,

Bagaimana Mencantikkan Hati

Tiada penghujungnya untuk kita menemui definisi sebenar istilah cantik.

Semua yang Allah jadikan itu indah dan ada kelebihan tersendiri. Cantik boleh diaplikasikan kepada benda hidup atau mati. Namun apakah sebenarnya yang dikatakan cantik itu?

Lahiriah

Persepsi tentang cantik adalah berbeza bagi setiap orang. Kita tidak menafikan kecantikan fizikal menjadi tarikan awal kepada seseorang. Namun, kita tahu tiada perkara yang kekal abadi.

Untuk sentiasa manis dan sihat kita memerlukan waktu tidur yang cukup, minum air masak bersesuaian ikut keperluan badan kita, makan makanan seimbang, tidak merokok, elakkan tekanan dan cari masa berehat untuk diri sendiri.

Rohaniah

Cantik hati dinilai melalui hati ke hati. Cantik rohaniah adalah dengan menjaga ibadah, akidah, akhlak, hawa nafsu dan menjadi seorang yang menjaga waktu (solat mahupun dengan orang lain).

Selain itu perbanyakkan ilmu dan perbaiki diri untuk kelihatan lebih yakin dan disenangi.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: ayat 13)

Tutur kata

Kita perlu bersifat malu untuk berkata sesuatu yang boleh menyakiti hati orang lain. Apabila seseorang menjaga tutur katanya secara tidak langsung dia menjaga hubungan baiknya dengan orang lain.

Bahkan, dirinya akan dihormati kerana kesantunannnya.

“Yang dibawa dalam ini (hati), akan kekal ke akhir zaman, namun apa yang ada di luar ini (jasad), sampai ajal akan dikebumikan.” – Ustazah Norhafizah Musa.

Kisah-kisah para sahabat

Pemuda syurga – Pernah diceritakan dahulu ada seorang hamba Allah yang menjadi penghuni syurga adalah kerana hatinya yang sangat baik; mudah memaafkan, bersangka baik dan tidak menyakiti hati orang lain sedangkan amalannya begitu sederhana.

Julaibib – Kisah seorang pemuda yang mempunyai kekurangan dari segi rupa namun kerana mempunyai keimanan dan keikhlasan yang sangat tinggi, beliau sangat terkenal dalam kalangan penduduk langit dan begitu dihormati oleh Rasulullah SAW.

Wanita dan kecantikan

Islam sendiri adalah agama yang sukakan keindahan dan kecantikan, jadi mencantikkan diri bukanlah dilarang.

Malahan kecantikan merupakan fitrah manusia.

Namun untuk cantik, syariat perlu dijaga. Ikut garis syariat dan panduan yang telah ditetapkan dalam islam.

Elakkan pembaziran dan perlu menjaga aurat misalnya.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah at-Tin: ayat 4)

Doa untuk menjaga hati

Amalkan selalu doa ini:-

“Ya Allah, kayakan diriku dengan ilmu, dan hiaskan diriku dengan sifat lemah lembut, dan muliakan diriku dengan takwa dan cantikkan diriku dengan kesihatan.”

Keadaan hati dan iman menentukan kecantikan dalaman seseorang. Setiap orang ada kelebihan dan kecantikan tersendiri.

Jangan asyik berfikiran negatif dan terlalu merendah diri, namun jangan pula merendah-rendahkan orang lain.

Lakukan yang terbaik untuk diri kita mengikut kemampuan. Jaga baik-baik hubungan kita dengan Allah dan semua ciptaan-Nya.

Kita semua sama, yang membezakan kita adalah taqwa. Sentiasalah merasa syukur dan menyayangi diri kita ini.

Di akhirnya, Tuhan juga akan menilai semuanya.

Daripada  Abu Hurairah RA, ia berkata: Nabi SAW telah bersabda, ”Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa bentuk dan harta kalian, akan tetapi Dia melihat pada hati dan amal kalian.” (Hadith riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%