,

Memberontak Dengan Allah?

Setiap orang pernah menghadapi ujian atau musibah, kan? Tipu sangat la, kalau kita tak ada masalah langsung.

Cuma, sampai satu tahap, ada orang yang sanggup menyalahkan Allah dan memberontak!

“Haih, aku solat tapi hidup aku susah. Orang bukan Islam tak solat pun, tapi hidup diorang lagi senang. Lebih aku tak payah solat, buat penat je.”

“Kalau Allah sayang aku, kenapa aku asyik fail exam? Sia-sia je aku berdoa selama ni.”

“Ya Allah, aku selalu buat apa yang Kau suruh, tak macam kawan aku tu. Tapi, kenapa nasib dia selalu lagi baik daripada aku? Allah tak adil!”

Kita rasa dengan cara memberontak kepada Allah, kita akan dapat apa yang kita nak. Macam contoh kat atas tu, bila kita solat, hidup kita masih lagi susah.

So, kita pun ambil keputusan untuk tak mahu solat, kononnya nak merajuk supaya kita rasa puas hati. Tapi, confirm ke hidup kita boleh jadi senang lepas kita buat macam tu?

Bro dan sis, jangan tertipu! Kalau kita buat juga, bermakna kita dah masuk perangkap syaitan dan hawa nafsu.

Haa, saya nak pesan ni! Kalau korang ikut perintah Allah selama ni semata-mata nak Allah tunaikan kehendak korang, memang rugi!

Kalau korang buat benda baik selama ni semata-mata nak elak daripada korang tak terkena musibah, memang silap!

Allah tak perlukan amal kebaikan kita, tapi kita yang perlukan amal kebaikan tu untuk dekatkan diri kita denganNya.

Ujian bukan alasan

Haa, korang pernah baca ayat Al-quran ni?

Allah berfirman: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut 29:2-3)

Jangan disebabkan ujian yang kita hadapi, membuatkan kita lebih jauh daripada Allah. Mungkin juga sebab kita dah terlalu selesa dengan nikmat yang Allah bagi sampai kita terlupa kepadaNya.

So, Allah bagi ujian supaya kita ingat semula kepadaNya.

Tak percaya? Ok, saya bagi bukti.

Masa korang sihat dan masa korang sakit, mana satu yang korang lagi ingat Allah? Dalam seminggu, mungkin 6 hari kita sihat dan 1 hari kita sakit.

Haa, confirm kita lebih ingat Allah masa 1 hari kita sakit tu, kan? Kita semangat berdoa supaya Allah sembuhkan kita. Kita beristighfar, ingat pada Allah.

Tapi, masa 6 hari kita sihat tu, kita langsung tak ingat dan tak bersyukur pada Allah. So, ada hikmah kenapa Allah bagi kita sakit, sebab Allah rindukan rintihan kita!

Selain tu, kita pun selalu buat alasan untuk tak mahu beramal kepada Allah dengan cara menyalahkan ujian-ujian yang kita hadapi tu.

Contohnya?

“Hmm, aku tak ada masa nak beribadah sebab banyak sangat harta dan kekayaan yang aku nak kena urus, so bukan salah aku!”

Haa, tak payah nak poyo sangat! Kau bukannya kaya daripada Nabi Sulaiman pun, tapi kenapa Nabi Sulaiman ada masa nak beribadah kepada Allah?

“Hmm, aku miskin. Susah aku nak beribadah sebab aku nak kena cari rezeki lagi untuk anak isteri.” 

Haa, para sahabat Nabi Muhammad ﷺ pun ramai yang miskin, tapi adakah itu alasan untuk mereka tak beribadah kepada Allah?

“Hmm, aku tengah sakit ni, tak perlu la nak beribadah, Allah mesti faham punya.”

Haa, penyakit kau tu tak seberat ujian penyakit Nabi Ayyub, tapi kenapa Baginda tak ada masalah untuk beribadah kepada Allah?

Ujian bukan alasan untuk kita nak melawan Allah, tak mahu beribadah kepadaNya. Hebat sangat ke kita?

Padahal, Allah sentiasa bagi nikmat kepada kita secara non-stop, walaupun kita selalu melanggar perintah Allah. Kita dapat rezeki, kesihatan, sempurna anggota badan, ahli keluarga dan banyak lagi nikmat yang lain.

Cuba korang bayangkan. Kalau kita buat dosa 1 kali, Allah terus balas cash dan tarik 1 nikmat?

Contohnya, mata kita jadi buta sebab lihat aurat wanita. Memang sah, tak ada orang berani nak langgar perintah Allah! Tapi, Allah tak buat macam tu sebab Allah nak bagi peluang kepada kita untuk bertaubat semula.

Dah la kita banyak dosa, lepas tu bila Allah bagi ujian atau musibah untuk hapuskan dosa tu, kita merungut pula.

Haa, korang jangan tersilap! Kalau kita tak ada apa-apa ujian, kemudian kita dapat je semua yang kita nak, tak semestinya tu tanda Allah sayangkan kita.

Boleh jadi tu istidraj, Allah bagi segala nikmat untuk buatkan kita lebih lalai dan jauh daripadaNya. Dengan nikmat tu, kita buat maksiat dan langgar perintah Allah.

Lebih malang lagi kalau nyawa kita ditarik masa dapat istidraj tu. Nauzubillahi min zalik.

Allah berfirman: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (Surah Al-An’am 6:44)

Sedar sebelum terlambat…

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Hamid yang merupakan seorang editor dan penulis buku. Setakat ini, beliau telah menulis 7 buah buku motivasi islamik. Ikuti perkembangan beliau melalui FB page Aizuddin Hamid, Instagram @aizuddinhamiid, dan Twitter @aizudinhamid

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%