,

Meluruskan Tujuan Hidup

Semester kali ini sangat mengujakan aku. Walaupun subjek kali ini lebih dry, perlu banyak menghafal dan memahami teori-teori psikologi serta memahami falsafahnya, namun aku lega kerana ini subjek yang aku tunggu-tunggu.

Kelas pertama Sabtu lepas, aku masuk lambat kerana ditakdirkan tahun ini berlaku pertukaran tempat kerja. Maka aku agak sibuk dengan urusan perpindahan.

Kelas pertama berakhir dengan keterujaan aku yang semakin membuak-buak, dengan harapan aku mampu untuk score lebih baik semester ini.

Kelas kedua lebih bersifat memahami jiwa manusia serta masyarakat. Memandangkan tajuk subjek pun Sains Sosial, maka pensyarah aku berjaya mengaitkan peri pentingnya ilmu dan keberkesanan komunikasi dalam masyarakat.

Belajar psikologi ini sebenarnya belajar mengenai kehidupan dan ini yang membuatkan setiap kelas menjadi seronok.

Ada satu ketika, pensyarah aku bercerita mengenai bagaimana niat/tujuan mempengaruhi tindakan manusia seharian. Dia memberi contoh mengenai anak muridnya yang pernah ditangkap mengajar anak kelainan upaya dengan halai-balai dan tidak bersungguh-sungguh.

Dia berkata kepada kami bahawa niat untuk mengajar cuma untuk mendapat gaji dan dilihat mulia itulah antara penyebab guru tidak beramanah dalam pekerjaannya.

Mendengar cerita pensyarah ini membuatkan aku terkenang permulaan karier aku dalam bidang paramedik. Tahun pertama aku memasuki alam pekerjaan bukan tahun yang indah.

Memulakan pekerjaan dengan jahil ilmu agama, aku menetapkan pekerjaan aku ini hanya untuk mendapat gaji semata-mata kerana waktu itu bagi aku duit adalah kebahagiaan. Kebahagiaan untuk aku dan keluarga aku.

Peristiwa ini sentiasa menghantui aku sehingga sekarang. Ketika itu aku ditugaskan untuk menjaga asthma bay, tempat penyedutan gas/ubatan untuk pesakit yang menghidap penyakit asma.

Dalam hospital itu, bilik penyedutan nebulizer ini bergabung dengan bilik hijau, bilik untuk kes-kes yang disaringkan tidak memerlukan rawatan yang segera seperti di zon kuning atau merah. Zon/bilik hijau ini sentiasa sibuk.

Ketika itu, aku bekerja shift petang dan klimaks/kemuncak kepada kesibukan/keramaian pesakit yang datang adalah sekitar pukul 5 petang. Pada waktu itu, kerusi yang dikhususkan untuk pesakit asma yang sebanyak 9 buah itu telah penuh dengan pesakit.

Rawatan kecemasan untuk pesakit asma ini cumalah sekadar memberi sedutan nebulizer. Pesakit yang diascultate (diperiksa) paru-parunya di bahagian kaunter saringan akan disaringkan terus ke bilik asma jika mempunyai tanda-tanda asma seperti bunyi ronchi.

Setelah masuk ke bilik asma, pesakit tersebut akan diperiksa tanda vital sementara petugas akan menyiapkan ramuan yang diperlukan bagi memberi sedutan gas kepada pesakit.

Ada pesakit yang selepas habis sedutan pertama sudah lega dan sembuh, tetapi ada juga dan kebanyakannya perlu menyedut kali kedua dan ketiga bergantung kepada tahap keterukan asma yang dihidapi.

Berbalik kepada penceritaan tadi, pesakit yang banyak di bilik asma ketika itu majoritinya memerlukan rawatan susulan seperti sedutan nebulizer kedua dan ketiga serta perlu diberi ubat anti inflammatory drug iaitu hydrocortisone 200mg melalui intravenous, iaitu saluran vein.

Setelah selesai menyiapkan (prepare dilution ubat hydrocortisone) untuk seorang pesakit, aku bergerak ke arah seorang pesakit yang sudah berusia. Ketika menghampiri pesakit ini, aku dengar seakan pak cik ini mengomel (berleter) dalam kepayahannya memakai mask nebulizer tersebut.

“Pak cik, saya nak cucuk tangan pak cik sikit ya.”

“Takpa biaq la kat pak cik. Nak mati dah pun pak cik ni, sakit teruk dah ni.”

Keadaan menjadi tegang apabila pak cik ini menarik tangannya seolah tidak membenarkan aku memasukkan ubat kepadanya. Tanpa diduga, aku melenting memarahi pak cik tersebut dalam nada yang tinggi dan keras.

“Pak cik, saya nak tolong pak cik. Kalau pak cik macam ini, macam mana nak sembuh, atau pak cik memang nak mati?”

Setelah itu, aku mula sedar bahawa satu bilik itu memandang kami. Suasana yang sedang hiruk-pikuk dengan suara anak kecil dan pesakit yang masuk keluar tiba-tiba menjadi sunyi, cuma kedengaran bunyi mesin nebulizer itu sahaja.

Muka pak cik tadi mula berubah, berulang kali dia memohon maaf kepada aku, kemudian dia mula memberi kerjasama. Aku menyiapkan kerja aku dengan seribu satu perasaan yang bermain di benak hati.

Sesekali melihat wajah pak cik tadi,aku tahu aku telah cross the line dan melukakan hati pak cik tersebut.

Walaupun berulang kali cuba memujuk diri, namun jauh di sudut hati satu penyesalan yang teramat sangat akan peristiwa tersebut.

Mendengar penceritaan pensyarah serta penerangannya mengenai psikoanalisis oleh Sigmend Frued yang menceritakan mengenai minda bawah sedar yang mendasari peribadi seseorang, aku sedar itu memang salah aku.

Aku gagal mengawal emosi lantas permainan minda bawah sedar yang memang ketika itu tidak memikirkan mengenai pesakit atau manusia yang telah menatijahkan kemarahan aku terhadap pak cik tersebut.

Niat, tujuan amat penting. Bagaimana aku menulis sebelum ini mengenai cinta akan tanggungjawab, begitu juga peri pentingnya niat. Meluruskan tujuan yang betul akan menatijahkan peribadi atau perangai yang baik.

Pekerjaan yang melibatkan perkhidmatan terhadap manusia lain ini sebenarnya tanpa kita sedar, kita saling memerlukan.

Dengan adanya mereka ini, contohnya orang sakit, maka demand (permintaan) terhadap petugas medical line ada. Jika tiada orang sakit, maka tiadalah petugas medical.

Maka atas tujuan apa aku, kau pergi kerja untuk esok dan hari-hari yang bakal mendatang?

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohd Rashidi Bin Radzali. Bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan di sebuah klinik di Sg Petani, Kedah. Sekarang ini sedang menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi di OUM secara PJJ.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%