedar daripada tidur, rupanya aku sudahpun dipanggil arwah. Hanya kerana aku malas untuk memandu dan mengambil darah di klinik kesihatan ini.

Nombor masih banyak. Mencari-cari ruang kosong di kerusi depan bilik pertama itu sangatlah susah. Orang terlalu ramai.

Mataku tertancap pada sebuah kerusi kosong di depan bilik doktor. Bilik bernombor dua.

Bukan kerusi itu yang sangat menarik perhatian sebenarnya. Bukan. Tetapi orang yang duduk di sebelah kerusi kosong itu yang menarik perhatianku.

Dari jauh aku perhatikan dia.

Seorang mak cik. Agak gempal. Tetapi iras wajahnya seperti arwah emak. Aku perhatikan dirinya sehingga aku terleka dan terlupa dengan penyakitku sendiri.

Aku terlupa yang aku sedang sakit dan tak larat berdiri lama. Aku terlupa aku sedang sakit kepala hingga berdenyut-denyut di bahagian mata.

Aku terlupa. Kerana pandangan yang aku lihat itu, bukan selalu dapat aku kecapi.

Mak cik itu kelihatan termangu-mangu.

Duduk sendirian.

Perlahan-lahan aku menghampiri dirinya. Aku didorong oleh rasa rindu yang bersangatan. Menghampiri dirinya itu kerana rindu. Bukan kerana kerusi kosong itu.

“Assalamualaikum. Mak cik, ada orang tak duduk sebelah mak cik ni? Boleh saya duduk di sini?” Tanyaku berharap.

Dalam hati, ingin sangat aku berkata, “Emak, boleh Uji duduk sebelah emak?”

Aku rindu sangat ingin menyebut panggilan itu. Emakkkk…

Tetapi itu cuma di dalam hatiku.

Kalau kukatakan ayat itu, mak cik itu mungkin akan mengatakan aku gila. Memang patut aku berjumpa doktor. Sebab aku sedang gila.

“Eh takde orang. Duduklah,” jawabnya ringkas.

Aku tak mengambil masa lama untuk mendengar pelawaan kali kedua. Tangan kuhulur padanya. Perlahan kucium jari jemarinya. Tanda hormat.

“Mak cik lama dah ke tunggu doktor? Mak cik sakit apa?” Soalku lagi.

Soalan tu bukan nak ambil tahu sangat pun sebenarnya. Hanya sekadar basa-basi. Mak cik ni tak kelihatan ramah pun. Tak macam arwah emak.

Emak kalau duduk dengan siapa-siapa, emak akan tanya macam-macam soalan. Emak berborak macam orang yang dah kenal lama.

Aku lupa ini bukan emak.

Emak yang aku rindui dah pergi empat tahun lamanya. Jadi aku tak boleh samakan dia macam emak. Sebab emak aku tiada galang gantinya.

Tapi aku rinduuuu sangatttt.  Wajahnya seirasss. Seiras hinggakan aku rasa ingin menyentuh dia. Seiras hingga aku ingin sangat memanggilnya emak. Emakkk…

“Boleh tahan lama. Dari pukul 7 la mak cik keluar. Rupanya pukul 7 tu dah ramai orang, nak,” jawabnya pula.

Dia memanggil aku nak.

Terasa ingin menangis aku mendengar perkataan itu. Dah lama aku tak dengar orang memanggilku nak. Empat tahun lamanya tidak ada orang yang memanggilku nak.

Aku berbual dengannya.

Berbual sehinggakan aku tahu anaknya 5 orang. Cucunya 11 orang. Cicitnya 7 orang. Semua anaknya sakit kencing manis dan darah tinggi. Umurnya 77 tahun.  Setahun lebih tua daripada emakku sendiri.

Anaknya yang membawa dia ke klinik ini, pangkat pak cik sudah. Sudah rabun. Sebab dia meminta aku tolong bacakan kad kesihatan yang dibawanya. 55 tahun sudah umurnya.

Aku berbual dengannya sehinggakan dia boleh bergelak ketawa. Wajahnya tidak ketat lagi seperti kali pertama aku melihatnya tadi.

Dia menceritakan bagaimana dia merasakan gemuruh kali pertama berjumpa doktor tanpa anaknya menemani. Sehinggakan doktor mengatakan dia ada darah tinggi.

Aku berbual dengannya sehingga aku boleh mengadu kepalaku sangat sakit. Mataku berpinar. Aku demam denggi. Seluruh badanku sakit hingga tulang-temulang kurasakan.

Hinggakan dia bertanya, sakit sangat ke kena denggi tu Uji? Sebab mak cik tak pernah sakit sepanjang hidup mak cik. Demam pun jarang sangat kena.

Mengadu kepadanya itu hingga membolehkan aku memegang jari-jemarinya. Hingga membolehkan aku merendahkan sedikit kedudukan badanku supaya aku dapat bersandar di bahunya.

Sifat manja yang selalu aku tunjukkan ketika bersama arwah emak tertonjol tanpa aku sedari. Ye, aku manja. Aku sangat manja sebenarnya. Hinggakan kalau dulu duduk dengan emak, aku selalu merebahkan kepalaku ke bahunya.

Memegang jari jemarinya. Mencium jari jemarinya sambil berbual mesra. Aku manja. Sebab aku anak perempuan bongsu.

Dan kemanjaan itu terserlah bila tanpa segan silu aku menyandarkan kepalaku ke bahu mak cik yang aku baru kenali ini.

“Sakit sangat mak cik. Uji pening kepala berdenyut-denyut rasa,” jawabku ringkas padanya sambil memejamkan mata.

Sebenarnya aku sedang mengambil kesempatan.

Aku sedang menikmati saat-saat melepaskan kerinduan itu. Bersandar padanya itu seolah-olah bersandar pada emakku sendiri.

Aku berada dalam dunia yang hanya aku yang rasa.

 

> bersambung Mencari Jalan Pulang (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Roziyawati binti Abdul Shukor (nama pena: Nuarindah Nuari). Pengalaman bekerja 12 tahun dalam bidang perakaunan. 6 tahun daripadanya dalam bahagian pengurusan di salah sebuah anak syarikat kumpulan Johor corporation. Sekarang, beliau merupakan perunding kecantikan mary kay dan peniaga niqab. Ikuti perkembangan beliau di Facebook https://www.facebook.com/ogie.ujie

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%